Selasa, 26 September 2017

Hak-hak wanita yang wanita perlu tahu

ditulis pada 27hb September 2017


Penceraian Adalah Kuasa Wanita, Satu Bukti Islam Tidak Menzalimi Wanita: Analisa Permasalahan Soalan Berkaitan Rumahtangga
Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi (PU RAZI)* Peguam Syarie

Islam tidak pernah mendskriminasi wanita. Malah kedatangan Islam mengangkat darjat wanita yang mana wanita hanya dijadikan objek seks dan barang perdagangan semasa sebelum ketibaan Islam yang dikenali pada zaman arab jahiliyyah sekitar 1400 tahun yang lalu. Bahkan banyak hadith-hadith nabi SAW yang memperjelaskan tentang keberuntungan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu berbanding kaum lelaki yang berat di atas bahunya persoalan tentang tanggungjawab. Bahkan Islam menjelaskan juga amaran dahsyat suami yang menzalimi isterinya, dengan tiada memberi nafkah mahupun memukul isterinya dan digelar dayus dalam Islam dengan diharamkan syurga buat suami yang berperangai keji seperti itu.

Penulisan ini merujuk kepada soalan daripada kajian kes sebenar iaitu Pn. Aida yang ingin bercerai dan bertanyakan apakah saluran untuk dia memohon penceraian daripada mahkamah. Puan Aida bebruat demikian juga disebabkan pihak suami ada berkahwin lain bahkan ada isu tentang nafkah anak-anak yang mana suami Puan Aida, iaitu Azwan menganggap duit gaji Puan Aida bekerja bersama dengan syarikat suaminya Azwan adalah termasuk dalam nafkah juga. Malah Puan Aida bertanyakan perkara-perkara berbangkit sebaik sahaja berlaku penceraian seperti Harta Sepencarian. Kes ini dikupas dalam bentuk penceritaan dan jawapan umum. Berdasarkan kes yang berlaku kepada Pn. Aida, samada beliau mempunyai locus standi dalam kesemua alasan yang diberikan untuk bercerai dengan suaminya akan dikupas satu persatu.

ISU:
PENCERAIAN
POLIGAMI
NAFKAH ISTERI
NAFKAH ANAK-ANAK
HARTA SEPENCARIAN


Menurut pandangan Islam, terdapat 3 saluran yang dibenarkan bagi seorang wanita memohon cerai daripada suaminya walaupun dengan alasan yang tidak munasabah, iaitu melalui jalan fasakh, khulu’ dan juga ta’liq. Maka keadilan Islam itu tidak hanya memberikan kuasa talaq kepada lelaki bahkan juga kepada isteri. Bahkan, pihak isteri boleh memfailkan permohonan cerai dengan persetujuan bersama melalui Seksyen 47 di Mahkamah dan akan melalui proses hakam jika hal tersebut tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.

KEYNOTES:
FASAKH
KHULU’
TA’LIQ
SEKSYEN 47

Dalam situasi ini, Pn. Aida memberikan alasan ingin bercerai kerana suaminya Azwan telah berkahwin lain tanpa kebenaran dan telah jarang pulang sekaligus telah lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, serta beliau juga mendakwa bahawa suaminya telah tidak memberikan nafkah selama setahun dan juga mahu menuntut harta serta bahagian saham daripada perniagaannya bersama dengan suaminya.

Pertama, Pn. Aida masih boleh terus memenuhi keinginannya untuk bercerai dengan menggunakan alasan cerai secara ta’liq mengikut seksyen 50(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 di mana seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menuut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas perkahwinan, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

Di Malaysia, perceraian ta’liq boleh dipohon selari dengan perjanjian yang dibuat selepas majlis akad yang tertera di surat perakuan ta’liq  dengan lafaz perjanjian sekiranya pihak suami meninggalkan isteri atau tidak memberikan nafkah selama tempoh empat bulan atau lebih, atau mencederakan atau menyakiti badan isteri dan isteri tersebut membuat pengaduan di Mahkamah dan selepas membuat siasatan terhadap aduan dan selepas membayar RM1 maka jatuhlah satu talaq.

KEYNOTES:
SELEPAS LAFAZ IJAB DAN QABUL SEMASA AKAD NIKAH, SUAMI AKAN MEMBACAKAN LAFAZ TA’LIQ SEBAGAI IQRAR JIKA DILANGGAR OLEH SUAMI MANA_MANA TERMA DALAM TA’LIQ MAKA ISTERI BERHAK MENDAPATKAN PENCERAIAN SELEPAS DIADUKAN DI MAHKAMAH


Kedua, Pn. Aida juga boleh memohon perceraian daripada suami atas kapasiti permohonan cerai melalui fasakh sebagaimana dalam peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mana fasakh ialah pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Skop permohonan pembubaran perkahwinan berdasarkan kapasiti ini adalah lebih luas, contohnya Pn. Aida boleh memohon mengikut peruntukan seksyen 53(b) iaitu, bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan. Ini selaras dengan dalil al-Quran dalam surah an-Nisa’ ayat 128:

… “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi Yang ada pada manusia. dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka Sesungguhnya Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan”…

KEYNOTES:
PERMOHONAN FASAKH DI MAHKAMAH ADALAH MEMAKANTEMPOH YANG AGAK LAMA, NAMUN SEMUA ALASAN FASAKH YANG DIKEMUKAN LEBIH TELUS DAN ADIL KEPADA SEMUA PIHAK DALAM MEMBUKTIKAN HAL YANG SEBENAR.

Dalam masalah ini juga, Pn. Aida telah mendakwa suaminya tidak memberikan nafkah kepada beliau dan anak-anak selama setahun dan juga telah dibalas oleh suaminya melalui surat dengan mendakwa bahawa Azwan telah membayar kepada Aida RM3000 sebulan sebagai gaji pengurus kedai dobi dan mendakwa itulah nafkah untuk mereka. Dakwaan Azwan gaji tersebut adalah nafkah adalah disangkal sama sekali berdasarkan hukum syarak dengan dalil al-Quran dalam surah at-Talaq ayat 7 iaitu,

… “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”…

Merujuk kepada perkataan nafkah itu sendiri adalah perkataan Arab yang berasal daripada infaq yang bermak untuk mengambil dan ia digunakan untu tujuan yang baik sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Mughni Muhtaj ‘Ila Makrifat Ma’ani al-Faz al-Minhaj. Bahkan secara umumnya nafkah ialah perbelanjaan seorang suami kepada keluarganya samada dalam bentuk makanan, pakaian, rumah kediaman dan juga perbelanjaan lain termasuklah perubatan dan keperluan lain, sebagaimana dirujuk kepada kitab karangan Ibn Abidin.

Ini bermaksud, nafkah adalah berbeza dengan gaji isteri walaupun Azwan tadi mendakwa itu adalah nafkah kerana Pn. Aida memperoleh gaji tersebut hasil daripada usahanya bekerja sebagai pengurus di kedai dobi tersebut dan bukan lah nafkah hasil pemberian Azwan keran hak tersebut adalah mutlak kepada Pn. Aida. Di dalam Islam, tanggungjawab menyara keluarga adalah tertanggung kepada suami walaupun isteri teadi bekerja dan isteri berhak mendapatkan nafkah selagi mana beliau tidak nusyuz kepada suaminya mengikut tafsiran syarak.

KEYNOTES:
SEBAIKNYA SUAMI MENYEDIAKAN MAKAN MINUM, TEMPAT KEDIAMAN DAN PAKAIAN SEBAGAI NAFKAH UTAMA MENGIKUT KEMAMPUAN SUAMI. IZIN KEPADA ISTERI UNTUK BEKERJA BAGI MEMBANTU SUAMI BUKANLAH ALASAN UNTUK TIDAK BERI NAFKAH.


Seterusnya, dalam menjawab surat Azwan berkaitan sebab beliau berpoligami dengan menyalahkan Pn. Aida untuk tinggal bersamanya adalah tidak masuk akal kerana keputusan yang dibuat seolah-olah mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan tentang anak-anak, bahkan perasaan Pn. Aida yang sedang disakiti secara emosi adalah bertepatan dengan pemakaian peruntukan seksyen 53(i) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Peruntukan ini sesuai memandangkan perkahwinan tersebut adalah tidak dipersetujui oleh Pn. Aida dan secara berterusan dianiya dari sudut emosi dan ketenangan fikiran, maka kapasiti pembubaran melalui fasakh juga adalah jalan terbaik untuk Pn. Aida menyelesaikan masalah ini.

KEYNOTES:
SUAMI TIDAK ADA HAK MEMAKSA ISTERI TINGGAL BERSAMA MADUNYA DALAM SATU RUMAH MELAINKAN ATAS PESETUJUAN ISTERI YANG TERDAHULU

Tambahan lagi, samada Pn. Aida ingin membuat laporan kepada Mahkamah kerana tindakan suaminya yang berkahwin lain tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 23(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mewajibkan seseorang yang mahu berpolgami perlulah mendapatkan keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Bahkan, Azwan juga boleh didakwa di bawah seksyen 124 jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi menjawab dakwaan Aida yang menuntut hak harta dan saham perkongsian perniagaan kedai dobinya bersama Azwan adalah dibenarkan dalam peruntukan undang-undang walaupun semasa dalam tempoh perkahwinan. Seksyen 122 Enakmen Undnag-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.


Merujuk kepada beberapa pendapat ulama’ Islam seperti dalam kitab Al-Umm oleh Imam Shafi’i, Bughatul Mustarshidin, lanat Talibin, Kitab al-Bajuri, Kita al-Muhazzab dan Bulugh ul-Maram, Lembaga Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan mendapati sokongan bagi kaedah mengenai harta sepencarian dalam kes  Mansur lwn. Kamariah (1988) 6 JH 289 menyatakan bahawa jika harta-harta pihak suami dan isteri telah bercampur (musha), dan mereka tidak dapat mencapai persetujuan mengenai pembahagiannya, maka kedua-dua mereka hendaklah mengangkat sumpah dan harta-harta itu akan dibahagikan sama banyak di antara mereka. Lembaga Rayuan memerhatikan bahawa walaupun ulama’ itu mungkin menumpukan perhatian mereka kepada kes musha, prinsip-prinsip itu boleh juga diperluaskan kepada kes harta sepencarian. Lembaga Rayuan juga merujuk kepada Kitab Qurratul’ain dan qaul Mazhab Hanafi yang meluluskan syarikat al-abdan (perkongsian) secara mutlak tanpa syarat persamaan di dalam jenis pekerjaan pihak-pihak itu untuk setiap pihak mendapat bayaran yang munasabah bagi usaha yang dilakukan. Ini bermaksud, Pn. Aida berhak memohon harta daripada bahagiannya dengan menolak dakwaan Azwan bahawa Pn. Aida tidak layak menuntut harta tersebut kerana mereka masih lagi suami isteri.

KEYNOTES:
HARTA SEPENCARIAN ADALAH APA-APA HARTA YANG DIPEROLEHI SEMASA TEMPOH PERKAHWINAN


Kesimpulan berdasarkan kes ini, Pn. Aida bukan sahaja dilindungi oleh hukum syarak bahkan juga peruntukan undang-undang bagi menjaga hak sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Berbalik kepada keinginannya untuk bercerai, Pn. Aida memiliki 3 pilihan dalam membubarkan perkahwinannya melalui kuasa mahkamah berdasarkan kesanggupan dan kesesuaian hujah Pn. Aida dengan memohon kepada Mahkamah di mana Pn. Aida bermastautin.

Permohonan Keluar Agama

Ditulis pada 27hb September 2017

Tinjauan Semula Kes-kes Murtad di Malaysia dan hukum fiqh yang berkaitannya.

Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi (PU RAZI)* Peguam Syarie

Permohonan murtad atau keluar agama Islam adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah di semua negeri-negeri di Malaysia dan rata-rata kes ini masih didaftarkan walaupun dengan lambakan maklumat berkaitan Islam dan indahnya agama samawi ini namun badan-badan agama masih lagi menghadapi permohonan keluar Islam.

Kajian secara tidak rasmi dan pengalaman sebagai peguam syarie yang membawa kes seperti ini maka dapatlah disimpulkan apabila permohonan murtad adalah disebabkan faktor-faktor berikut:
1. masuk Islam disebabkan mengikut agama pasangan namun mohon murtad apabila bercerai
2. ditipu oleh sindiket yang mengumpan untuk mendapatkan wang
3. pendaftaran status agama Islam kerana penjaga mendaftarkannya tetapi tidak pernah beramal sebagai seorang Islam
4. tidak tetap pendirian hanya kerana menganggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi
5. tidak pernah belajar dan cuba memahami Islam

Kesan-kesan daripada permohonan ini dapatlah dilihat apabila berlakunya kematian dan isu-isu perwarisan dan harta. Ada pemohon yang telah mendaftar sebagai Islam namun mereka tidak mendaftarkan status agama Islam tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara dan kesannya apabila kes tersebut diketahui oleh pihak majlis agama Islam negeri terutama apabila berlaku kematian.


Tinjauan-tinjauan kepada contoh kes dahulu yang ada kesannya kepada kes-kes semasa, mari kita lihat satu persatu:

Tahun 2005

KES 1
Dalam Perkara Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Mohammad Abdullah@Moorthy a/l Maniam, Permohonan Ex Parte Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tuan Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim, HMTS (22/1/2005)

Ini adalah Permohonan ex-parte oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berdasarkan s. 91 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) bahawa si mati Mohammad bin Abdullah adalah seorang Islam dan hendaklah dikebumikan menurut kehendak Agama Islam dan hukum Syarak.

Latar belakang kes
Si mati Mohmmad bin Abdullah adalah bekas anggota Anggota Tentera Malaysia dan anggota Komando Tentera Darat sehingga 1998 kerana lumpuh akibat tercedera dalam latihan ‘somersault’ pada 14/8/1998. Beliau lumpuh dari pinggang ke bawah dan menggunkan kerusi roda
Antara  10 orang pendaki Projek Everest Malaysia pada tahun 1997.

Pada 11/11/2005 jatuh dari kerusi roda dan koma.
Meninggal dunia pada 20/12/2005 di Hospital Kuala Lumpur dan isterinya gagal untuk menuntut mayat tersebut di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur berikutan beberapa rakan si mati dari Angkatan Tentera Malaysia  menuntut si mati disemadikan mengikut hukum Syarak.

Keterangan di hadapan Mahkamah :-
Si mati telah memeluk Islam pada 11/10/2004 berdasarkan keterangan masuk Agama Islam dari Pejabat Agama Kem Kementah Kuala Lumpur bertarikh 8/3/2005.
Pada 8/3/2005 Pejabat Agama Kem Kementah Kuala Lumpur dihantar kepada Pemohon bagi tujuan pendaftaran Kemasukan Islam yang telah mengambil cop jari kanan si mati.
Pada 14/5/2005 pendaftaran di buat mengikut kehendak seksyen 91 APUUI 1993 dengan no pendaftaran 282/05.

Mahkamah memutuskan :-
Mohammad bin Abdullah @ Moorthy a/l Maniam adalah seorang Islam.
Mohammad bin Abdullah hendaklah dikebumikan menurut kehendak Agama Islam dan hukum Syarak.
Mana-mana pihak yang menjaga mayat Mohammad bin Abdullah hendaklah menyerahkan kepada pihak pemohon untuk dikebumikan dengan segera
Polis Di Raja Malaysia hendaklah memberi kerjasama untuk melaksanakan perintah ini.

KES 2
Kaliammal Sinnasamay  v Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain,Saman Pemula No. R1:24-102-2005
Raus Sharif, H (28/12/2005 )


Latar belakang kes
Pada 21/12/2005 Isteri kepada Mohammad Abdullah @ Moorthy a/l Maniam memfailkan saman pemula  untuk beberapa perintah:-

(a) Suatu deklarasi bahawa pemohon adalah isteri yang sah kepada Moorthy a/l Maniam (simati) sehingga pada tarikh kematiannya pada 20 Disember 2005;

(b) Suatu deklarasi bahawa simati adalah seorang beragama Hindu, dan    
mengikuti adat serta agama Hindu sebelum kematiannya;

(c) Suatu deklarasi bahawa simati adalah seorang bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya;

(d) Suatu deklarasi bahawa segala dokumen-dokumen penukaran agama simati kepada agama Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal;

(e) Suatu perintah mengarahkan responden kedua dan/atau Hospital Besar Kuala Lumpur dengan sendiri dan/atau melalui ejen mereka dan/atau melalui pekerja dan/atau wakil mereka menyerahkan dan/atau melepaskan dan/atau memberikan jenazah simati dengan serta-merta kepada pemohon untuk upacara pengkebumian;

(f) Suatu perintah injunksi melarang responden pertama daripada mengambil dan/atau menuntut jenazah simati daripada responden kedua dan/atau menahan responden pertama daripada menuntut jenazah simati dengan apa jua cara sekalipun dari responden kedua;

(g) Suatu perintah injunksi interim melarang responden pertama daripada mengambil dan/atau menuntut jenazah simati daripada responden kedua dan/atau menahan responden pertama daripada menuntut jenazah simati dengan apa cara sekalipun dari responden kedua sehingga keputusan muktamad oleh mahkamah ini.

Pada 28/12/2005 (6 hari selepas keputusan di Mahkamah Syariah), Mahkamah hanya membenarkan perintah (a) iaitu pemohon adalah isteri kepada Moorthy a/l Maniam dan relief dari (b) hingga (g) ditolak.

Mahkamah memutuskan :-
“ Pada saya, memandangkan di dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa simati adalah seorang Islam, maka mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Syariah atau tidak menghiraukan sama sekali perintah tersebut.

… mahkamah yang mempunyai bidangkuasa dan kompeten untuk menentukan apa-apa perkara yang timbul di dalam Akta 505, seperti kesahan pemelukan seseorang itu ke agama Islam adalah Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil. Ini adalah selari dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.”




Tahun 2006

KES 3
Dalam Perkara Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan Disebabkan Pertukaran Agama- Permohonan Siti Aisyah Janthip Aisam [2006] 21(ii) JH 262 (8/1/2006).

Latar belakang kes
Pemohon, Siti Aisyah Janthip Aisam (warganegara Thailand) berkahwin dengan Enui anak lelaki Aisom (warganegara Malaysia) di Kuil Tin Ann Kong, Pasir Puteh, Kelantan pada 31/5/1990 dan didaftarkan mengikut Akta Membaharui Undang-Undang(Perkahwinan dan Perceraian), 1976.

Kedua-dua mereka pada ketika itu beragama Buddha.  Pemohon masuk Islam pada 20/2/2005 dan membuat permohonan pembubaran perkahwinan antara Pemohon dan suaminya;Enui anak lelaki Aisom.

Mahkamah memutuskan :-
Perkahwinan pada 31/5/1990 terputus mengikut Hukum Syara’ akibat daripada masuknya Siti Aisyah Janthip Aisam ke agama Islam mulai 20/2/2005 dengan tidak diikuti masuk Islam oleh Enui anak lelaki Aisom dalam tempoh ‘iddah Siti Aisyah Janthip Aisom mulai 8/1/2006. Mahkamah perintah Pemohon ber’iddah dengan ‘iddah suci dalam talak bain bermula 8/1/2006 bersamaan 8 Zulhijjah 1426.

Mahkamah sabit perkahwinan Siti Aisya Janthip Aisam dengan Enui anak lelaki Aisom mengikut agama Buddha pada 31/5/1990 terbubar mengikut Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 mulai 8/1/2006 bersaman 8 Zulhijjah 1426 akibat daripada masuknya Siti Aisyah Janthip Aisam ke agama Islam mulai 20/2/2005 dengan tidak diikuti masuk Islam oleh Enui dalam tempoh ‘iddah Siti Aisyah Janthip Aisam.
Tahun 2008

KES 4
Pemohon, Nur Adryana Qestina binti Abdullah@Audrey Christina Samuel berkahwin dengan S. Gopal a/l Subramaniam pada 21/6/2001 mengikut agama Kristian di gereja Katholik Holy Redeemer dan didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang(Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Latar belakang kes
Mereka telah memperolehi dua orang anak iaitu Melissa Chrysyl Benedict dan Jason Louise Benedit (masing-masing berumur 6 dan 4 tahun)Pada 13/4/2007 Pemohon memeluk Islam dan suaminya kemudian bertindak keluar dari rumah dan membawa kedua-dua anaknya.

Pada 4/5/2007 Pemohon memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk pembubaran perkahwinan. Walau bagaimanapun, suaminya gagal hadir ke Mahkamah Syariah sungguhpun diserahkan Saman.

Mahkamah memutuskan :-
Perkahwinan Adryana Qestina binti Abdullah @ Audrey Christina Samuel dengan S. Gopa terputus mengikut Hukum Syarak akibat dari masuknya Adryana Qestina binti Abdullah ke Agama Islam mulai pada 13/4/2007.

Bagi tempoh ‘iddah Pemohon, Mahkamah telah merujuk kepada 2 kitab bagi menentukan tempoh ‘iddah iaitu:-

(1) Kitab Dr. Wahbah al-Zuhayli yang berjudul al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh  yang bermaksud:

 “Perpisahan ini adalah dikira sebagai talak bain mengikut pendapat Abu Hanidah dan Muhammad. Manakala Abu Yusof pula berpendapat ia adalah pemisahan tanpa sebarang talak”.

(2) Kitab Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mua’sarah Juz 2 hlm 201 menyatakan:-

“Sekiranya suami itu terhalang daripada masuk Islam, maka mahkamah hendaklah memisahkan mereka berdua.Dan perpisahan  mereka adalah seperti talak bain yang diputuskan oleh mahkamah, dan wajib ke atas isteri itu, iddah yang telah ditetapkan oleh syarak yang bermula  apabila ia dipisahkan oleh mahkamah denan syarat dia tidak kembali dengan bekas suaminya. Dan iddah dalam kes ini ialah selama tiga kali haid yang sempurna atau sekiranya dia mengandung sehingga melahirkan anak”.

Mahkamah memerintahkan bahawa Adyana Qestina binti Abdullah@Audrey Christina Samuel beriddah selama tiga(3) kali suci dalam talak bain  bermula pada 27/4/2007 (tarikh keputusan) bersamaan dengan 12 Rejab 1428H.

Walau bagaimanapun, tiada perintah dibuat mengenai siapakah berhak mendapat penjagaan anak dan juga kedudukan agama anak-anak tersebut.


KES 5
Siti Fatimah Tan binti Abdullah v Majlis Agama Islam Pulau Pinang kes Mal No.07100-043-0191-2006 MTS Pulau Pinang (kes tidak dilaporkan) Tuan Hj Othman bin Ibrahim HMTS (8/5/2008)

Pemohon memfailkan permohonan pengisytiharan murtad di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Latar belakang kes
Plaintif Siti Fatimah Tan bt Abdullah  atau nama asalnya Tan Ean Hung adalah pada asalnya seorang beragama Buddha.

Pada 25/7/1998 beliau telah memeluk Islam dan didaftarkan dengan nama Siti Fatimah Tan bt Abdullah dan pada 4/8/1999 berkahwin dengan seorang warganegara Iran, Ferdoun Aslanian.

Walau bagaimanpun, selepas 4 bulan berkahwin,suaminya telah menghilangkan diri.

Plaintif mengakui beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan tidak pernah diajar atau di bawa mempelajari Agama Islam oleh suami.

Pada masa yang sama beliau beramal dengan ajaran Buddha dan menyembah berhala Tokong Tok Pek Kong, Kuang Yim Neo dan Ti kong, pada setiap hari walaupun semasa menjadi suami isteri bagi pasangan tersebut.

Beliau menyembah berhala itu pada setiap hari dan pada masa yang sama suami ada ikut serta semasa pergi ke Tok Kong Kuang Yim Neo.

Ini disahkan lagi dengan keterangan baiyinah adik saudara kandung plaintif sendiri semasa memberi keterangan di mahkamah. Beliau tinggal bersama dengan kakaknya dan melihat kakaknya menjalankan upacara ajaran Buddha dengan menyembah tokong itu setiap hari.

Mahkamah memutuskan :-
Berdasarkan keadaan plaintif dan qarinah-qarinah yang ditunjukkan itu amat jelas bahawa beliau tidak mengamalkan ajaran Islam sejak dari mula memeluk Islam lagi, akibat dari kekurangan inilah beliau ingin kembali kepada agama asalnya iaitu buddha. Walaupun mahkamah memandang serius hal ini, tetapi mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan memutuskan iaitu permohonan plaintif ini diluluskan….mahkamah itu memerintahkan MAIPP untuk membatalkan pendaftaran sijil akuan memeluk Islam beliau.