Selasa, 20 Januari 2015

Mengajar Agama Tanpa Tauliah (Edited 21Mac2015)

Artikel dikeluarkan di Berita Harian pada Khamis 19hbMac2015 di bawah Persatuan Peguam Muslim Malaysia
 
 
19hb Januari 2015, Sungai Ramal Dalam - sebaik sahaja tamat program Pencetus Ummah musim kedua, siapa yang tidak kenal dengan PU AZMAN, apatah lagi kecoh tentang beliau tidak boleh berceramah dan semua jemputan beliau di tempat beliau sendiri dibatalkan. Maka adalah kata-kata sumbang yang membuat perbandingan dengan zaman nabi SAW yang mana dakwah tidak perlukan tauliah dan sebagainya. Bahkan kehairanan melihat 'pak ustaz' lantang menyatakan ketidakpuashatian di sana-sini baik di media masa dan sebagainya. Maka terpanggil dengan situasi ini, aku menulis.
Umumnya, pengajaran di masjid-masjid yang melibatkan orang ramai memerlukan pemilikan tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa agama sebelum seseorang guru/ustaz dibenarkan mengajar. Begitu juga, tajuk dan bahan pengajaran juga dikawal oleh undang-undang daripada menggunakan majalah, buku-buku atau bahan penerbitan yang salah yang bertentangan dengan ajaran Islam, yang boleh menimbulkan kontroversi, menggugat ketenteraman awam atau yang diharamkan penggunaannya di Malaysia. Bagi membincangkan perundangan ini dengan lebih terperinci, aspek-aspek mengenai tauliah, kesalahan yang dikenakan, kandungan dan bahan pengajaran akan dibincangkan dengan lebih lanjut sebagaimana berikut:
 

TAULIAH


Tauliah ialah kebenaran yang diberikan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu tugas atau perkara seperti menjadi imam, membaca khutbah, mengajar, berceramah, jurunikah dan sebagainya. Berdasarkan maksud ini, istilah “tauliah” pada asalnya adalah umum iaitu merujuk kepada apa sahaja keizinan, kuasa atau tugas yang dibenarkan oleh undang-undang dalam melakukan sesuatu perkara. Manakala tauliah bagi maksud pendidikan dan pengajaran ialah kebenaran ke atas seseorang pengajar, pendidik, guru, ustaz dan sebagainya untuk mengajar kepada masyarakat awam di sesebuah negeri berdasarkan undang-undang pentadbiran agama yang berkuatkuasa di negeri tersebut.

 

Pemberian tauliah kepada seseorang pengajar adalah sebagai suatu bentuk kawalan undang-undang ke atas penceramah atau pengajar agama Islam di surau, masjid atau kawasan awam di seluruh negeri bagi mengawal kelayakan dan kecenderungan seseorang pengajar. Ini bagi memastikan bahawa seseorang pengajar itu mempunyai ilmu agama yang mencukupi, tidak dipengaruhi sentimen atau aliran yang tidak diterima masyarakat atau mengawal isu-isu yang cuba disampaikan daripada menimbulkan ketidaktenteraman dalam masyarakat. Ini kerana mengikut sumber daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat kira-kira 55 ajaran yang telah diwartakan sebagai sesat dan diharamkan daripada diajar di Malaysia. Ketiadaan kawalan melalui tauliah ini boleh meletakkan masyarakat awam dalam ancaman dan bahaya akibat daripada pengajar yang tidak layak, memilik pemikiran songsang, ekstremis, liberal, sesat dan sebagainya.

 
 
Bagi maksud mendapatkan tauliah, Selangor mempunyai Jawatankuasa Tauliah yang dilantik menurut Seksyen 118, Bahagian X Pendidikan Agama Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) No. 1 Tahun 2003 yang memperuntukkan:
(1) Majlis hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Tauliah, yang hendaklah terdiri daripada—
a) Setiausaha Majlis, sebagai Pengerusi; dan
b) tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih daripada tujuh orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai
(2) Majlis hendaklah bertanggungjawab bagi melaksanakan keputusan-keputusan Jawatankuasa itu.
(3) Jawatankuasa Tauliah hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu.
 
Di samping peruntukan ini, Selangor juga menggubal Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 yang menggariskan dengan lebih terperinci jawatankuasa tauliah, kategori tauliah, kelayakan, prosedur memohon tauliah, pengeluaran tauliah, tempoh sah tauliah, penggantungan dan penarikan balik tauliah serta kewajipan pemegang tauliah.
MAZA juga tidak terlepas daripada tangkapan dan dituduh berceramah tanpa tauliah dan memperkuat kuasakan undang-undang tanpa mengenal siapa bahkan beliau adalah bekas mufti semasa tangkapan dibuat.
Artis berhijrah juga dikenakan tuduhan yang sama bahkan ada pihak-pihak yang meragukan pengetahuan beliau dalam bidang agama sebagai penceramah yang bercakap tentang agama.
 
Selain daripada Selangor, nama Jawatankuasa Tauliah turut digunapakai di Negeri Sembilan (Enakmen 10/2003: 11). Bagaimanapun di Wilayah Persekutuan (Akta 505/1993: 96) dan Sabah (Enakmen 3/1995: 81), jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama. Sementara di Johor (Enakmen 16/2003: 118), Melaka (Enakmen 7/2002: 106), Perak (Enakmen 4/2004: 107), Pulau Pinang (Enakmen 2/2004: 118) dan Kedah (Enakmen 9/2008:81) ia dikenali sebagai Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam. Di Terengganu pula, jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam (Enakmen 2/2001: 102). Di Pahang, ia dikenali Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Agama (Enakmen 3/1991: 112)
Di Sarawak, didapati tiada peruntukan khusus mengenai tauliah dalam Ordinan Negeri. Bagaimanapun, Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 masih boleh melaksanakannya jika menggunapakai peruntukan Seksyen 57 dengan tafsiran yang lebih meluas. Seksyen ini ialah mengenai penubuhan ‘Lembaga-lembaga Masjid’ yang antara lainnya berdasarkan Seksyen 57(2)(a), Lembaga Masjid berbidangkuasa untuk menjalankan kawalan dan pengawasan ke atas semua masjid yang ditubuhkan di dalam Negeri. Dalam maksud ini, ‘kuasa kawalan dan pengawasan’ boleh ditafsirkan juga meliputi kuasa mengeluarkan kebenaran mengajar atau tauliah di masjid-masjid di dalam Negeri Sarawak.
 
Permohonan untuk mendapatkan tauliah mengajar boleh dihantar kepada Majlis Agama Islam setiap negeri yang terlibat. Di Pulau Pinang misalnya, pemohon hendaklah mengisi Borang 1 (Permohonan untuk Mendapatkan Tauliah Mengajar) berdasarkan Kaedah-kaedah Pentadbiran Aktiviti-aktiviti yang Berkaitan dengan Pengajaran Agama (Negeri Pulau Pinang) 1998 (Kaedah 9). Sesuai dengan matlamat memastikan kelayakan seseorang penceramah, maka di antara maklumat yang diminta ialah keterangan mengenai ‘mazhab dalam syariat dan iktikad’ seseorang pemohon di samping maklumat peribadi yang lain. Pemohon juga dikehendaki menyatakan kelulusan akademik dan kitab yang bakal digunakan dalam pengajaran.
 
Dalam Borang 1 ini juga, di antara bentuk-bentuk tauliah yang boleh dipohon di Pulau Pinang ialah ;
(1) mengajar agama dan ceramah umum,
(2) mengajar fardhu ain,
(3) mengajar al-Quran dan Tajwid, dan
(4) kesemua di atas.
 
Jika dilihat, kategori tauliah ini ada beberapa elemen persamaan dengan yang diperuntukkan dalam Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008. Untuk dibandingkan ialah sebagaimana di bawah ;
(1) Tauliah Ceramah Umum yang membenarkan pemegangnya memberi ceramah umum berhubung dengan apa-apa aspek agama Islam di mana-mana tempat dan dengan apa-apa jua cara selain dari mengajar agama Islam secara berkala;
(2) Tauliah Mengajar Agama Islam berkitab yang membenarkan pemegangnya mengajar agama Islam secara berkala di mana-mana tempat;
(3) Tauliah Khas yang membenarkan seseorang yang bukan warganegara yang dijemput khas oleh Kerajaan Negeri, jabatan atau agensinya memberi ceramah umum berhubung dengan apa-apa aspek Agama Islam dalam program tertentu;
(4) Tauliah Mengajar Al-Quran yang membenarkan pemegangnya mengajar Al-Quran di mana-mana premis; atau
(5) Tauliah Khas bagi individu yang tidak memiliki kelayakan seperti yang ditetapkan dalam perenggan 11(1)(f) untuk mengajar bidang tertentu
Peraturan di Selangor juga ada menggariskan syarat-syarat dan kelayakan yang perlu dimiliki oleh seseorang yang memohon tauliah. Syarat-syarat yang diperuntukkan di Selangor adalah terperinci, iaitu;
(a) beragama Islam dari kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah;
(b) berumur 18 tahun ke atas;
(c) sihat tubuh badan dan sempurna akal;
(d) berakhlak dengan akhlak Islam;
(e) tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah oleh Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah;
(f) mempunyai pengetahuan agama Islam sekurang-kurangnya di peringkat Empat Sanawi atau yang setaraf dengannya;
(g) lulus ujian bertulis atau temuduga yang dijalankan oleh Jawatankuasa, jika dikehendaki oleh Jawatankuasa;
(h) mendapat kebenaran bertulis dari majikan; dan
(i) bermastautin dalam Negeri Selangor.
 
Sementara daripada sudut tempoh masa, Jawatankuasa ini mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan sesuatu tauliah tidak melebihi lima tahun berkuat kuasa dari tarikh ia dikeluarkan melainkan digantung atau ditamatkan lebih awal. Didapati juga, kebanyakan peruntukan Negeri mengecualikan keperluan tauliah dalam pengajaran agama Islam sekiranya mengajar membaca al-Quran atau memberi penerangan mengenai agama Islam kepada ahli rumahnya sendiri.
 
 

Jelasnya, tauliah ini penting bagi mengekang terlalu banyak permasalahan sosial yang berlaku dalam masyarakat kita antaranya permasalahan perpaduan umat Islam, ajaran sesat, fanatik berkumpulan, fahaman ekstremis dan masalah moral dalam kalangan penceramah. Justeru, oleh kerana perkara agama terletak di bawah bidangkuasa setiap negeri yang berbeza, maka keperluan tauliah hendaklah diperolehi daripada setiap negeri terlibat. Secara logiknya, terdapat 14 negeri di Malaysia maka ini bermakna seseorang pendakwah perlu mendapat 14 tauliah sekiranya ingin berceramah di seluruh Malaysia.

Di Selangor, Peraturan 23 Peraturan-peraturan Tauliah turut menjelaskan beberapa kewajipan yang perlu dipenuhi oleh pemegang tauliah, iaitu:
(i) memberi ceramah umum mengenai apa-apa aspek Agama Islam atau mengajar Agama Islam berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Ijma’ dan Qias;
(ii) berakhlak mulia dan amanah;
(iii) menjalankan daya usaha untuk mengekalkan, memperbaiki dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan masyarakat Islam dan menggalakkan orang Islam meninggikan taraf hidup dan ekonomi serta menambahkan amalan dan takwa mereka kepada Allah;
(iv) tidak memfitnah saudara Islam yang lain; dan
(v) mematuhi undang-undang atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan oleh MAIS dan Jawatankuasa dari semasa ke semasa.
 
 

Walaupun bidangkuasa pemberian tauliah ini di bawah kuasa Majlis Agama Islam, sedikit sebanyak pengaruh politik juga wujud apabila beberapa orang tokoh yang memilih aliran politik berbeza dengan sesebuah Kerajaan boleh ditarik balik tauliah atau tidak diberikan tauliah langsung. Bidangkuasa ini selaras dengan peruntukan dalam Enakmen yang antara lain menyebut bahawa Majlis boleh mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada mana-mana peruntukan Bahagian ini mengikut budi bicaranya. Termasuk juga dalam hal ini untuk menyekat, menghalang dan tidak mengeluarkan tauliah. Contohnya, bekas Mufti Selangor iaitu Dato’ Ishak Baharom telah dihalang daripada menyampaikan ceramah dan kuliah dalam negeri Selangor setelah dilucutkan daripada jawatan Mufti. Begitu juga Dato’ Ismail Kamus, yang dahulunya bertanggungjawab dalam meluluskan sesuatu sijil tauliah, tetapi kemudiannya tidak diberi tauliah langsung. Begitu juga Datuk Dr Haron Din yang pernah tidak diberi tauliah untuk mengajar di surau atau masjid (Zulkifli Nordin, 2009).
 
KESALAHAN MENGAJAR TANPA TAULIAH
 
Kuasa kawalan perundangan tentu sekali mempunyai implikasi undang-undang jika tidak dipatuhi. Berdasarkan Enakmen Negeri-negeri, perbuatan mengajar agama tanpa tauliah dianggap telah melakukan satu kesalahan jenayah syariah. Sejak Enakmen terawal lagi iaitu Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 1952, kesalahan mengenainya telah diperuntukkan melalui Seksyen 166 yang berbunyi:

“Whoever, save in his own residence and in the presence only of members of his own household teaches or professes to teach any doctrine of the Muslim religion without the written permission in that behalf of the Kathi shall be punishable with imprisonment for a term not exceeding one month or with fine not exceeding one hundred dollars”.
 
Setelah Enakmen 1952 ini dimansuhkan, kesalahan dan penalti mengajar tanpa tauliah ini diperuntukkan pula dalam Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 dengan hukuman yang lebih berat. Peruntukannya berbunyi:
(1) Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 118 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi—
(a) mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 Enakmen ini; atau
(b) mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.
Hukuman yang sama diperuntukkan di Terengganu (Enakmen 2/2001: 103), Negeri Sembilan (Enakmen 4/1992: 53) dan Kedah (Enakmen 9/2008: 84). Manakala di Johor (Enakmen 16/2003: 119), Melaka (Enakmen 7/2002:107), Perak (Enakmen 4/2002: 108), Pulau Pinang (Enakmen 2/2004: 119), Sabah (Enakmen 3/1995: 49), Sarawak (Ordinan 46/2001: 11) dan Wilayah Persekutuan (Akta 559/1997: 11), hukuman yang diperuntukkan lebih tinggi iaitu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Di Kelantan pula, hukuman yang diperuntukan lebih ringan iaitu, boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya (Enakmen 4/1994: 117).
Di samping peruntukan kesalahan dan penalti melalui Enakmen Pentadbiran Agama, terdapat juga negeri yang memperuntukkan dengan peruntukan yang sama dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Sebagai contoh yang berlaku dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di Johor (Enakmen 4/1997: 11), Melaka (Enakmen 6/1991: 70), Perlis (Enakmen 4/1993: 33) dan Pulau Pinang (Enakmen 3/1996: 11). Justeru, terdapat dua peruntukan yang boleh dikenakan kerana kesalahan mengajar agama tanpa kebenaran di negeri-negeri ini iaitu sama ada berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah atau Enakmen Pentadbiran Agama Islam. Rata-rata peruntukan mengenai hukuman denda adalah sama di negeri-negeri ini kecuali di Perlis di mana jika berdasarkan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam 1964 (versi Bahasa Inggeris), hukuman yang diperuntukkan ialah denda yang tidak melebihi RM100.00 (Enakmen 3/1964: 125). Bagaimanapun dalam peruntukan Enakmen Jenayah dalam Syarak 1991 Perlis, hukuman yang dikenakan kerana mengajar agama tanpa kebenaran adalah lebih tinggi iaitu apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi seribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya (Enakmen 4/1993: 33).
 
Bagaimanapun di Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan mengenai penalti dimasukkan dalam peruntukan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam. Sebaliknya, peruntukan kesalahan dan penalti hanya diperuntukkan dalam satu statut sahaja iaitu di Negeri Sembilan dalam Enakmen Jenayah Syariah (4/1992: 53), di Sarawak dalam Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak (46/2001: 11), di Sabah dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (3/1995: 49) dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) (559/1997: 11). Sementara di Pahang, peruntukan penalti diperuntukkan melalui Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (8/1982: 161) dan bukannya dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Pahang (3/1991) sebagaimana di negeri-negeri lain.
 
KESIMPULAN
  1. Kepada semua pendakwah, penceramah agama, para daie dan asatizah mohon lah tauliah sebagai medium penapisan fahaman yang pelbagai di antara kita.
  2. Sekiranya kita mengenali penceramah tersebut terkenal dengan isu fahaman yang berbeza dari arus perdana maka berhati-hatilah dan mohonlah kebenaran berceramah sementara dari pejabat-pejabat agama.
  3. anggaplah memohon tauliah itu adalah langkah menyokong kepada usaha-usaha membasmi ajaran-ajaran sesat dan salah faham agama, kalau bukan kita para ustaz siapa lagi kan?
  4. Aku sendiri merasa payah memohon tauliah di negeri-negeri lain selain mengalami masalah tidak cekap para pegawai dan sebagainya tetapi aku cuba menjadi warganegara Malaysia yang baik, ilmu bukan diukur pada kelulusan akademik sahaja, tetapi dari situ jugalah kayu ukur ilmu para pendakwah.
  5. Hang kata hang terrar, cubalah mohon.

2 ulasan:

  1. tolong berikan cara untuk mendapatkan borang permohonan mendapatkan tauliah mengajar di Selangor, Kelantan, P. Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, melaka

    Saya faham keperluan tauliah tetapi proses dan prosidur Majlis Agama Islam Negeri untuk mendapatkan borang yang sukar...tolong bantu saya...

    BERSAMA MEMANDAIKAN UMAT ISLAM MEMBACA AL-QURAN

    www.haraki.my
    (belajar al-Quran 7 jam)
    zakaria1264@yahoo.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. hubungi jabatan mufti negeri2 untuk dapatkan borang. NO PAIN NO GAIN.

      Padam