Selasa, 26 September 2017

Hak-hak wanita yang wanita perlu tahu

ditulis pada 27hb September 2017


Penceraian Adalah Kuasa Wanita, Satu Bukti Islam Tidak Menzalimi Wanita: Analisa Permasalahan Soalan Berkaitan Rumahtangga
Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi (PU RAZI)* Peguam Syarie

Islam tidak pernah mendskriminasi wanita. Malah kedatangan Islam mengangkat darjat wanita yang mana wanita hanya dijadikan objek seks dan barang perdagangan semasa sebelum ketibaan Islam yang dikenali pada zaman arab jahiliyyah sekitar 1400 tahun yang lalu. Bahkan banyak hadith-hadith nabi SAW yang memperjelaskan tentang keberuntungan menjadi seorang wanita, isteri dan ibu berbanding kaum lelaki yang berat di atas bahunya persoalan tentang tanggungjawab. Bahkan Islam menjelaskan juga amaran dahsyat suami yang menzalimi isterinya, dengan tiada memberi nafkah mahupun memukul isterinya dan digelar dayus dalam Islam dengan diharamkan syurga buat suami yang berperangai keji seperti itu.

Penulisan ini merujuk kepada soalan daripada kajian kes sebenar iaitu Pn. Aida yang ingin bercerai dan bertanyakan apakah saluran untuk dia memohon penceraian daripada mahkamah. Puan Aida bebruat demikian juga disebabkan pihak suami ada berkahwin lain bahkan ada isu tentang nafkah anak-anak yang mana suami Puan Aida, iaitu Azwan menganggap duit gaji Puan Aida bekerja bersama dengan syarikat suaminya Azwan adalah termasuk dalam nafkah juga. Malah Puan Aida bertanyakan perkara-perkara berbangkit sebaik sahaja berlaku penceraian seperti Harta Sepencarian. Kes ini dikupas dalam bentuk penceritaan dan jawapan umum. Berdasarkan kes yang berlaku kepada Pn. Aida, samada beliau mempunyai locus standi dalam kesemua alasan yang diberikan untuk bercerai dengan suaminya akan dikupas satu persatu.

ISU:
PENCERAIAN
POLIGAMI
NAFKAH ISTERI
NAFKAH ANAK-ANAK
HARTA SEPENCARIAN


Menurut pandangan Islam, terdapat 3 saluran yang dibenarkan bagi seorang wanita memohon cerai daripada suaminya walaupun dengan alasan yang tidak munasabah, iaitu melalui jalan fasakh, khulu’ dan juga ta’liq. Maka keadilan Islam itu tidak hanya memberikan kuasa talaq kepada lelaki bahkan juga kepada isteri. Bahkan, pihak isteri boleh memfailkan permohonan cerai dengan persetujuan bersama melalui Seksyen 47 di Mahkamah dan akan melalui proses hakam jika hal tersebut tidak dipersetujui oleh mana-mana pihak.

KEYNOTES:
FASAKH
KHULU’
TA’LIQ
SEKSYEN 47

Dalam situasi ini, Pn. Aida memberikan alasan ingin bercerai kerana suaminya Azwan telah berkahwin lain tanpa kebenaran dan telah jarang pulang sekaligus telah lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, serta beliau juga mendakwa bahawa suaminya telah tidak memberikan nafkah selama setahun dan juga mahu menuntut harta serta bahagian saham daripada perniagaannya bersama dengan suaminya.

Pertama, Pn. Aida masih boleh terus memenuhi keinginannya untuk bercerai dengan menggunakan alasan cerai secara ta’liq mengikut seksyen 50(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 di mana seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menuut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas perkahwinan, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

Di Malaysia, perceraian ta’liq boleh dipohon selari dengan perjanjian yang dibuat selepas majlis akad yang tertera di surat perakuan ta’liq  dengan lafaz perjanjian sekiranya pihak suami meninggalkan isteri atau tidak memberikan nafkah selama tempoh empat bulan atau lebih, atau mencederakan atau menyakiti badan isteri dan isteri tersebut membuat pengaduan di Mahkamah dan selepas membuat siasatan terhadap aduan dan selepas membayar RM1 maka jatuhlah satu talaq.

KEYNOTES:
SELEPAS LAFAZ IJAB DAN QABUL SEMASA AKAD NIKAH, SUAMI AKAN MEMBACAKAN LAFAZ TA’LIQ SEBAGAI IQRAR JIKA DILANGGAR OLEH SUAMI MANA_MANA TERMA DALAM TA’LIQ MAKA ISTERI BERHAK MENDAPATKAN PENCERAIAN SELEPAS DIADUKAN DI MAHKAMAH


Kedua, Pn. Aida juga boleh memohon perceraian daripada suami atas kapasiti permohonan cerai melalui fasakh sebagaimana dalam peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mana fasakh ialah pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Skop permohonan pembubaran perkahwinan berdasarkan kapasiti ini adalah lebih luas, contohnya Pn. Aida boleh memohon mengikut peruntukan seksyen 53(b) iaitu, bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan. Ini selaras dengan dalil al-Quran dalam surah an-Nisa’ ayat 128:

… “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi Yang ada pada manusia. dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka Sesungguhnya Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan”…

KEYNOTES:
PERMOHONAN FASAKH DI MAHKAMAH ADALAH MEMAKANTEMPOH YANG AGAK LAMA, NAMUN SEMUA ALASAN FASAKH YANG DIKEMUKAN LEBIH TELUS DAN ADIL KEPADA SEMUA PIHAK DALAM MEMBUKTIKAN HAL YANG SEBENAR.

Dalam masalah ini juga, Pn. Aida telah mendakwa suaminya tidak memberikan nafkah kepada beliau dan anak-anak selama setahun dan juga telah dibalas oleh suaminya melalui surat dengan mendakwa bahawa Azwan telah membayar kepada Aida RM3000 sebulan sebagai gaji pengurus kedai dobi dan mendakwa itulah nafkah untuk mereka. Dakwaan Azwan gaji tersebut adalah nafkah adalah disangkal sama sekali berdasarkan hukum syarak dengan dalil al-Quran dalam surah at-Talaq ayat 7 iaitu,

… “Hendaklah orang Yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah kepadanya (sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan”…

Merujuk kepada perkataan nafkah itu sendiri adalah perkataan Arab yang berasal daripada infaq yang bermak untuk mengambil dan ia digunakan untu tujuan yang baik sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab Mughni Muhtaj ‘Ila Makrifat Ma’ani al-Faz al-Minhaj. Bahkan secara umumnya nafkah ialah perbelanjaan seorang suami kepada keluarganya samada dalam bentuk makanan, pakaian, rumah kediaman dan juga perbelanjaan lain termasuklah perubatan dan keperluan lain, sebagaimana dirujuk kepada kitab karangan Ibn Abidin.

Ini bermaksud, nafkah adalah berbeza dengan gaji isteri walaupun Azwan tadi mendakwa itu adalah nafkah kerana Pn. Aida memperoleh gaji tersebut hasil daripada usahanya bekerja sebagai pengurus di kedai dobi tersebut dan bukan lah nafkah hasil pemberian Azwan keran hak tersebut adalah mutlak kepada Pn. Aida. Di dalam Islam, tanggungjawab menyara keluarga adalah tertanggung kepada suami walaupun isteri teadi bekerja dan isteri berhak mendapatkan nafkah selagi mana beliau tidak nusyuz kepada suaminya mengikut tafsiran syarak.

KEYNOTES:
SEBAIKNYA SUAMI MENYEDIAKAN MAKAN MINUM, TEMPAT KEDIAMAN DAN PAKAIAN SEBAGAI NAFKAH UTAMA MENGIKUT KEMAMPUAN SUAMI. IZIN KEPADA ISTERI UNTUK BEKERJA BAGI MEMBANTU SUAMI BUKANLAH ALASAN UNTUK TIDAK BERI NAFKAH.


Seterusnya, dalam menjawab surat Azwan berkaitan sebab beliau berpoligami dengan menyalahkan Pn. Aida untuk tinggal bersamanya adalah tidak masuk akal kerana keputusan yang dibuat seolah-olah mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan tentang anak-anak, bahkan perasaan Pn. Aida yang sedang disakiti secara emosi adalah bertepatan dengan pemakaian peruntukan seksyen 53(i) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Peruntukan ini sesuai memandangkan perkahwinan tersebut adalah tidak dipersetujui oleh Pn. Aida dan secara berterusan dianiya dari sudut emosi dan ketenangan fikiran, maka kapasiti pembubaran melalui fasakh juga adalah jalan terbaik untuk Pn. Aida menyelesaikan masalah ini.

KEYNOTES:
SUAMI TIDAK ADA HAK MEMAKSA ISTERI TINGGAL BERSAMA MADUNYA DALAM SATU RUMAH MELAINKAN ATAS PESETUJUAN ISTERI YANG TERDAHULU

Tambahan lagi, samada Pn. Aida ingin membuat laporan kepada Mahkamah kerana tindakan suaminya yang berkahwin lain tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 23(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mewajibkan seseorang yang mahu berpolgami perlulah mendapatkan keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Bahkan, Azwan juga boleh didakwa di bawah seksyen 124 jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi menjawab dakwaan Aida yang menuntut hak harta dan saham perkongsian perniagaan kedai dobinya bersama Azwan adalah dibenarkan dalam peruntukan undang-undang walaupun semasa dalam tempoh perkahwinan. Seksyen 122 Enakmen Undnag-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.


Merujuk kepada beberapa pendapat ulama’ Islam seperti dalam kitab Al-Umm oleh Imam Shafi’i, Bughatul Mustarshidin, lanat Talibin, Kitab al-Bajuri, Kita al-Muhazzab dan Bulugh ul-Maram, Lembaga Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan mendapati sokongan bagi kaedah mengenai harta sepencarian dalam kes  Mansur lwn. Kamariah (1988) 6 JH 289 menyatakan bahawa jika harta-harta pihak suami dan isteri telah bercampur (musha), dan mereka tidak dapat mencapai persetujuan mengenai pembahagiannya, maka kedua-dua mereka hendaklah mengangkat sumpah dan harta-harta itu akan dibahagikan sama banyak di antara mereka. Lembaga Rayuan memerhatikan bahawa walaupun ulama’ itu mungkin menumpukan perhatian mereka kepada kes musha, prinsip-prinsip itu boleh juga diperluaskan kepada kes harta sepencarian. Lembaga Rayuan juga merujuk kepada Kitab Qurratul’ain dan qaul Mazhab Hanafi yang meluluskan syarikat al-abdan (perkongsian) secara mutlak tanpa syarat persamaan di dalam jenis pekerjaan pihak-pihak itu untuk setiap pihak mendapat bayaran yang munasabah bagi usaha yang dilakukan. Ini bermaksud, Pn. Aida berhak memohon harta daripada bahagiannya dengan menolak dakwaan Azwan bahawa Pn. Aida tidak layak menuntut harta tersebut kerana mereka masih lagi suami isteri.

KEYNOTES:
HARTA SEPENCARIAN ADALAH APA-APA HARTA YANG DIPEROLEHI SEMASA TEMPOH PERKAHWINAN


Kesimpulan berdasarkan kes ini, Pn. Aida bukan sahaja dilindungi oleh hukum syarak bahkan juga peruntukan undang-undang bagi menjaga hak sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Berbalik kepada keinginannya untuk bercerai, Pn. Aida memiliki 3 pilihan dalam membubarkan perkahwinannya melalui kuasa mahkamah berdasarkan kesanggupan dan kesesuaian hujah Pn. Aida dengan memohon kepada Mahkamah di mana Pn. Aida bermastautin.

Permohonan Keluar Agama

Ditulis pada 27hb September 2017

Tinjauan Semula Kes-kes Murtad di Malaysia dan hukum fiqh yang berkaitannya.

Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi (PU RAZI)* Peguam Syarie

Permohonan murtad atau keluar agama Islam adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah di semua negeri-negeri di Malaysia dan rata-rata kes ini masih didaftarkan walaupun dengan lambakan maklumat berkaitan Islam dan indahnya agama samawi ini namun badan-badan agama masih lagi menghadapi permohonan keluar Islam.

Kajian secara tidak rasmi dan pengalaman sebagai peguam syarie yang membawa kes seperti ini maka dapatlah disimpulkan apabila permohonan murtad adalah disebabkan faktor-faktor berikut:
1. masuk Islam disebabkan mengikut agama pasangan namun mohon murtad apabila bercerai
2. ditipu oleh sindiket yang mengumpan untuk mendapatkan wang
3. pendaftaran status agama Islam kerana penjaga mendaftarkannya tetapi tidak pernah beramal sebagai seorang Islam
4. tidak tetap pendirian hanya kerana menganggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi
5. tidak pernah belajar dan cuba memahami Islam

Kesan-kesan daripada permohonan ini dapatlah dilihat apabila berlakunya kematian dan isu-isu perwarisan dan harta. Ada pemohon yang telah mendaftar sebagai Islam namun mereka tidak mendaftarkan status agama Islam tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara dan kesannya apabila kes tersebut diketahui oleh pihak majlis agama Islam negeri terutama apabila berlaku kematian.


Tinjauan-tinjauan kepada contoh kes dahulu yang ada kesannya kepada kes-kes semasa, mari kita lihat satu persatu:

Tahun 2005

KES 1
Dalam Perkara Permohonan Perisytiharan Status Agama Si Mati Mohammad Abdullah@Moorthy a/l Maniam, Permohonan Ex Parte Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tuan Haji Mukhyuddin bin Haji Ibrahim, HMTS (22/1/2005)

Ini adalah Permohonan ex-parte oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berdasarkan s. 91 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) bahawa si mati Mohammad bin Abdullah adalah seorang Islam dan hendaklah dikebumikan menurut kehendak Agama Islam dan hukum Syarak.

Latar belakang kes
Si mati Mohmmad bin Abdullah adalah bekas anggota Anggota Tentera Malaysia dan anggota Komando Tentera Darat sehingga 1998 kerana lumpuh akibat tercedera dalam latihan ‘somersault’ pada 14/8/1998. Beliau lumpuh dari pinggang ke bawah dan menggunkan kerusi roda
Antara  10 orang pendaki Projek Everest Malaysia pada tahun 1997.

Pada 11/11/2005 jatuh dari kerusi roda dan koma.
Meninggal dunia pada 20/12/2005 di Hospital Kuala Lumpur dan isterinya gagal untuk menuntut mayat tersebut di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur berikutan beberapa rakan si mati dari Angkatan Tentera Malaysia  menuntut si mati disemadikan mengikut hukum Syarak.

Keterangan di hadapan Mahkamah :-
Si mati telah memeluk Islam pada 11/10/2004 berdasarkan keterangan masuk Agama Islam dari Pejabat Agama Kem Kementah Kuala Lumpur bertarikh 8/3/2005.
Pada 8/3/2005 Pejabat Agama Kem Kementah Kuala Lumpur dihantar kepada Pemohon bagi tujuan pendaftaran Kemasukan Islam yang telah mengambil cop jari kanan si mati.
Pada 14/5/2005 pendaftaran di buat mengikut kehendak seksyen 91 APUUI 1993 dengan no pendaftaran 282/05.

Mahkamah memutuskan :-
Mohammad bin Abdullah @ Moorthy a/l Maniam adalah seorang Islam.
Mohammad bin Abdullah hendaklah dikebumikan menurut kehendak Agama Islam dan hukum Syarak.
Mana-mana pihak yang menjaga mayat Mohammad bin Abdullah hendaklah menyerahkan kepada pihak pemohon untuk dikebumikan dengan segera
Polis Di Raja Malaysia hendaklah memberi kerjasama untuk melaksanakan perintah ini.

KES 2
Kaliammal Sinnasamay  v Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan & Yang Lain,Saman Pemula No. R1:24-102-2005
Raus Sharif, H (28/12/2005 )


Latar belakang kes
Pada 21/12/2005 Isteri kepada Mohammad Abdullah @ Moorthy a/l Maniam memfailkan saman pemula  untuk beberapa perintah:-

(a) Suatu deklarasi bahawa pemohon adalah isteri yang sah kepada Moorthy a/l Maniam (simati) sehingga pada tarikh kematiannya pada 20 Disember 2005;

(b) Suatu deklarasi bahawa simati adalah seorang beragama Hindu, dan    
mengikuti adat serta agama Hindu sebelum kematiannya;

(c) Suatu deklarasi bahawa simati adalah seorang bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya;

(d) Suatu deklarasi bahawa segala dokumen-dokumen penukaran agama simati kepada agama Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal;

(e) Suatu perintah mengarahkan responden kedua dan/atau Hospital Besar Kuala Lumpur dengan sendiri dan/atau melalui ejen mereka dan/atau melalui pekerja dan/atau wakil mereka menyerahkan dan/atau melepaskan dan/atau memberikan jenazah simati dengan serta-merta kepada pemohon untuk upacara pengkebumian;

(f) Suatu perintah injunksi melarang responden pertama daripada mengambil dan/atau menuntut jenazah simati daripada responden kedua dan/atau menahan responden pertama daripada menuntut jenazah simati dengan apa jua cara sekalipun dari responden kedua;

(g) Suatu perintah injunksi interim melarang responden pertama daripada mengambil dan/atau menuntut jenazah simati daripada responden kedua dan/atau menahan responden pertama daripada menuntut jenazah simati dengan apa cara sekalipun dari responden kedua sehingga keputusan muktamad oleh mahkamah ini.

Pada 28/12/2005 (6 hari selepas keputusan di Mahkamah Syariah), Mahkamah hanya membenarkan perintah (a) iaitu pemohon adalah isteri kepada Moorthy a/l Maniam dan relief dari (b) hingga (g) ditolak.

Mahkamah memutuskan :-
“ Pada saya, memandangkan di dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa simati adalah seorang Islam, maka mahkamah ini tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Syariah atau tidak menghiraukan sama sekali perintah tersebut.

… mahkamah yang mempunyai bidangkuasa dan kompeten untuk menentukan apa-apa perkara yang timbul di dalam Akta 505, seperti kesahan pemelukan seseorang itu ke agama Islam adalah Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil. Ini adalah selari dengan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara di mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.”




Tahun 2006

KES 3
Dalam Perkara Permohonan Perisytiharan Pembubaran Perkahwinan Disebabkan Pertukaran Agama- Permohonan Siti Aisyah Janthip Aisam [2006] 21(ii) JH 262 (8/1/2006).

Latar belakang kes
Pemohon, Siti Aisyah Janthip Aisam (warganegara Thailand) berkahwin dengan Enui anak lelaki Aisom (warganegara Malaysia) di Kuil Tin Ann Kong, Pasir Puteh, Kelantan pada 31/5/1990 dan didaftarkan mengikut Akta Membaharui Undang-Undang(Perkahwinan dan Perceraian), 1976.

Kedua-dua mereka pada ketika itu beragama Buddha.  Pemohon masuk Islam pada 20/2/2005 dan membuat permohonan pembubaran perkahwinan antara Pemohon dan suaminya;Enui anak lelaki Aisom.

Mahkamah memutuskan :-
Perkahwinan pada 31/5/1990 terputus mengikut Hukum Syara’ akibat daripada masuknya Siti Aisyah Janthip Aisam ke agama Islam mulai 20/2/2005 dengan tidak diikuti masuk Islam oleh Enui anak lelaki Aisom dalam tempoh ‘iddah Siti Aisyah Janthip Aisom mulai 8/1/2006. Mahkamah perintah Pemohon ber’iddah dengan ‘iddah suci dalam talak bain bermula 8/1/2006 bersamaan 8 Zulhijjah 1426.

Mahkamah sabit perkahwinan Siti Aisya Janthip Aisam dengan Enui anak lelaki Aisom mengikut agama Buddha pada 31/5/1990 terbubar mengikut Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 mulai 8/1/2006 bersaman 8 Zulhijjah 1426 akibat daripada masuknya Siti Aisyah Janthip Aisam ke agama Islam mulai 20/2/2005 dengan tidak diikuti masuk Islam oleh Enui dalam tempoh ‘iddah Siti Aisyah Janthip Aisam.
Tahun 2008

KES 4
Pemohon, Nur Adryana Qestina binti Abdullah@Audrey Christina Samuel berkahwin dengan S. Gopal a/l Subramaniam pada 21/6/2001 mengikut agama Kristian di gereja Katholik Holy Redeemer dan didaftarkan di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang(Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Latar belakang kes
Mereka telah memperolehi dua orang anak iaitu Melissa Chrysyl Benedict dan Jason Louise Benedit (masing-masing berumur 6 dan 4 tahun)Pada 13/4/2007 Pemohon memeluk Islam dan suaminya kemudian bertindak keluar dari rumah dan membawa kedua-dua anaknya.

Pada 4/5/2007 Pemohon memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban untuk pembubaran perkahwinan. Walau bagaimanapun, suaminya gagal hadir ke Mahkamah Syariah sungguhpun diserahkan Saman.

Mahkamah memutuskan :-
Perkahwinan Adryana Qestina binti Abdullah @ Audrey Christina Samuel dengan S. Gopa terputus mengikut Hukum Syarak akibat dari masuknya Adryana Qestina binti Abdullah ke Agama Islam mulai pada 13/4/2007.

Bagi tempoh ‘iddah Pemohon, Mahkamah telah merujuk kepada 2 kitab bagi menentukan tempoh ‘iddah iaitu:-

(1) Kitab Dr. Wahbah al-Zuhayli yang berjudul al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh  yang bermaksud:

 “Perpisahan ini adalah dikira sebagai talak bain mengikut pendapat Abu Hanidah dan Muhammad. Manakala Abu Yusof pula berpendapat ia adalah pemisahan tanpa sebarang talak”.

(2) Kitab Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mua’sarah Juz 2 hlm 201 menyatakan:-

“Sekiranya suami itu terhalang daripada masuk Islam, maka mahkamah hendaklah memisahkan mereka berdua.Dan perpisahan  mereka adalah seperti talak bain yang diputuskan oleh mahkamah, dan wajib ke atas isteri itu, iddah yang telah ditetapkan oleh syarak yang bermula  apabila ia dipisahkan oleh mahkamah denan syarat dia tidak kembali dengan bekas suaminya. Dan iddah dalam kes ini ialah selama tiga kali haid yang sempurna atau sekiranya dia mengandung sehingga melahirkan anak”.

Mahkamah memerintahkan bahawa Adyana Qestina binti Abdullah@Audrey Christina Samuel beriddah selama tiga(3) kali suci dalam talak bain  bermula pada 27/4/2007 (tarikh keputusan) bersamaan dengan 12 Rejab 1428H.

Walau bagaimanapun, tiada perintah dibuat mengenai siapakah berhak mendapat penjagaan anak dan juga kedudukan agama anak-anak tersebut.


KES 5
Siti Fatimah Tan binti Abdullah v Majlis Agama Islam Pulau Pinang kes Mal No.07100-043-0191-2006 MTS Pulau Pinang (kes tidak dilaporkan) Tuan Hj Othman bin Ibrahim HMTS (8/5/2008)

Pemohon memfailkan permohonan pengisytiharan murtad di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Latar belakang kes
Plaintif Siti Fatimah Tan bt Abdullah  atau nama asalnya Tan Ean Hung adalah pada asalnya seorang beragama Buddha.

Pada 25/7/1998 beliau telah memeluk Islam dan didaftarkan dengan nama Siti Fatimah Tan bt Abdullah dan pada 4/8/1999 berkahwin dengan seorang warganegara Iran, Ferdoun Aslanian.

Walau bagaimanpun, selepas 4 bulan berkahwin,suaminya telah menghilangkan diri.

Plaintif mengakui beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan tidak pernah diajar atau di bawa mempelajari Agama Islam oleh suami.

Pada masa yang sama beliau beramal dengan ajaran Buddha dan menyembah berhala Tokong Tok Pek Kong, Kuang Yim Neo dan Ti kong, pada setiap hari walaupun semasa menjadi suami isteri bagi pasangan tersebut.

Beliau menyembah berhala itu pada setiap hari dan pada masa yang sama suami ada ikut serta semasa pergi ke Tok Kong Kuang Yim Neo.

Ini disahkan lagi dengan keterangan baiyinah adik saudara kandung plaintif sendiri semasa memberi keterangan di mahkamah. Beliau tinggal bersama dengan kakaknya dan melihat kakaknya menjalankan upacara ajaran Buddha dengan menyembah tokong itu setiap hari.

Mahkamah memutuskan :-
Berdasarkan keadaan plaintif dan qarinah-qarinah yang ditunjukkan itu amat jelas bahawa beliau tidak mengamalkan ajaran Islam sejak dari mula memeluk Islam lagi, akibat dari kekurangan inilah beliau ingin kembali kepada agama asalnya iaitu buddha. Walaupun mahkamah memandang serius hal ini, tetapi mahkamah tidak mempunyai pilihan melainkan memutuskan iaitu permohonan plaintif ini diluluskan….mahkamah itu memerintahkan MAIPP untuk membatalkan pendaftaran sijil akuan memeluk Islam beliau.




Ahad, 6 Ogos 2017

ISU ANAK TAK SAH TARAF (2017)

(Petikan Akhbar BHOnline 27hb Julai 2017)

JPN tidak terikat fatwa nama bapa anak tidak sah taraf

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Dalam keputusan penting setebal 29 muka surat, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya ialah meluluskan permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.

Beliau berkata, BDRA tidak mencerminkan penggunaan sebarang prinsip substantif undang-undang Islam dalam proses pendaftaran, dan menambah bahawa Seksyen 13A (2) akta itu membenarkan anak tidak sah taraf dibin/bintikan kepada nama individu yang mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.

Abdul Rahman berkata, ketua pengarah pendaftaran negara bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada 'Abdullah' kepada nama bapa anak itu dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa seseorang anak tidak boleh berbin/bintikan nama bapa jika ia anak tidak sah taraf.


"Fatwa, kami ulangi, bukan undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang serta tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi ketua pengarah pendaftaran negara untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut Seksyen 13A (2) BDRA," katanya.

Abdul Rahman berkata, fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Beliau berkata, Seksyen 13A (2) BDRA tidak memberi kuasa kepada ketua pengarah pendaftaran negara untuk menolak hasrat seorang ayah yang mahukan seorang kanak-kanak dinisbahkan kepada namanya.

"Juga tidak ada peruntukan yang memberinya kuasa untuk memutuskan sendiri nama bapa kanak-kanak itu 'Abdullah'," katanya semasa membenarkan rayuan satu pasangan dan seorang kanak-kanak yang nama mereka dirahsiakan mahkamah bagi melindungi identiti anak terbabit.

Beliau berkata, BDRA tidak membezakan anak orang Islam dan bukan Islam, dan seksyen 13A(2) akta tidak menyatakan anak tidak sah taraf Islam mesti diberi layanan berbeza berbanding anak bukan Islam dalam perkara berkaitan pendaftaran nama bapa/keluarga, serta tidak menyatakan dalam kes anak orang Islam mesti berbin/bintikan 'Abdullah'.

"Fatwa yang dikeluarkan badan agama hanya melibatkan pentadbiran undang-undang Islam atau hukum syarak dan tidak kena-mengena dengan tugas ketua pengarah pendaftaran negara berdasarkan BDRA untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

Pada 25 lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Rahman, Datuk Tengku Maimum Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof membenarkan rayuan pasangan itu yang memohon perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara menggantikan nama 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil kelahirannya.

Pasangan itu, kedua-duanya beragama Islam, berkahwin secara sah pada 2009 dan anak berkenaan lahir di Johor pada tahun berikutnya, iaitu lima bulan dan 24 hari (lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan mereka.

Kelahiran kanak-kanak itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat menurut Seksyen 12 (1) BDRA dan pasangan terbabit secara bersama memohon nama bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada anak berkenaan.

Bagaimanapun, pada sijil kelahiran kanak-kanak itu yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012, nama bapa kanak-kanak diletakkan sebagai 'Abdullah', bukan nama ayahnya.

Pada Februari 2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Ini menyebabkan mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh kanak-kanak tersebut menerusi rakan-rakannya iaitu ibu bapanya dan menamakan JPN, ketua pengarah pendaftaran negara serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata bukan satu keperluan undang-undang bahawa sijil kelahiran anak tidak sah taraf mesti disokong dengan Seksyen 13 akta berkenaan memandangkan seksyen itu hanya menetapkan prosedur bagi si bapa didaftarkan sebagai ayah kepada anak tidak sah taraf terbabit dan ia tidak mengarahkan maklumat tersebut dimasukkan dalam sijil kelahiran.

'Justeru, adalah keterlaluan dan langsung tidak perlu untuk menisbahkan apa-apa nama bapa/keluarga kepada anak dalam sijil kelahiran melainkan, dalam kes anak orang Islam, bagi tujuan mengumumkan kepada seluruh dunia yang anak itu anak tidak sah taraf dengan menyertakan nama 'Abdullah' bersama namanya dalam sijil kelahiran.


"Kami percaya Islam tidak menyokong perbuatan memalukan anak yang tidak bersalah itu secara terbuka sedemikian.

"Perayu pertama (si anak), terpaksa membawa stigma anak tidak sah taraf sepanjang hidupnya, kes klasik dihukum atas dosa ibu bapa yang pada hakikatnya berkahwin secara sah sebelum dia dilahirkan," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu kekal sebagai ibu bapa kanak-kanak berkenaan sehingga sekarang dan kesedihan kanak-kanak tersebut akan bertambah jika dia membandingkan sijil kelahirannya dengan sijil kelahiran adik-adik (jika ada) yang tertera nama bapa mereka, tidak seperti sijil lahirnya.

"Kita boleh bayangkan kesedihan perayu pertama (si anak), apatah lagi perasaan malu yang ditanggungnya untuk sepanjang hayat. Sekeping sijil kelahiran menjadi peringatan pedih tentang situasi kelahirannya ke dunia ini. Ia tidak patut dijadikan instrumen malu," katanya. - BERNAMA

_______________________________________________________

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dibuat maka hendaklah orang awam fahami dahulu apa isi kandungan keputusan tersebut yang dapat disimpulkan seperti berikut:

  • Mahkamah menghujahkan bahawa fatwa-fatwa tidak mengikat mana-mana keputusan mahkamah
  • Institusi fatwa tidak mampu mengikat mana-mana muslim sebelum digazetkan sebagai satu bentuk undang-undang
  • Isu samada maksud anak tidak sah taraf ialah kurang daripada 6 bulan qamariah daripada tempoh pernikahan
  • Isu aib malu dengan melabelkan stigma bin Abdullah kepada anak tak sah taraf lebih utama berbanding menyekat hubungan zina yang boleh menghasilkan anak tak sah taraf
Dari segi syarak, kami berpuashati dengan catatan daripada laman web jabatan mufti wilayah dalam slot bayanlinnas seperti berikut; - 

http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1714-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan

dengan menyimpulkan bahawa, 

....Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita

Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam. 
Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam. 
____________________________________________________________


Ke mana halatuju kes seperti ini?

Hendaklah difahami anak-anak tak sah taraf adalah hasil daripada 3 bentuk perkahwinan iaitu;
1. Perkahwinan Sindiket
2. Perkahwinan di Thailand atau mana-mana di luar negara yang tidak didaftarkan
3. Perkahwinan selepas mengandung

Kesemua kes-kes di atas hendaklah diselesaikan di peringkat Mahkamah Syariah terlebih dahulu yang berbidangkuasa terutama bagi perkahwinan sindiket dan juga di luar negara. bagi perkahwinan selepas mengandung akan ada perbezaan di antara enakmen antara negeri terutamanya bagi negeri perlis yang membenarkan anak tersebut dibinkan kepada ayahnya walaupun kurang dari 6 bulan melainkan ayah tersebut menafikan.

Katakanlah isunya berpusing sekitar ini...

Setelah pasangan zina ini menikmati keseronokan bermaksiat maka pasangan ini hilang punca dan tidak tentu arah apabila mengetahui si perempuan telah pun mengandung. Apatah lagi pasangan ini adalah dari keturunan 'have-have'. Maka pasangan ini bertaubat dengan apa yang telah mereka lakukan dan bernikah sebagai tanda mereka telah bertaubat, namun anak tadi tetapmenjadi bukti untuk semua manusia bahawa pasangan ini telahpun melakukan kesalahan sebelum ini.

Emosi apabila memikirkan kita adalah anak tersebut ibarat semasa kita kecil kita ada buat sesuatu kesalahan seperti memecahkan balang kuih raya kesukaan emak kita dan kita sorokkan setelah bertahun-tahun. Setiap kali emak bertanyakan tentang balang tersebut pasti kita diam seribu bahasa dan cuba menukar topik bicara sedangkan ibu kita tahu tentang apa yang terjadi namun sengaja hendak menguji kejujuran kita.

Allah telah menyediakan hukuman yang setimpal bagi hal-hal yang berkaitan, Allah penuh rahmah dan kasih sayangNya melebihi kita hambaNya yang hina. Berlapang dadalah, kerana hal ini perlu keyakinan iman dan kesabaran tinggi dalam menyelesaikan permasalahan hidup dan tidaklah melaungkan slogan menyalahkan ulama dan bijak pandai kerana mereka mengukur denga hikmah sedangkan kita menafsirkannya hanya dengan menganggap kita di tempat mereka.

Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa sebegini bagi memutuskan isu kesahtarafan anak tersebut terlebih dahulu sebelum mengisukan hal ayah biologi dan juga perintah nafkah terhadap anak tersebut. Apa yang penting, dapatkan informasi perundangan yang tepat sebelum bertindak. Kami juga pernah dan sedang membicarakan kes seperti ini di Mahkamah dan kami ialah FASSO...  

Rabu, 26 April 2017

HIBAH

Salam pembaca sekalian,

Akhir-akhir ini banyak sekali iklan di radio mahupun media masa yang lain berkaitan hibah, Hibah Amanah lah, Takaful Hibah la, Hibah wasiat la, Hibah ASB dan macam-macam lagi produk yang keluar setelah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dipinda daripada BAFIA. kretif nya pihak institusi kewangan memunuclkan produk-produk yang boleh mendatangkan keuntungan namun terlupa landasan perundangan yang akan digunapakai sekiranya berlaku pertelingkahan.

Mari kita semak terlebih dahulu perbezaan maksud-maksud hibah dengan cara yang paling mudah. Mazhab Hanafi - hibah adalah memberikan suatu benda tanpa menjanjikan ganjaran.
Mazhab Maliki -  hibah adalah memberikan suatu barang milik sendiri tanpa mengharap suatu ganjaran kepada orang yang diberi.
Mazhab Syafie - hibah ialah memberikan barang milik sendiri secara sedar sewaktu hidup.

Secara mudah faham, hibah dapat dipenuhi dengan menyempurnakan 4 rukun utama dalam hibah iaitu 1.Pemberi Hibah 2.Penerima Hibah 3.Barang yang dihibahkan 4.Sighah (ijab dan Qabul).

Beberapa fakta asas yang perlu diketahui berkaitan hibah, iaitu:
1. seseroang boleh menghibahkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki semasa masih hidup.
2. hibah hanya boleh dilakukan untuk hartanah yang telah bebas daripada bebanan dan tidak tergadai kepada bank. (rujuk peguam anda)
3. hibah bersyarat atau hibah amanah adalah tidak sah dari segi mazhab syafie dan ianya tidak boleh dikuatkuasakan di Mahkamah Syariah.
4. pemberi hibah hendaklah memfailkan pengesahan hibah di Mahkamah Syariah untuk mengesahkan hibah tersebut.
Sebagai kesimpulan fakta ringkas ini, para pembaca perlu rujuk peguam-peguam yang berkelayakan bagi melaksanakan hibah dengan sempurna. Alangkah bahagianya harta yang kita kumpul selama penat hidup bekerja puluhan tahun dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar penyambung amalan baik kita setelah kita meninggal. Surah an Nisa: 8 dan Surah al Baqarah: 177 sebagai kasihnya pemberi hibah kepada penerimanya. 

Ahad, 16 April 2017

Cawangan FASSO di Jempol Negeri Sembilan

Jempol, 1 Mac 2017 - Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan Yang Maha Berkuasa menjadikan sesuatu dan mentakdirkan sesuatu maka Fakhrurrazi Associates berkembang dalam membuka cawangan firma guaman di daerah Jempol Negeri Sembilan.

Kedudukan firma ini bertentangan dengan masjid Tunku Mukhriz di simpang empat Bandar Baru Serting di barisan lot-lot kedai yang pertama. kami berada di tingkat satu dan yang paling menariknya selain dijadikan firma guaman, cawangan ini juga beroperasi sebagai pusat kursus perkahwinan bagi daerah jempol, muazzam, kuala pilah dan yang sekitar dengannya.


bagi mereka yang ingin berurusan dengan pihak kami jangan lupa no hotline sebagaimana tertera dan anda akan dibantu oleh kerani cik nurul dalam mendapatkan perkhidmatan FASSO.


Rabu, 1 Februari 2017

Harta Sepencarian: Semudah A-Z

Salam semua pembaca yang dirahmati Allah, perkahwinan sememangnya indah dan asyik pada awalnya dan pada keseluruhannya sekiranya betul niat dan matlamat perkahwinan. Namun andai hujan di tengahari selepas menyangka panas sepanjang hari dan sangkaan anda pula pada musim tengkujuh maka selain perebutan anak-anak atau zuriat anda berdua maka akan terbit juga masalah pembahagian harta semasa tempoh perkahwinan. Penulisan ini ditulis secara ringkas, dan mudah faham sehingga anda akan menghubungi peguam untuk melantik kami.

Sekiranya berlaku penceraian, setiap pasangan berhak mendapatkan HARTA YANG DIPEROLEHI SEMASA TEMPOH PERKAHWINAN. 

Harta boleh lah difahamkan jisim berbentuk ataupun tidak, bergerak atau menetap statik yang bernilai dari sudut pandang manusia normal. Biasanya tuntutan HARTA SEPENCARIAN ialah seperti RUMAH, KERETA, MOTOR, TANAH, SAHAM, PERKAKASAN RUMAH, ALAT-ALAT GADJET, AKAUN SIMPANAN atau apa sahaja yang berharga dan mempunyai nilai.

NAMUN, 

Ada juga pihak-pihak yang menuntut lesong batu, selipar jamban, mahupun baju kelawar sebagai harta sepencarian kerana berasa itu BERHARGA  bagi mereka yang menilai dari sudut nilai 'sentimental value'.
Camne nak tahu berapa hak pihak-pihak?

Ianya ditentukan oleh mahkamah melalui takat sumbangan. Pihak mana yang banyak menyumbang secara langsung atau pun tidak. Jika anda seorang SURIRUMAH ATAU SURARUMAH jangan risau kerana anda juga berhak menuntut harta sepencarian.
Kes-kes seperti ini hendaklah diselesaikan secara bijaksana terutamanya memahami dahulu adakah harta yang dituntut itu HARTA atau HUTANG??? Apa lagi, kami berpengalaman menyelesaikan tugasan sebegini di seluruh mahkamah tinggi syariah di Malaysia. Kami FASSO, boleh dekati diari Rakan Guaman FASSO di FB anda.. Tq