Ahad, 6 Ogos 2017

ISU ANAK TAK SAH TARAF (2017)

(Petikan Akhbar BHOnline 27hb Julai 2017)

JPN tidak terikat fatwa nama bapa anak tidak sah taraf

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Dalam keputusan penting setebal 29 muka surat, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya ialah meluluskan permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.

Beliau berkata, BDRA tidak mencerminkan penggunaan sebarang prinsip substantif undang-undang Islam dalam proses pendaftaran, dan menambah bahawa Seksyen 13A (2) akta itu membenarkan anak tidak sah taraf dibin/bintikan kepada nama individu yang mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.

Abdul Rahman berkata, ketua pengarah pendaftaran negara bertindak secara tidak rasional apabila enggan mengubah nama bapa daripada 'Abdullah' kepada nama bapa anak itu dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa seseorang anak tidak boleh berbin/bintikan nama bapa jika ia anak tidak sah taraf.


"Fatwa, kami ulangi, bukan undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang serta tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi ketua pengarah pendaftaran negara untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut Seksyen 13A (2) BDRA," katanya.

Abdul Rahman berkata, fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

Beliau berkata, Seksyen 13A (2) BDRA tidak memberi kuasa kepada ketua pengarah pendaftaran negara untuk menolak hasrat seorang ayah yang mahukan seorang kanak-kanak dinisbahkan kepada namanya.

"Juga tidak ada peruntukan yang memberinya kuasa untuk memutuskan sendiri nama bapa kanak-kanak itu 'Abdullah'," katanya semasa membenarkan rayuan satu pasangan dan seorang kanak-kanak yang nama mereka dirahsiakan mahkamah bagi melindungi identiti anak terbabit.

Beliau berkata, BDRA tidak membezakan anak orang Islam dan bukan Islam, dan seksyen 13A(2) akta tidak menyatakan anak tidak sah taraf Islam mesti diberi layanan berbeza berbanding anak bukan Islam dalam perkara berkaitan pendaftaran nama bapa/keluarga, serta tidak menyatakan dalam kes anak orang Islam mesti berbin/bintikan 'Abdullah'.

"Fatwa yang dikeluarkan badan agama hanya melibatkan pentadbiran undang-undang Islam atau hukum syarak dan tidak kena-mengena dengan tugas ketua pengarah pendaftaran negara berdasarkan BDRA untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

Pada 25 lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Rahman, Datuk Tengku Maimum Tuan Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof membenarkan rayuan pasangan itu yang memohon perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara menggantikan nama 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil kelahirannya.

Pasangan itu, kedua-duanya beragama Islam, berkahwin secara sah pada 2009 dan anak berkenaan lahir di Johor pada tahun berikutnya, iaitu lima bulan dan 24 hari (lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan mereka.

Kelahiran kanak-kanak itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat menurut Seksyen 12 (1) BDRA dan pasangan terbabit secara bersama memohon nama bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada anak berkenaan.

Bagaimanapun, pada sijil kelahiran kanak-kanak itu yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012, nama bapa kanak-kanak diletakkan sebagai 'Abdullah', bukan nama ayahnya.

Pada Februari 2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Ini menyebabkan mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh kanak-kanak tersebut menerusi rakan-rakannya iaitu ibu bapanya dan menamakan JPN, ketua pengarah pendaftaran negara serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata bukan satu keperluan undang-undang bahawa sijil kelahiran anak tidak sah taraf mesti disokong dengan Seksyen 13 akta berkenaan memandangkan seksyen itu hanya menetapkan prosedur bagi si bapa didaftarkan sebagai ayah kepada anak tidak sah taraf terbabit dan ia tidak mengarahkan maklumat tersebut dimasukkan dalam sijil kelahiran.

'Justeru, adalah keterlaluan dan langsung tidak perlu untuk menisbahkan apa-apa nama bapa/keluarga kepada anak dalam sijil kelahiran melainkan, dalam kes anak orang Islam, bagi tujuan mengumumkan kepada seluruh dunia yang anak itu anak tidak sah taraf dengan menyertakan nama 'Abdullah' bersama namanya dalam sijil kelahiran.


"Kami percaya Islam tidak menyokong perbuatan memalukan anak yang tidak bersalah itu secara terbuka sedemikian.

"Perayu pertama (si anak), terpaksa membawa stigma anak tidak sah taraf sepanjang hidupnya, kes klasik dihukum atas dosa ibu bapa yang pada hakikatnya berkahwin secara sah sebelum dia dilahirkan," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu kekal sebagai ibu bapa kanak-kanak berkenaan sehingga sekarang dan kesedihan kanak-kanak tersebut akan bertambah jika dia membandingkan sijil kelahirannya dengan sijil kelahiran adik-adik (jika ada) yang tertera nama bapa mereka, tidak seperti sijil lahirnya.

"Kita boleh bayangkan kesedihan perayu pertama (si anak), apatah lagi perasaan malu yang ditanggungnya untuk sepanjang hayat. Sekeping sijil kelahiran menjadi peringatan pedih tentang situasi kelahirannya ke dunia ini. Ia tidak patut dijadikan instrumen malu," katanya. - BERNAMA

_______________________________________________________

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dibuat maka hendaklah orang awam fahami dahulu apa isi kandungan keputusan tersebut yang dapat disimpulkan seperti berikut:

  • Mahkamah menghujahkan bahawa fatwa-fatwa tidak mengikat mana-mana keputusan mahkamah
  • Institusi fatwa tidak mampu mengikat mana-mana muslim sebelum digazetkan sebagai satu bentuk undang-undang
  • Isu samada maksud anak tidak sah taraf ialah kurang daripada 6 bulan qamariah daripada tempoh pernikahan
  • Isu aib malu dengan melabelkan stigma bin Abdullah kepada anak tak sah taraf lebih utama berbanding menyekat hubungan zina yang boleh menghasilkan anak tak sah taraf
Dari segi syarak, kami berpuashati dengan catatan daripada laman web jabatan mufti wilayah dalam slot bayanlinnas seperti berikut; - 

http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1714-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan

dengan menyimpulkan bahawa, 

....Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita

Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam. 
Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah taraf juga di dalam Islam. 
____________________________________________________________


Ke mana halatuju kes seperti ini?

Hendaklah difahami anak-anak tak sah taraf adalah hasil daripada 3 bentuk perkahwinan iaitu;
1. Perkahwinan Sindiket
2. Perkahwinan di Thailand atau mana-mana di luar negara yang tidak didaftarkan
3. Perkahwinan selepas mengandung

Kesemua kes-kes di atas hendaklah diselesaikan di peringkat Mahkamah Syariah terlebih dahulu yang berbidangkuasa terutama bagi perkahwinan sindiket dan juga di luar negara. bagi perkahwinan selepas mengandung akan ada perbezaan di antara enakmen antara negeri terutamanya bagi negeri perlis yang membenarkan anak tersebut dibinkan kepada ayahnya walaupun kurang dari 6 bulan melainkan ayah tersebut menafikan.

Katakanlah isunya berpusing sekitar ini...

Setelah pasangan zina ini menikmati keseronokan bermaksiat maka pasangan ini hilang punca dan tidak tentu arah apabila mengetahui si perempuan telah pun mengandung. Apatah lagi pasangan ini adalah dari keturunan 'have-have'. Maka pasangan ini bertaubat dengan apa yang telah mereka lakukan dan bernikah sebagai tanda mereka telah bertaubat, namun anak tadi tetapmenjadi bukti untuk semua manusia bahawa pasangan ini telahpun melakukan kesalahan sebelum ini.

Emosi apabila memikirkan kita adalah anak tersebut ibarat semasa kita kecil kita ada buat sesuatu kesalahan seperti memecahkan balang kuih raya kesukaan emak kita dan kita sorokkan setelah bertahun-tahun. Setiap kali emak bertanyakan tentang balang tersebut pasti kita diam seribu bahasa dan cuba menukar topik bicara sedangkan ibu kita tahu tentang apa yang terjadi namun sengaja hendak menguji kejujuran kita.

Allah telah menyediakan hukuman yang setimpal bagi hal-hal yang berkaitan, Allah penuh rahmah dan kasih sayangNya melebihi kita hambaNya yang hina. Berlapang dadalah, kerana hal ini perlu keyakinan iman dan kesabaran tinggi dalam menyelesaikan permasalahan hidup dan tidaklah melaungkan slogan menyalahkan ulama dan bijak pandai kerana mereka mengukur denga hikmah sedangkan kita menafsirkannya hanya dengan menganggap kita di tempat mereka.

Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa sebegini bagi memutuskan isu kesahtarafan anak tersebut terlebih dahulu sebelum mengisukan hal ayah biologi dan juga perintah nafkah terhadap anak tersebut. Apa yang penting, dapatkan informasi perundangan yang tepat sebelum bertindak. Kami juga pernah dan sedang membicarakan kes seperti ini di Mahkamah dan kami ialah FASSO...