Isnin, 19 Ogos 2013

Sebatan Syariah (update 2013)

Dipetik daripada Temubual Ustaz Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi Al-hafiz, Ph.D dengan majalah Al-Islam pada ogos 2013


1.       Dalam hukum fekah terdapat hukuman sebat atau rotan bagi beberapa kesalahan. Minta tuan terangkan secara jelas kesalahan-kesalahan tersebut bersama dalil. Isu perlaksanaan hukuman sebat di bawah undang-undang syariah yang mengikut prinsip feqah telah lama diperdebatkan di negara ini sejak dari dahulu lagi bahkan ianya kerapkali diperbincangkan di kalangan ahli akademik serta masyarakat umum.
Secara asasnya, hukuman sebat di bawah undang-undang syariah adalah hukuman bagi kesalahan hudud seperti jenayah zina dan minum arak dan lainnya[1]. Ianya dilaksanakan hukuman sebat jika tertuduh berjaya dibuktikan di mahkamah bahawa dia melakukan jenayah tersebut yang dilakukan dengan sengaja atau dengan niat jenayah.

Sebagai contoh kesalahan jenayah zina yang dikeji dalam Islam seperti dalam surah isra ayat 32:

 Ÿwur (#qç/tø)s? #oTÌh9$# ( ¼çm¯RÎ) tb%x. Zpt±Ås»sù uä!$yur WxÎ6y ÇÌËÈ

 “dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia merupakan satu perbuatan yang keji serta seburuk-buruk jalan”.
Bahkan hukuman sebat bagi pesalah zina dikhususkan kepada pesalah yang bujang dan tidak mempunyai isteri yang sah pada masa kejadian sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Nur ayat 2:

 
èpuÏR#¨9$# ÎT#¨9$#ur (#rà$Î#ô_$$sù ¨@ä. 7Ïnºur $yJåk÷]ÏiB sps($ÏB ;ot$ù#y_ ( Ÿwur /ä.õè{ù's? $yJÍkÍ5 ×psùù&u Îû ÈûïÏŠ «!$# bÎ) ÷LäêZä. tbqãZÏB÷sè? «!$$Î/ ÏQöquø9$#ur ̍ÅzFy$# ( ôpkôuŠø9ur $yJåku5#xtã ×pxÿͬ!$sÛ z`ÏiB tûüÏZÏB÷sßJø9$# ÇËÈ

“Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, Maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus dali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman”

Manakala bagi pesalah zina yang telah berkahwin dan mempunyai isteri yang sah semasa kejadian dihukumkan rejam.

Walaupun hukuman sebat pada asasnya adalah merupakan hukuman hudud yang diperuntukkan khusus kepada jenayah-jenayah hudud, hukuman sebat juga turut boleh dijadikan sebagai hukuman takzir yang diperuntukkan kepada kesalahan-kesalahan jenayah takzir yang lain. Ternyata hukuman sebat di bawah jenayah-jenayah takzir juga adalah berasaskan kepada hukuman-hukuman sebat yang telah diperuntukkan dalam jenayah-jenayah hudud seperti yang telah diperbincangkan dalam jenayah zina di atas.

Walau bagaimanapun, bilangan sebatan hukuman sebat dalam konteks kesalahan-kesalahan jenayah takzir adalah jauh lebih sedikit jika dibandingkan dengan hukuman sebat di bawah kesalahan-kesalahan jenayah hudud. Ini bererti bilangan sebatan dalam konteks kesalahan jenayah takzir tidak boleh melebihi bilangan sebatan minima di bawah kesalahan hudud.

Dalam sebuah hadis, Abu Barda Ansari telah melaporkan bahawa Nabi SAW telah bersabda yang mana mafhumnya[2]:

“Hukuman (sebat itu) (dalam kes-kes takzir) tidak sepatutnya dilaksanakan lebih dari sepuluh kali sebatan, kecuali dalam kes-kes hudud yang merupakan hak Allah.”

 
Terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama’ mengenai bilangan sebatan yang paling minima bagi kesalahan jenayah takzir. Walau bagaimanapun, berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulama’ berpandangan bilangan sebatan, yang paling minima ialah sepuluh kali sebatan.[3]

 
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda yang bererti:[4]

“Barangsiapa yang melaksanakan (sesuatu hukuman) sehingga sampai had hukuman hudud dalam kesalahan-kesalahan yang bukan hudud, maka orang itu adalah terdiri dari golongan orang-orang yang melampau.”

 Dalam konteks perundangan syariah di Malaysia dengan merujuk di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, terdapat beberapa peruntukan undang-undang mengenai kesalahan-kesalahan jenayah syariah seperti kesalahan doktrin palsu serta kesalahan-kesalahan yang dianggap paling berat dan serius mahupun tidak bermoral. Kesemua kesalahan-kesalahan jenayah syariah tersebut ada memperuntukkan hukuman sebat.

1)   Kesalahan mengamalkan serta menyebarkan doktrin palsu, seksyen 4(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 telah memperuntukkan seperti berikut:

 Mana-mana orang yang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, samada tempat persendirian atau tempat awam, adalah melakukan suatu kesalahan jika doktrin atau upacara atau perbuatan itu berlawanan dengan hukum syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan, dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

 
2)   Bagi kesalahan-kesalahan yang menyalahi kesusilaan pula, terdapat banyak peruntukan undang-undang mengenainya di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

 
Seksyen-seksyen tersebut antara lainnya adalah seperti seksyen 23 (persetubuhan luar nikah), seksyen 20 (perbuatan sumbang mahram) serta seksyen 21 (pelacuran).
 

Kedua-duanya seksyen 23(1) dan seksyen 23(2) memperkatakan tentang jenayah melakukan persetubuhan di luar pernikahan yang sah di antara lelaki dan perempuan secara sukarela antara kedua-duanya. Seksyen 23(1) berbunyi:

 Mana–mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Dalam pada itu, seksyen 23(2) pula berbunyi:

Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
 

3)   Seksyen 20 pula menyentuh tentang kesalahan jenayah sumbang mahram yang melibatkan persetubuhan haram di luar pernikahan di antara lelaki dan perempuan yang merupakan mahram kepada satu sama lain secara sukarela antara kedua-dua belah pihak.

 Seksyen 20 tersebut berbunyi:

 
Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
 

4)   Seksyen 21(1) memperkatakan tentang kesalahan jenayah pelacuran yang melibatkan perilaku seorang perempuan yang dengan sengaja menawarkan diri serta melakukan persetubuhan haram dengan seorang lelaki lain di luar perkahwinan yang sah dengan menerima bayaran atas perkhidmatan yang telah ditawarkan kepada lelaki tersebut.

 Seksyen 21(1) menjelaskan:

 Mana – mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat        tidak  melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana – mana kombinasi hukuman tersebut.

 
5)  Seksyen 21(2)(a) dan (b) yang menjelaskan tentang kesalahan jenayah melacurkan isteri atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya ataupun menyebabkan kedua-duanya melacurkan diri berbunyi seperti berikut:

 
Sekyen 21(2)(a) dan (b) menjelaskan:

 
Mana-mana orang yang:

(a)     melacurkan isterinya atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya; atau

(b)     menyebabkan atau membenarkan isterinya atau kanak-kanak perempuan dalam peliharaannya melacurkan diri, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

 
6)   Seksyen 22 pula yang menguatkuasakan jenayah muncikari atau perlakuan menjadi ibu atau bapa ayam kepada aktiviti pelacuran sebagai suatu kesalahan jenayah syariah berbunyi:

 
Sekyen 22 menjelaskan:

 
Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana – mana kombinasi hukuman itu.

 
7)   Liwat serta musahaqah turut dianggap oleh syarak dan Akta sebagai dua jenis perlakuan jenayah Syariah yang wajar dihukum. Seksyen 25 yang menetapkan perlakuan seorang lelaki memasukkan batang zakar ke dalam dubur seseorang yang lain ataupun berliwat sebagai suatu perilaku jenayah berbunyi:

 Sekyen 25 menjelaskan:

 
Mana – mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana – mana kombinasi hukuman tersebut.
 

8)   Seksyen 26 pula yang menetapkan perlakuan seorang wanita menggesel-geselkan kemaluannya dengan kemaluan wanita lain ataupun musahaqah sebagai suatu perilaku jenayah menegaskan:

 
Sekyen 26 menjelaskan:

 
Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana – mana kombinasi hukuman tersebut.

Kesemua kesalahan yang dinyatakan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah tersebut adalah terbit daripada kesalahan jenayah hudud berkaitan zina bagi menjaga kemaslahatan umat manusia. Islam menjaga bukan sekadar kehidupan harri ini malah kelangsungan manusia dengan menjaga keturunan sehinggalah hari kiamat.

2.       Apakah cara pelaksanaan sebat yang tepat sebagaimana dalam hukum fekah dari sudut masa dan kaedah sebatan? Dibahagian tubuh manakah yang perlu disebat? Adakah dipunggung, belakang badan, tapak tangan atau bahagian-bahagian lain?

Berikut adalah metod serta cara-cara perlaksanaan hukuman sebat bagi apa jua kesalahan syariah pun, hudud mahupun takzir, hendaklah menepati metod serta cara hukuman sebat bagi jenayah hudud zina ini. Metod serta cara perlaksanaan hukum sebat yang dimaksudkan sebagaimana yang dijalankan bagi jenayah hudud zina adalah seperti berikut:[5]

Hukuman sebat tersebut mestilah bercirikan menghukum serta menginsafkan pesalah. Oleh itu, hukuman sebat tersebut hendaklah dilakukan dengan cemeti tanpa buah. Pegawai yang melaksanakan hukuman sebat itu juga tidak boleh mengangkat tangan melebihi paras kepalanya sewaktu menghayun cemeti untuk menyebat pesalah. Pukulan sebat yang dikenakan itu juga mesti bersifat sederhana kuatnya, tidak terlalu kuat dan tidak pula terlalu ringan. Ini bagi memastikan agar sebatan itu berupaya mendatangkan kesakitan yang sederhana ke atas pesalah tanpa mengakibatkan kulitnya melecet atau terkoyak.

Mengenai anggota tubuh badan yang disebat, para ulama’ secara keseluruhannya bersetuju bahawa sebatan-sebatan yang dikenakan haruslah tidak bertumpu kepada satu-satu anggota badan atau bahagian-bahagian badan yang tertentu sahaja. Ini bagi mengelakkan kulit pesalah dari melecet atau terkoyak akibat disebat berkali-kali pada tempat yang sama. Mazhab Hanafi mewajibkan agar sebatan itu diagih-agihkan kepada anggota badan yang lain seperti bahu, lengan, betis, kaki dan sebagainya. Setiap sebatan itu mestilah menjauhi anggota-anggota badan yang ditakuti boleh membawa maut seperti muka, kepala, dada, perut serta kemaluan. Ini dipersetujui oleh Imam Shafie. Imam Ahmad pula berpandangan sebatan yang dikenakan boleh dibahagi-bahagikan kepada semua anggota kecuali muka, kepala dan kemaluan. Manakala Imam Malik pula menambah bahawa sebatan yang dikenakan haruslah pada bahagian belakangnya serta anggota-anggota yang berhampiran dengannya.

Contoh bagaimana sesuatu hukuman sebat itu boleh diaplikasikan menurut metod serta cara yang selari dengan prinsip syariah ialah peruntukan undang-undang mengenai perlaksanaan hukuman sebat di bawah Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang didapati hampir selari peruntukan undang-undangnya dengan The Execution of The Punishment of Whipping Ordinance, 1979 (Ordinance No: IX of 1979), Islamic Republic of Pakistan.

 




3.       Apakah syarat-syarat yang perlu ada sebelum seseorang itu menerima hukuman sebat?

Hukuman sebat tidak boleh dilakukan dengan cara yang boleh memudaratkan mahupun membinasakan pesalah. Itu sebabnya hukuman sebat tersebut tidak boleh dilakukan dalam cuaca yang terlalu panas ataupun terlalu sejuk. Malah, menurut mazhab Shafie dan Hambali, sekiranya pesalah sakit atau uzur sehingga tidak tahan disebat bertalu-talu tanpa berhenti, orang yang melaksanakan hukuman sebat tersebut hendaklah mempelbagaikan cara serta alat sebatan. Ini kerana, matlamat hukuman sebat tersebut ialah untuk menghukum serta mencegah jenayah dan bukannya untuk membinasakan pesalah.

 Pesalah yang dihukum umumnya mestilah berpakaian menutup aurat samada lelaki mahupun perempuan. Secara khususnya, dari segi pakaian pesalah lelaki ini, terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ manakala tidak terdapat sebarang perbezaan pendapat yang ketara dari segi pakaian pesalah wanita. Menurut mazhab-mazhab Shafie dan Ahmad, pesalah lelaki dibolehkan berpakaian sempurna selapis. Apa-apa pakaiannya yang berlapis lain seperti jubah dan sebagainya haruslah ditanggalkan. Sebaliknya menurut mazhab Hanafi, pesalah lelaki hendaklah ditanggalkan semua pakaiannya kecuali kainnya. Imam Malik juga mengeluarkan pandangan yang hampir sama apabila menyatakan pesalah lelaki hendaklah ditanggalkan pakaiannya kecuali pakaian yang menutupi aurat antara pusat dan lututnya.

 4.       Waktu bila pula hukuman sebat tergugur dari pesalah?

Seksyen 125(4) Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 pula memperuntukkan bahawa dalam kes pesalah yang hanya dijatuhkan dengan hukuman sebat, pesalah akan dipenjarakan sepertimana seolah-olah beliau dijatuhkan dengan hukuman penjara sehinggalah hukuman sebat ke atasnya selesai.

Seksyen 125(5) Akta yang sama pula memperuntukkan sekiranya pegawai perubatan yang sah mendapati bahawa pesalah tidak mampu secara perubatannya menjalani keseluruhan atau sebahagian dari hukuman sebat tersebut atas sebab-sebab tua, sakit mahupun atas apa-apa sebab lain, kes tersebut akan dirujukkan kepada mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman sebat itu. Mahkamah tersebut seterusnya akan mengeluarkan suatu perintah sebagaimana yang difikirkan oleh mahkamah adil serta sesuai menurut keadaan tersebut.

 5.       Adakah wujud perbezaan sebatan antara pesalah wanita, lelaki, kanak-kanak dan orang tua?
Ya, wujud perbezaan sebatan antara pesalah wanita dan lelaki. Namun faktor usia seperti tua bukanlah satu ukuran bagi mengelakkan dikenakan hukuman tetapi hukuman yang akan dikenakan ke atasnya ialah dengan melihat faktor kemampuan dan kesihatan mereka menerima hukuman. Manakala bagi kanak-kanak pula, faktor baligh dan berakal adalah syarat dikenakan hukuman tersebut tetapi bagi kanak-kanak yang belum mencapai tahap baligh dan berakal adalah diangkat dosa dan kesalahan tersebut sebagaimana hadith Riwayat Ahmad, Ashabi, Sunan dan Hakam:[6]
 “Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia iaitu orang yang tidur hingga ia bangun dari tidurnya, kanak-kanak hingga ia baligh dan orang gila hingga ia berakal (siuman)”

Seksyen 125(2) Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 tersebut telah memperuntukkan alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, yang digunakan untuk melaksanakan hukuman sebat menurut prinsip syariah hendaklah terdiri dari sebatang alat sebatan yang sebaik-baiknya diperbuat dari kulit atau rotan. Alat sebatan tersebut seharusnya tidak mempunyai sendi mahupun bonggol serta mempunyai panjang dan ketebalan yang masing-masing tidak melebihi 1.22 meter dan 1.25 sentimeter.

 Seksyen 125(3) Akta yang sama pula kemudiannya memperuntukkan beberapa peruntukan yang terpakai kepada hukuman sebat menurut prinsip syariah iaitu:

 

a)   sebelum sesuatu hukuman sebat itu dilaksanakan, seorang pegawai perubatan yang sah hendaklah menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas pesalah bagi memastikan agar pesalah berada dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman sebat itu;

b)  sekiranya pesalah adalah merupakan seorang wanita yang sedang mengandung, hukuman sebat tersebut hendaklah ditangguhkan ke jangkamasa sekurang-kurangnya dua bulan selepas wanita tersebut melahirkan anak atau keguguran;

c)   hukuman sebat tersebut hendaklah dilaksanakan dengan kehadiran seorang pegawai perubatan yang sah serta dilaksanakan di tempat awam yang telah ditetapkan oleh kerajaan yang memerintah;

d)   pegawai sebat yang melaksanakan hukuman sebat tersebut hendaklah merupakan seorang yang bersikap adil, tidak memihak kepada sesiapa serta berfikiran matang;

e)    pegawai sebat tersebut hendaklah melaksanakan setiap sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi dari kepalanya dalam memastikan agar kulit pesalah tidak luka atau melecet disebabkan sebatan yang dikenakan;

f)     setiap kali pegawai sebat melakukan sesuatu sebatan, beliau hendaklah mengangkat alat sebatannya ke atas serta tidak menarik alat sebatan tersebut;

g)   sebatan hendaklah dikenakan pada keseluruhan badan pesalah (agar sebatan tidak tertumpu kepada beberapa anggota yang sama secara berulang) tetapi tidak pula boleh mengenai anggota-anggota seperti kepala, muka, perut, dada ataupun mana-mana bahagian lain badan pesalah yang sulit;

h)   pesalah hendaklah dibenarkan memakai pakaian yang menutup aurat sebagaimana yang dibenarkan oleh prinsip syariah;

i)     hukuman sebat tersebut hendaklah dijalankan ke atas pesalah lelaki dalam keadaan beliau berdiri, atau ke atas pesalah wanita dalam keadaan beliau duduk; jika semasa hukuman sebat tersebut dijalankan, pegawai perubatan yang sah itu mendapati serta memperakui bahawa pesalah tidak lagi mampu menanggung sebatan yang dikenakan, maka hukuman sebat tersebut hendaklah ditangguhkan sehinggalah pegawai perubatan tersebut mengesahkan bahawa pesalah berada dalam keadaan sihat secara fizikalnya untuk menjalani baki hukuman sebat yang dikenakan ke atas beliau.

 6.       Dalam perundangan sivil terdapat juga hukuman sebat, jadi apakah perbezaan antara pesalah syariah dan pesalah sivil dalam aspek sebatan dan rotan yang digunakan?
Permasalahan yang wujud di antara  peruntukan perundangan bagi hukuman sebat utnuk pesalah syariah dan pesalah sivil adalah ketidakseragaman peruntukan undang-undang mengenai hukuman sebat di bawah Kanun Tatacara Jenayah, Peraturan Penjara dan Enakmen atau Akta Prosedur Jenayah Syariah. Ketidakseragaman kesemua peruntukan undang-undang tersebut telah mengakibatkan timbulnya persepsi bahawa apabila terdapat percanggahan antara peruntukan undang-undang federal (iaitu Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan Penjara) dan peruntukan undang-undang negeri (Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah), maka peruntukan undang-undang federal akan mengatasi dan terpakai.

Oleh itu, menurut para pengkritik undang-undang syariah, hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan atas sebab-sebab di atas.[72] Percanggahan yang disebut di atas bolehlah disimpulkan seperti berikut:


Skop
Kanun Tatacara Jenayah
Peraturan Penjara
 
Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah
1) Alat Sebatan
Diameter rotan yang digunakan tidak boleh melebihi setengah inci
 
Diameter rotan yang digunakan bagi pesalah dewasa tidak boleh melebihi 1.25sm. Bagi banduan muda, rotan ringan digunakan
 
 Panjang alat sebatan tidak melebihi 1.22m dan diameter tidak melebihi 1.25sm. Pesalah muda juga disebat  sebagaimana pesalah dewasa.
 
2) Method Sebatan
- Dikenakan pada bahagian anggota yang diarahkan oleh Menteri
 
- Bilangan sebatan tidak melebihi 24 sebatan (pesalah dewasa/10 sebatan (pesalah muda)
 
-Dikenakan          pada punggung pesalah
 
- Bilangan sebatan bagi banduan muda tidak melebihi 6 sebatan
 
- Cara sebatan kuat dan ekstrim sebagaimana yang dilaksanakan di penjara
 
- Dikenakan pada keseluruhan anggota pesalah kecuali muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit - Bilangan sebatan bagi pesalah dewasa/muda tidak melebihi 6 sebatan
 
 - Cara sebatan yang sederhana bertujuan untuk menghukum dan mendidk     (menurut Prinsip Syariah yang disepakati)
 
3) Tempat Hukuman
- Di mana-mana tempat seperti yang diarahkan oleh Majistret.
 
 
 
-Dalam penjara atau sebahagian di mana-mana penjara lain
 
-Disaksikan         oleh kakitangan - kakitangan  yang berkenaan sahaja
 
- Di mana-mana tempat seperti yang diarah oleh mahkamah / yang ditetapkan oleh kerajaan negeri
 - Dijalankan di tempat awa m serta dikhalayak         ramai (menurut Prinsip Syariah yang disepakati)
 
4) Pengecualian Sebatan
-  Pesalah Wanita
 
-Pesalah Lelaki yang dijatuhkan hukuman mati - Pesalah Lelaki melebihi 50 tahun
 
- Banduan Wanita
-Banduan Lelaki melebihi 50 tahun
 
- Tiada pengecualian samada bagi Pesalah Wanita mahupun Pesalah Lelaki yang melebihi 50 tahun
 
 

 

Persepsi bahawa hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah tidak boleh dilaksanakan atas sebab-sebab percanggahan dengan Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan Penjara adalah tidak benar sama sekali.

Ini kerana pada hakikatnya, peruntukan undang-undang federal (Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan Penjara) hanya akan mengatasi peruntukan undang-undang negeri (Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah) jika berlaku pertindanan antara peruntukannya atau bidangkuasanya.

 
7.       Sejauhmana sebatan sebat dilaksanakan terhadap pesalah syariah di Malaysia?

Jika diperhatikan tentang prosedur serta garispanduan yang perlu diikuti oleh mahkamah syariah di Malaysia untuk menguatkuasakan serta melaksanakan hukuman sebat menurut prinsip syariah telah diterangkan dengan jelas melalui pelbagai enakmen atau akta prosedur jenayah syariah negeri-negeri. Walau bagaimanapun pada realitinya, masih lagi terlalu banyak permasalahan dan cabaran yang harus diatasi sebelum hukuman sebat di mahkamah syariah dapat dilaksanakan dengan berkesan sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang syariah.

Permasalahan pertama yang sering tidak disedari ataupun dipandang ringan oleh kebanyakan pihak ialah tahap kefahaman yang rendah mengenai perlaksanaan hukuman sebat yang betul sebagaimana yang dituntut oleh prinsip syariah. Samada kita sedar atau tidak, masyarakat umumnya beranggapan bahawa hukuman sebat di bawah undang-undang syariah hanya bermatlamatkan untuk menghukum pesalah.

Persepsi sedemikian adalah tidak tepat samasekali kerana masih ramai lagi dalam masa yang sama para pencinta serta pejuang      undang-undang syariah yang cuba mempertahankan keberkesanan hukuman sebat di bawah undang-undang syariah. Mereka menegaskan bahawa di samping mempunyai matlamat untuk menghukum, hukuman sebat juga bermatlamatkan untuk menginsafkan serta mendidik diri pesalah. Malah dengan niat yang murni serta dengan nada yang penuh bersemangat, mereka turut menegaskan bahawa hukuman sebat juga mampu untuk mendidik masyarakat secara keseluruhannya. Ini kerana hukuman sebat tersebut turut mampu menimbulkan rasa insaf di kalangan anggota masyarakat, yang mana keadaan tersebut sekaligus akan berfungsi untuk mencegah serta mengawal kadar jenayah dalam sesebuah negara.

Permasalahan kedua yang wujud ialah ketidakseragaman peruntukan undang-undang mengenai hukuman sebat di bawah Kanun Tatacara Jenayah, Peraturan Penjara dan Enakmen atau Akta Prosedur Jenayah Syariah. Ketidakseragaman kesemua peruntukan undang-undang tersebut telah mengakibatkan timbulnya persepsi bahawa apabila terdapat percanggahan antara peruntukan undang-undang federal (iaitu Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan Penjara) dan peruntukan undang-undang negeri (Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah), maka peruntukan undang-undang federal akan mengatasi dan terpakai. Oleh itu, menurut para pengkritik undang-undang syariah, hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan atas sebab-sebab di atas.

Permasalahan ketiga yang timbul ialah kewujudan persepsi yang menganggap bahawa Jabatan Penjara tidak mempunyai bidangkuasa untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri. Persepsi sedemikian timbul akibat pentafsiran sempit yang diberikan kepada takrif “mahkamah” di bawah seksyen 3 Akta Penjara 1995 yang mana timbul anggapan bahawa “ mahkamah    syariah” tidak  termasuk ke       dalam tafsiran “ mahkamah” di bawah seksyen tersebut.

Sudah pasti persepsi di atas tidak benar sama sekali. Ini kerana Jabatan Penjara sebenarnya mempunyai bidangkuasa yang amat luas untuk melaksanakan hukuman sebat samada di bawah Kanun Tatacara Jenayah mahupun hukuman sebat dibawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri.

Apatahlagi, semua mahkamah-mahkamah syariah di seluruh negara telah ditubuhkan secara sah di bawah Butiran I, Senarai II Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Oleh itu, jelaslah bahawa Jabatan Penjara sebenarnya mempunyai bidangkuasa untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah mahkamah syariah sebagaimana ianya mempunyai bidangkuasa untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah mahkamah sivil.

Permaslahan keempat yang timbul ialah kewujudan persepsi yang menganggap bahawa Jabatan Penjara tidak mempunyai bidangkuasa untuk menjatuhkan hukuman sebat ke atas pesalah wanita dan pesalah yang berumur 50 tahun ke atas. Ini berikutan seksyen 131(2) Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan sesuatu hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan ke atas banduan wanita atau banduan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas.Sebaliknya seksyen 125 dan seksyen 126 Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri pula tidak mengecualikan langsung pesalah wanita mahupun pesalah lelaki atau wanita dari hukuman sebat dibawah prinsip syariah.

Persepsi tersebut adalah tidak benar samasekali. Ini kerana peruntukan undang-undang di bawah seksyen 131(2) Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan sesuatu hukuman sebat tidak boleh dilaksanakan ke atas banduan wanita atau banduan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas hanya terpakai kepada perlaksanaan hukuman sebat di bawah mahkamah sivil. Peruntukan seksyen 131(2) ini tidak samasekali terpakai kepada perlaksanaan hukuman sebat bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri. Malah, Jabatan Penjara, dalam melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah ini, adalah tertakluk kepada prosedur perlaksanaan hukuman sebat sebagaimana yang digariskan oleh enakmen/akta tersebut yang tidak mengecualikan langsung pesalah wanita mahupun pesalah lelaki atau wanita dari dihukum dengan hukuman sebat.

Permasalahan kelima yang timbul ialah kewujudan anggapan bahawa perlaksanaan hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri (dan juga perlaksanaan hukuman sebat di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan Penjara) adalah bertentangan dengan beberapa konvensyen antarabangsa yang telah ditandatangani oleh Malaysia.
 
Di sini hanya mengambil beberapa contoh dari banyak konvensyen-konvensyen antarabangsa ini. Perkara 37 di bawah Convention on The Rights of The Child (CRC) menegaskan tiada kanak-kanak boleh diberikan layanan atau hukuman yang bersifat mendera, kejam, tidak berperikemanusiaan serta memalukan. Kanak-kanak di bawah umur 18 juga tidak boleh dijatuhkan hukuman mati mahupun hukuman penjara seumur hidup. Perkara 39 konvensyen yang sama juga menekankan sekiranya mana-mana kanak-kanak telah menjadi mangsa pengabaian, eksploitasi dan penderaan, ataupun menjadi mangsa kepada hukuman yang bersifat mendera, kejam, tidak berperikemanusiaan atau memalukan, maka semua pihak haruslah mengambil semua langkah yang perlu untuk memulihkan kanak-kanak tersebut secara fizikal dan saikologi, serta mengintergrasikan kembali kanak-kanak tersebut dalam masyarakat.

 Satu contoh lain ialah Perkara 5 Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) yang menegaskan tiada seorangpun yang patut dikenakan hukuman yang bersifat mendera, kejam, tidak berperikemanusiaan serta memalukan. Berdasarkan kepada semua konvensyen-konvensyen di atas, penulis ingin menghujahkan bahawa hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri adalah samasekali tidak bersifat mendera, kejam, tidak berperikemanusiaan.

Permasalahan keenam ialah kewujudan lacuna dalam peruntukan undang-undang mengenai prosedur hukuman sebat. Adalah tidak dinafikan bahawa peruntukan undang-undang mengenai prosedur perlaksanaaan hukuman sebat telah diperjelaskan dengan agak terperinci dalam enakmen negeri. Namun sekiranya diperhalusi, masih terdapat lacuna dalam peruntukan undang-undang mengenai perlaksanaan hukuman tersebut. Umpamanya, peruntukan undang-undang tidak menjelaskan dengan sejelas-jelasnya apakah alat sebatan yang digunakan sewaktu menyebat pesalah. Adalah tidak jelas samada alat sebatan yang sepatutnya digunakan tersebut cemeti ataupun rotan. Dalam pada itu, lokasi bagi perlaksanaan hukuman sebat itu juga tidak diperincikan dengan spesifik. Walaupun ada dinyatakan bahawa lokasi yang dipilih oleh pihak berkuasa adalah tempat awam, adalah tidak jelas samada lokasi awam yang dipilih itu adalah juga tempat yang dikunjungi oleh orang ramai atau tidak. Perlu ditegaskan bahawa adalah sangat penting lokasi awam yang dipilih adalah juga merupakan lokasi yang dikunjungi oleh orang ramai. Ini bertujuan menepati ciri hukuman sebat di khalayak ramai sebagaimana yang telah digariskan oleh Allah SWT dalam Al Nur ayat 2.

Dalam masa yang sama, kod pakaian yang dipakai oleh pesalah sewaktu menjalani hukuman sebat juga tidak diperincikan. Peruntukan undang-undang harus memperincikan dengan lebih jelas jenis pakaian yang sepatutnya dipakai oleh pesalah bermula dari aspek menutup aurat sehinggalah kepada jenis kain yang dipakai. Adalah disarankan agar peruntukan undang-undang memperjelaskan bahawa semua pesalah yang akan menjalani hukuman sebat diarahkan untuk menukar pakaian mereka kepada suatu pakaian seragam khas yang standard yang hanya dipakai sewaktu pesalah menjalani hukuman sebat. Pakaian seragam khas yang diperbuat dari jenis kain yang sama ini mestilah digazetkan dalam undang-undang.

Dalam hal ini, pihak berkuasa mestilah menyediakan pakaian seragam pelbagai saiz yang diperbuat dari jenis kain yang sama untuk dipakai oleh semua pesalah yang akan menjalani hukuman sebat di seluruh negara. Selain itu terdapat juga lacuna dalam peruntukan undang-undang mengenai prosedur bagaimana seseorang pesalah yang akan menjalani hukuman sebat itu harus dikendalikan menurut undang-undang.

Peruntukan undang-undang tidak memperincikan samada pesalah itu akan dihukum sebat serta merta atau hukuman sebat itu boleh, atau perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Sekiranya hukuman sebat itu ditangguhkan ke suatu tarikh lain, peruntukan undang-undang tidak pula menjelaskan dengan terperinci bagaimana pesalah itu akan dibawa ke lokasi tempat hukuman sebat itu akan dilaksanakan. Adakah pesalah yang menyerahkan diri tanpa paksaan perlu digari dan ditahan, atau pesalah tidak perlu diperlakukan sedemikian? Bagaimana pula prosedurnya jika pesalah itu tiba-tiba enggan menyerahkan diri untuk dibawa ke lokasi hukuman? Kesemua lacuna ini harus diperjelaskan bagi mengelak berulangnya apa yang berlaku dalam Kes Kartika Sari Dewi Sukarno di mana pihak mahkamah syariah dikritik kerana menangguhkan hukuman sebat ke atas pesalah yang telah mengaku salah.

Di samping itu, isu menahan pesalah yang akan menjalani hukuman sebat juga turut dikritik hebat. Bagi penulis, semua kritikan tersebut tidak akan timbul sekiranya peruntukan undang-undang dapat memperincikan prosedur pengendalian ke atas pesalah yang sebenar.

8.       Bagi pesalah syariah di Malaysia, siapa bertanggungjawab melaksanakan hukuman sebat terhadap mereka?

Dalam hal perlaksanaan hukuman sebat ini, pertindanan peruntukan atau bidangkuasa tidak langsung berlaku. Ini kerana, perlaksanaan hukuman sebat di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan Peraturan Penjara adalah terpakai bagi kesalahan-kesalahan Jenayah di bawah Kanun Kesiksaan serta Undang-Undang Jenayah Federal yang lain seperti Akta Pengangkutan Jalan, Akta Dadah Berbahaya, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan sebagainya. Dalam masa yang sama, hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah pula adalah terpakai kepada kesalahan-kesalahan Jenayah syariah di bawah Enakmen/Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri sahaja.

  Dengan yang demikian, hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah sepatutnya boleh dilaksanakan oleh mahkamah syariah tanpa banyak masalah. Ini kerana pada hakikatnya,   Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukkan kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang syariah (termasuk undang-undang prosedur jenayah syariah) sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Senarai Negeri.

Dalam kes Kamariah bte Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi, Mahkamah telah memutuskan:

“Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan...”

Di samping itu juga, seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 turut sama memperuntukkan kuasa kepada mahkamah syariah untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri.

Dengan ini, adalah jelas bahawa Kanun Tatacara Jenayah, Peraturan Penjara serta Enakmen/Akta Prosedur Jenayah Syariah negeri-negeri masing-masing mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah bidangkuasa masing-masing sebagaimana yang telah dikurniakan oleh Perlembagaan Persekutuan melalui mahkamah sivil, mahkamah syariah dan Jabatan Penjara.

9.       Minta pandangan tuan, tidakkah perlu hukuman sebat dilaksanakan dihadapan masyarakat umum bagi mendidik dan mendatangkan gerun masyarakat untuk melakukan kesalahan sebagaiamana di Aceh. Maka itu mengapa tidak Malaysia turut melaksanakan hukuman sebat dihadapan masyarakat bagi membendung masalah sosial yang semakin meningkat kini? Secara tidak langsung juga dapat membuka mata masyarakat tentang bentuk hukuman yang tepat dalam Islam.

Pada hakikatnya, cara penguatkuasaan serta perlaksanaan hukuman sebat menurut prinsip syariah adalah jauh berbeza dari cara penguatkuasaan dan perlaksanaan hukuman sebat di bawah undang- undang jenayah sivil di Malaysia khasnya dan undang-undang buatan manusia di negara-negara lain amnya. Ini kerana hukuman sebat menurut prinsip syariah bukanlah bermatlamatkan untuk menghukum pesalah semata-mata. Malah, menurut prinsip syariah, adalah menjadi matlamat utama hukuman sebat untuk merawat pesalah secara dalaman agar beliau merasa insaf sehingga berupaya untuk mendidik mental serta sifat keperibadiannya yang kelak menjadi benteng dalaman agar tidak mengulangi perilaku jenayah tersebut.

Hukuman sebat tersebut haruslah dilaksanakan di khalayak ramai. Ini dipersetujui oleh para ulama’ dan mazhab-mazhab Hanafi, Hambali, Shafie dan Maliki.[7] Syarat ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah Al Nur, ayat 2 yang bererti:

 “...dan saksikanlah seksa ke atas keduanya akan sekumpulan orang-orang yang beriman”

Sungguhpun mungkin ada yang berpandangan bahawa hukuman sebat di tempat awam serta di khalayak ramai adalah memalukan, bahkan akan menimbulkan kesan yang lebih mudharat jika ianya dilakukan di khalayak awam kerana pesalah tersebut akan malu dan mungkin boleh membawa kepada bunuh diri kerana tidak dapat menanggung malu sedangkan kesalahan yang dibuat ialah meminum arak tetapi natijahnya adalah membawa kepada kematian. Manakala hujah berkaitan proses sebatan yang mesti disaksikan oleh orang lain juga tidak dibincangkan secara terperinci adakah para pegawai penjara yang melaksanakan hukuman sebat bersama doktor dan sebilangan orang tertentu sahaja itu dimaksudkan dengan penyaksian orang lain atau perlukah satu jumlah yang ramai di kalangan khalayak bahkan ada juga kritikan yang menyatakan faktor ekonomi akan merundum disebabkan kurangnya pelancong asing melawat ke negara kerana takut menyaksikan hukuman sebat dilaksanakan.

Terdapat juga kritikan bahawa dengan hukuman sebat secara syariah yang tidak menyakitkan berbanding sebatan sivil, manakah faktor yang boleh membawakan keinsafan kepada pesalah sehingga menyebabkan kadar jenayah syariah makin berleluasa, di sinilah penulis melihat dengan keringan sebatan syariah tetapi apabila dijalankan di khalayak ramai akan membuka mata dan memberikan pengajaran kepada masyarakat yang melihat bahawa hukuman tersebut bagi kesalahan yang telah dinyatakan oleh nas mengikut syarak dan melaksanakan perintah Alla adalah satu bentuk keutamaan. Di sinilah kecantikan dalam Islam berkaitan sebatan syariah kerana ialah bersifat bukan sekadar menghukum tetapi mendidik, merawat dan memberikan pengajaran.
Wallahualam.

[1] Muhammad Abu Zahrah, Al Jarimah wal Uqubah fil Fiqhi al Islami, Dar al Fikr al Arabi, Qaherah, t.t, hlm 87-88
[2] Sahih Muslim, Sharh Imam Nawawi, XI, hlm 221.
[3] Hashim Mahat, Islamic and Malaysian Law on Sentencing, ILBS, KL, 1991, hlm 292-296.
[4] Bayhaqi, Al Sunna al Kubra, Jil VIII, hlm 37, sebagaimana dalam Hashim Mehat, hlm 291.
[5] Yusoff Zakiy Hj Yacob(Pnyt), Wahbah al Zuhaili, hlm 56.
[6] Yusoff Zakiy Hj Yacob(Pnyt), Wahbah al Zuhaili.
[7] Dato’ Haji Daud Bin Muhammad, Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Realiti Perlaksanaan, Kertas Kerja, Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 23 April 2009, Anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm 9.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan