Ahad, 18 Ogos 2013

Poligami

POLIGAMI(BACAAN UNTUK SUAMI)

Hai senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, seperti dunia, ana yang empunya..”

Bait lirik lagu madu tiga di atas pasti sudah sinonim dengan masyarakat di Malaysia umumnya dan dalam kalangan individu yang ingin berpoligami khususnya. Namun, yang menjadi persoalan, adalah hidup berpoligami di Malaysia semudah dan seceria bait lagu berkenaan? Atau mungkin lebih sukar dari apa yang dijangkakan?.

POLIGAMI DALAM ISLAM

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ
Maksudnya:
“…Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat...”
                                     Surah an-Nisa’ :4:3

         Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut Kamus Dewan pula, bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam Bahasa Arab, Poligami disebut sebagai Ta’ddad al-zawjat .
            Poligami dalam Islam adalah untuk memartabatkan wanita bukannya menzalimi mereka. Selain Islam, agama kristian juga tidak pernah melarang penganutnya untuk berpoligami. Ini dibuktikan apabila tiada satu ayat pun di dalam kitab injil yang menegah poligami.
            Berbalik kepada ayat ke3 surah an-Nisa’ di atas, ayat yang membenarkan dan mensyariatkan poligami yang mana intipati ayat tersebut bolehlah difahami bahawa Islam bukanlah mewajibkan setiap orang lelaki untuk berpoligami, tetapi hukum untuk berpoligami hanyalah harus. Namun perlu ditegaskan, hukum harus ini bukanlah secara mutlak, namun masih terikat dengan beberapa syarat lain sebelum seseorang itu dikatakan layak untuk berpoligami.
            Dalam membincangkan soal poligami ini, Rasullullah S.A.W juga memperakui keharusannya
 وعن ابن عمر قال : أسلم غيلان بن سلمة وتحته عشرة فقال له النبي (ص) خذ منهن أربعا

Maksudnya:
Imam Ahmad, Ibn Majah, Tirmizi, Hakim, Dar al-Qutni, Haithami dan Baihaqi melaporkan daripada Ibn Umar, Ghailan bin Salamah al-Thaqafi memeluk Islam sedangkan pada masa yang sama mempunyai 10 orang isteri. Maka Rasulullah berkata, “ Pilihlah daripada kalangan mereka empat orang sahaja.”

POLIGAMI DAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
Setelah melihat dari sudut Islam, pelaksananan dalam menguatkuasakan undang-undang mempunyai perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Umpamanya Kelantan tidak memperuntukkan supaya suami yang ingin berpoligami perlu mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada. Pihak yang berkuasa berhujah bahawa syarat meminta keizinan daripada isteri yang sedia ada sebelum berpoligami bukan daripada Hukum Syarak.
Kajian menunjukkan bahawa peruntukan mengenai poligami antara negeri-negeri adalah tidak seragam. Ini dapat dilihat umpamanya negeri-negeri seperti negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sarawak, Perlis dan Sabah telah memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Mahkamah Syariah sebelum sesuatu permohonan poligami diluluskan. Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1984, umpamanya telah memperuntukkan bahawa:

"Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, temasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan samada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu"

Subseksyen 3 ini memberi gambaran sebenar di dalam borang permohonan poligami. Sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami mesti melengkapkan borang tersebut dengan maklumat-maklumat yang dikehendaki sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(3) ini. Umpamanya di dalam borang permohonan poligami di Wilayah Persekutuan, seorang pemohon dikehendaki memberi maklumat antara lainnya:
a)     Maklumat peribadi pemohon dan bakal isteri yang akan dikahwininya.
b)    Alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami itu perlu
c)    Latar belakang kewangan suami dan tanggungan kewangan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak yang sedia ada dan juga bakal isteri, dan Sama ada cadangan pernikahan poligami itu telah mendapat persetujuan daripada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan daripada perbincangan di atas bahawa kebanyakan pemohon yang dibenarkan berpoligami ialah mereka yang berkemampuan untuk berlaku adil kepada pihak-pihak yang dikahwini dari segi material dan fizikal.
Walau bagaimanapun, kita mesti mengambil kira faktor dengan keadaan seseorang lelaki yang berkahwin di luar negara kerana menyedari kemungkinan besar bahawa permohonan untuk berpoligami mereka ditolak ekoran ketidak mampuan mereka dari perspektif Undang-undang. Ini disokong oleh data yang menunjukkan banyakknya perkahwinan yang dilakukan di Selatan Thailand dan di Medan Indonesia. Hal ini menunjukkan bahawa Undang-undang berkaitan poligami sekarang hanya akan dipatuhi oleh mereka yang memang 'law abiding citizens'
Pandangan ini sebenarnya mengundang banyak masalah. Ini kerana perkara-perkara seperti memohon kebenaran Mahkamah untuk berpoligami serta pendaftarannya juga tidak pernah disebut dalam al-Quran. Jadi sekiranya memohon keizinan daripada isteri-isteri ada kebaikannya. Maka jelas ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Ini kerana tujuan diadakan peraturan-peraturan sedemikian adalah untuk mencari cara yang terbaik bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penganiayaan melalui amalan poligami. Manakala di negeri lain pula, keizinan isteri sedia ada adalah perlu. Ketidakseragaman ini menyebabkan mereka yang ingin berpoligami akan lari ke tempat lain yang membenarkan poligami tanpa sebarang halangan. Seperti kata-kata Jones"…..to 'shop around' and find another state where his application will succeed"

PROSEDUR PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI
Bagi lelaki yang ingin berpoligami, kebanyakan negeri mensyaratkan mereka membuat permohonan dan terdapat negeri-negeri tertentu dengan Mahkamah akan mengeluarkan surat saman kepada isteri untuk hadir ke Mahkamah bagi mendengar permohonan tersebut. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23 (4)Akta 1984:
"Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup"

Ini bermakna, sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami melalui Mahkamah di negeri-negeri tersebut, dengan sendirinya isteri atau isteri yang sedia ada akan mengetahuinya apabila Mahkamah mengeluarkan surat saman tersebut sekalipun tidak diberitahu hasrat suami itu terlebih dahulu. Surat saman ini dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah kepada isteri sebagai langkah untuk memaklumkan bahawa suaminya ingin berpoligami.
Soal untuk mendapat tandatangan isteri untuk berpoligami tidak disebut dalam Undang-undang Keluarga Islam. Sebaliknya apa yang perlu ialah pengakuan daripada suami dibuat dengan menyatakan samada isterinya bersetuju ataupun tidak dengan permohonan itu. Apabila segala-galanya telah lengkap dan isteri telah datang pada hari perbicaraan dalam Mahkamah tertutup, maka Mahkamah akan meluluskan permohonan sekiranya pemohon dapat memenuhi syarat sebagaimana yang terdapat dalam seksyen 23(4) (a) (b) (c) (d) dan (e) iaitu:
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandangkan kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk memulihkan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan Dharar Syarie kepada isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tidak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.
Oleh sebab itu sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa seseorang pemohon itu telah mematuhi syarat-syarat dalam seksyen 23(4), maka Mahkamah akan meluluskan permohonannya sekalipun isterinya tidak bersetuju permohonan poligami suaminya itu. Sebaliknya Mahkamah juga akan tetap menolak permohonan poligami sekiranya syarat-syarat dalam seksyen 23 (4) tidak dapat dipenuhi sekalipun isterinya bersetuju dengan rela hati. Ini menunjukkan bahawa kebenaran dan keengganan isteri untuk membenarkan poligami suaminya adalah tidak mengikat Mahkamah Syariah. Sebaliknya maklumat yang diberi oleh isteri adalah sebagai keterangan yang boleh digunakan oleh Mahkamah untuk membantu Mahkamah membuat keputusan meluluskan atau menolak satu-satu permohonan poligami.

PRAKTIKAL
Kesan dari pengalaman sebagai Peguam Syarie, ada 6 cara seorang lelaki boleh berpoligami yang mana 2 cara si isteri akan tahu bahawa suaminya berpoligami. 4 cara lagi si suami boleh berpoligami tanpa pengetahuan isteri.
            Keenam-enam cara yang telah dinyatakan di atas pihak guaman kami boleh bantu anda yang ber”niat” atau ber “cita-cita” menambah ‘cawangan’ J Anda boleh menghubungi Peguam Syarie kami jika anda sangat berminat. “Malu bertanya sesat jalan”. Namun perlu diingatkan:-
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً
Maksudnya:
...Jika kamu takut atau bimbang untuk tidak berlaku adil pada isteri-isteri kamu, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja...”
                                                          Surah an-Nisa’ :4:3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan