Isnin, 19 Ogos 2013

SUSUNAN WALI NASAB DALAM PERNIKAHAN



Kewujudan wali dalam pernikahan seorang perempuan adalah wajib. Sabda Nabi s.a.w:-

"Tidak ada nikah tanpa wali"

Susunan wali-wali dalam pernikahan adalah seperti berikut:-

a) Bapa
b) Ayah kepada bapa (Datuk)
c) Adik beradik lelaki seibu sebapa
d) Adik beradik lelaki sebapa
e) Anak saudara (anak kepada adik lelaki seiibu dan sebapa)
f) Anak saudara (anak kepada adik lelaki sebapa)
g) Bapa saudara seibu sebapa ( adik beradik lelaki kepada bapa yang seibu dan sebapa)
h) Bapa saudara sebapa ( adik beradik lelaki kepada bapa yang sebapa)
i) Sepupu ( anak lelaki kepada bapa saudara yang seibu dan sebapa)
j) Sepupu ( anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa)

Jika kesemua wali-wali nasab di atas tidak ada, maka wali yang digunakan ialah wali hakim/sultan.

Jika bapa seseorang perempuan telah meninggal dunia, maka kuasa wali akan berpindah kepada wali selepasnya iaitu datuk dan begitulah seterusnya mengikut susunan wali.


Ahad, 18 Ogos 2013

Rukun-rukun Nikah

Nikah mempunyai lima (5) rukun iaitu:- (s.i.s.w.a)
Suami;
Isteri
Dua (2) orang saksi
Wali
Akad nikah
Setiap rukun pernikahan tersebut di atas mempunyai syarat-syarat tertentu sebagaimana berikut:-

(1) Suami
Suami tidak mempunyai hubungan mahram dengan perempuan yang dikahwini
Suami adalah lelaki yang tertentu
Tidak berada dalam ihram haji atau umrah

(2) Isteri
Tidak mempunyai halangan-halangan untuk berkahwin
Isteri adalah perempuan yang ditentukan
Tidak berada dalam ihram haji atau umrah

(3) Dua orang saksi
Saksi mestilah beragama Islam
Saksi mestilah lelaki
Berakal dan baliqh
Adil walaupun zahirnya sahaja
Mendengar
Melihat

(4) Wali
Wali mestilah beragama Islam,
Adil
Baligh
Berakal
Tidak mempunyai kecacatan yang boleh menjejaskan pandangan
Wali bukan orang yang dilarang oleh syarak membelanjakan hartanya disebabkan safih (bodoh)
Bukan orang yang berihram

(5) Akad Nikah
Akad nikah hendaklah menggunakan lafaz nikah atau kahwin
Lafaz sighah (ijab dan qabul) hendaklah disebut secara jelas dan terang
Ijab dan qabul bersambung
Wali dan pengantin lelaki waras sehingga selesai akad
Sighah menunjukkan akad berlaku ketika itu juga
Sighah mestilah mutlak 
Sekiranya pernikahan diadakan tidak menepati syarat-syarat rukun nikah di atas, maka pernikahan tersebut adalah fasid dimana pasangan tersebut mestilah difaraqkan (dipisahkan).

Ta'liq

Cerai ta'liq ialah suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat. Talak akan jatuh jika syarat atau sifat benar-benar berlaku.

Contohnya suami mengatakan "Aku ceraikan kamu di bulan puasa", "Aku ceraikan kamu kalau kamu keluar bekerja", "Aku ceraikan kamu kalau kamu sentuh telefon aku". 

Talak tidak akan jatuh selagimana perkara yang dikaitkan dengan talak tidak berlaku. 

Suami isteri masih lagi boleh menjalani kehidupan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri secara berterusan selagimana ta'liq tidak dilanggar. 

PENGERTIAN TA‘LIQ
  • Ta‘liq ialah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.

SYARAT TA‘LIQ
  • Syarat jatuh cerai ta‘liq :
1. Suami: Hendaklah mempunyai keahlian menjatuhkan cerai dengan melafazkan kata-kata ta‘liq.
2. Belum berlaku: Hendaklah ta‘liq ke atas perkara yang belum berlaku atas perkara yang mungkin berlaku.
3. Isteri: Hendaklah menjadi ahli cerai (masih menjadi isteri yang sah).
  • Contohnya suami berkata kepada isteri: “Jika engkau keluar dari rumah ini sepanjang ketiadaan aku, jatuhlah talaq engkau” atau “Apabila engkau pergi ke rumah si anu, jatuhlah talaq” atau “Manakala engkau pergi ke sana tanpa izinku jatuh talaq” atau sebagainya.
  • Apabila berlakunya perkara yang bertentangan dengan syarat yang dilafazkan, maka terjatuhlah talaq menurut hukum syara‘.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG MENGENAI TA‘LIQ
  • Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002, Seksyen 50, seseorang perempuan yang bersuami boleh jika berhak memohon penceraian menurut syarat-syarat ta‘liq yang dibuat selepas akad nikah. Kandungan lafaz ta‘liq tersebut:
1. Meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut.
2. Tidak memberi nafkah yang wajib selama empat bulan berturut-turut.
3. Menyakiti tubuh badan isteri.
4. Suami tidak mempedulikan isteri selama tempoh empat bulan berturut- turut.

 

Prosedur Pendengaran Kes Jenayah Syariah


Jika Saman / Waran tangkap telah sempurna dan Orang Kena Tuduh hadir, perbicaraan dimulakan;

Baca pertuduhan kepada Orang Kena Tuduh;
  • Pastikan Orang Kena Tuduh faham dengan tuduhan dikenakan ke atasnya;
  • Jika Orang Kena Tuduh tidak faham dengan pertuduhan, perlu dibacakan sekali lagi sehingga faham;
  • Orang Kena Tuduh diminta pengakuan sama ada mengaku bersalah atau minta dibicarakan;

Jika mengaku salah hendaklah secara sukarela dan faham akibat pengakuan salah;
  • Pendakwa Syarie diminta membentangkan fakta kes yang berkaitan;
  • Sekali lagi pengakuan Orang Kena Tuduh terhadap fakta kes yang dibentangkan;
  • Jika bersetuju, Orang Kena Tuduh disabitkan dengan pertuduhan yang dikenakan,
  • Orang Kena Tuduh diberi peluang merayu agar diringankan hukuman yang akan dikenakan,
  • Pendakwa Syarie diberi peluang berhujah balas di atas rayuan Orang kena Tuduh.
  • Hakim jatuhkan hukuman.

Jika Orang Kena Tuduh tidak mengaku bersalah, Hakim perintah kes dibicarakan;
  • Dengar pemeriksaan utama Pendakwa Syarie;
  • Dengar pemeriksaan balas saksi-saksi Pendakwa Syarie (jika ada);
  • Dengar pemeriksaan semula saksi-saksi Pendakwa Syarie (jika ada);
  • Hakim perintahkan Orang Kena Tuduh mengemukakan hujah penggulungan dan kemudian diikuti dengan hujah Pendakwa Syarie;
  • Jika kes tidak mencapai ‘prima facie’, Orang Kena Tuduh tidak perlu dipanggil membela diri dan dibebaskan;
  • Jika kes mencapai tahap ‘prima facie’, Orang Kena Tuduh diperintah membela diri dengan tiga (3) cara; iaitu

           (a) Memberi keterangan bersumpah; atau
           (b) Memberi keterangan tidak bersumpah; atau
           (c) Berdiam diri.


Sekiranya Orang Kena Tuduh membela diri dengan cara (a), Orang Kena Tuduh boleh disoal balas oleh Pendakwa Syarie (jika ada) dan Orang Kena Tuduh berhak memberi keterangan semula (jika ada);
Sekiranya Orang Kena Tuduh memilih (b), tiada proses keterangan soal balas dan soal semula;
Sekiranya Orang Kena Tuduh memilih (c), Hakim terus perintah saksi-saksi Orang Kena Tuduh memberi keterangan (jika ada), disoal balas oleh Pendakwa Syarie (jika ada) dan disoal semula oleh Orang Kena Tuduh (jika ada);
Setelah selesai sesi Orang Kena Tuduh memberi keterangan, Hakim perintah Pendakwa Syarie mengemukakan hujah terakhir dan diikuti hujah Orang Kena Tuduh;
Hakim memberi keputusan sama ada Orang Kena Tuduh bersalah atau tidak;
Jika Orang Kena Tuduh tidak bersalah, dilepas dan dibebaskan. Sekiranya Orang Kena Tuduh bersalah, Hakim jatuhkan hukuman;

Mana-mana pihak yang terkilan, boleh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi/Rayuan Syariah dalam tempoh empat belas (14) hari.

Perbezaan Talak sunni dengan Talak Bid'i

Talak sunni ialah seorang wanita diceraikan oleh suami dalam keadaan wanita tersebut bersih daripada haid dan nifas, dan tidak disetubuhi oleh suaminya lagi dalam tempoh tersebut. Hukumnya adalah harus dan jatuh talak. Talak jenis ini adalah bertepatan dengan syarak. 

Talak bid'i ialah seorang wanita yang diceraikan oleh suami dalam keadaan wanita tersebut haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci tetapi telah disetubuhi oleh suaminya. Hukumnya adalah haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan. Talak tetap jatuh. Walaubagaimanapun suami sunat  ruju' semula isterinya. Sebab pengharaman ialah kerana memudharatkan isteri disebabkan panjangnya tempoh iddah kerana waktu haid tidak termasuk dalam iddah. Haram menceraikan isteri yang disetubuhi ketika sucinya kerana kemungkinan isterinya akan mengandung.

Tempoh Iddah

Iddah dari segi syarak ialah tempoh masa tertentu seorang wanita menanti dan tidak berkahwin sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah, berkabung dan bersedih kerana berpisah dengan suami atau untuk memastikan wanita tersebut tidak mengandung anak bekas suaminya (menyucikan rahim).

Tempoh iddah adalah berbeza mengikut situasi:-

(a) Bagi isteri yang kematian suami, jika mengandung tempoh iddahnya sehingga melahirkan anak. Jika tidak mengandung, tempoh iddahnya ialah empat (4) bulan sepuluh (10) hari.

(b) Bagi isteri yang diceraikan suami, jika mengandung tempoh iddahnya sehingga melahirkan anak. Jika tidak mengandung dan masih mempunyai haid, tempoh iddahnya ialah tiga (3) kali suci. Jika tiada haid atau sudah putus haid, iddahnya ialah tiga (3) bulan.

Tarikh permulaan iddah dikira dari tarikh berlakunya perceraian/kematian.

Jika seseorang wanita diceraikan/ kematian suami sebelum disetubuhi oleh suaminya, maka wanita tersebut tidak mempunyai iddah.

Poligami

POLIGAMI(BACAAN UNTUK SUAMI)

Hai senangnya dalam hati, kalau beristeri dua, seperti dunia, ana yang empunya..”

Bait lirik lagu madu tiga di atas pasti sudah sinonim dengan masyarakat di Malaysia umumnya dan dalam kalangan individu yang ingin berpoligami khususnya. Namun, yang menjadi persoalan, adalah hidup berpoligami di Malaysia semudah dan seceria bait lagu berkenaan? Atau mungkin lebih sukar dari apa yang dijangkakan?.

POLIGAMI DALAM ISLAM

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ
Maksudnya:
“…Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat...”
                                     Surah an-Nisa’ :4:3

         Poligami dari sudut bahasa adalah menghimpunkan berbilang isteri dalam satu masa. Mengikut Kamus Dewan pula, bererti amalan beristeri lebih daripada seorang pada masa yang sama. Dalam Bahasa Arab, Poligami disebut sebagai Ta’ddad al-zawjat .
            Poligami dalam Islam adalah untuk memartabatkan wanita bukannya menzalimi mereka. Selain Islam, agama kristian juga tidak pernah melarang penganutnya untuk berpoligami. Ini dibuktikan apabila tiada satu ayat pun di dalam kitab injil yang menegah poligami.
            Berbalik kepada ayat ke3 surah an-Nisa’ di atas, ayat yang membenarkan dan mensyariatkan poligami yang mana intipati ayat tersebut bolehlah difahami bahawa Islam bukanlah mewajibkan setiap orang lelaki untuk berpoligami, tetapi hukum untuk berpoligami hanyalah harus. Namun perlu ditegaskan, hukum harus ini bukanlah secara mutlak, namun masih terikat dengan beberapa syarat lain sebelum seseorang itu dikatakan layak untuk berpoligami.
            Dalam membincangkan soal poligami ini, Rasullullah S.A.W juga memperakui keharusannya
 وعن ابن عمر قال : أسلم غيلان بن سلمة وتحته عشرة فقال له النبي (ص) خذ منهن أربعا

Maksudnya:
Imam Ahmad, Ibn Majah, Tirmizi, Hakim, Dar al-Qutni, Haithami dan Baihaqi melaporkan daripada Ibn Umar, Ghailan bin Salamah al-Thaqafi memeluk Islam sedangkan pada masa yang sama mempunyai 10 orang isteri. Maka Rasulullah berkata, “ Pilihlah daripada kalangan mereka empat orang sahaja.”

POLIGAMI DAN UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA
Setelah melihat dari sudut Islam, pelaksananan dalam menguatkuasakan undang-undang mempunyai perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain. Umpamanya Kelantan tidak memperuntukkan supaya suami yang ingin berpoligami perlu mendapat keizinan daripada isteri yang sedia ada. Pihak yang berkuasa berhujah bahawa syarat meminta keizinan daripada isteri yang sedia ada sebelum berpoligami bukan daripada Hukum Syarak.
Kajian menunjukkan bahawa peruntukan mengenai poligami antara negeri-negeri adalah tidak seragam. Ini dapat dilihat umpamanya negeri-negeri seperti negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Sarawak, Perlis dan Sabah telah memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Mahkamah Syariah sebelum sesuatu permohonan poligami diluluskan. Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1984, umpamanya telah memperuntukkan bahawa:

"Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan menyatakan alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, temasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan samada keizinan atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu"

Subseksyen 3 ini memberi gambaran sebenar di dalam borang permohonan poligami. Sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami mesti melengkapkan borang tersebut dengan maklumat-maklumat yang dikehendaki sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 23(3) ini. Umpamanya di dalam borang permohonan poligami di Wilayah Persekutuan, seorang pemohon dikehendaki memberi maklumat antara lainnya:
a)     Maklumat peribadi pemohon dan bakal isteri yang akan dikahwininya.
b)    Alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami itu perlu
c)    Latar belakang kewangan suami dan tanggungan kewangan yang diberikan kepada isteri dan anak-anak yang sedia ada dan juga bakal isteri, dan Sama ada cadangan pernikahan poligami itu telah mendapat persetujuan daripada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Secara ringkasnya, dapatlah disimpulkan daripada perbincangan di atas bahawa kebanyakan pemohon yang dibenarkan berpoligami ialah mereka yang berkemampuan untuk berlaku adil kepada pihak-pihak yang dikahwini dari segi material dan fizikal.
Walau bagaimanapun, kita mesti mengambil kira faktor dengan keadaan seseorang lelaki yang berkahwin di luar negara kerana menyedari kemungkinan besar bahawa permohonan untuk berpoligami mereka ditolak ekoran ketidak mampuan mereka dari perspektif Undang-undang. Ini disokong oleh data yang menunjukkan banyakknya perkahwinan yang dilakukan di Selatan Thailand dan di Medan Indonesia. Hal ini menunjukkan bahawa Undang-undang berkaitan poligami sekarang hanya akan dipatuhi oleh mereka yang memang 'law abiding citizens'
Pandangan ini sebenarnya mengundang banyak masalah. Ini kerana perkara-perkara seperti memohon kebenaran Mahkamah untuk berpoligami serta pendaftarannya juga tidak pernah disebut dalam al-Quran. Jadi sekiranya memohon keizinan daripada isteri-isteri ada kebaikannya. Maka jelas ia tidak bertentangan dengan hukum Syarak. Ini kerana tujuan diadakan peraturan-peraturan sedemikian adalah untuk mencari cara yang terbaik bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penganiayaan melalui amalan poligami. Manakala di negeri lain pula, keizinan isteri sedia ada adalah perlu. Ketidakseragaman ini menyebabkan mereka yang ingin berpoligami akan lari ke tempat lain yang membenarkan poligami tanpa sebarang halangan. Seperti kata-kata Jones"…..to 'shop around' and find another state where his application will succeed"

PROSEDUR PERMOHONAN UNTUK BERPOLIGAMI
Bagi lelaki yang ingin berpoligami, kebanyakan negeri mensyaratkan mereka membuat permohonan dan terdapat negeri-negeri tertentu dengan Mahkamah akan mengeluarkan surat saman kepada isteri untuk hadir ke Mahkamah bagi mendengar permohonan tersebut. Ini diperuntukkan dalam seksyen 23 (4)Akta 1984:
"Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam Mahkamah tertutup"

Ini bermakna, sesiapa sahaja yang membuat permohonan poligami melalui Mahkamah di negeri-negeri tersebut, dengan sendirinya isteri atau isteri yang sedia ada akan mengetahuinya apabila Mahkamah mengeluarkan surat saman tersebut sekalipun tidak diberitahu hasrat suami itu terlebih dahulu. Surat saman ini dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah kepada isteri sebagai langkah untuk memaklumkan bahawa suaminya ingin berpoligami.
Soal untuk mendapat tandatangan isteri untuk berpoligami tidak disebut dalam Undang-undang Keluarga Islam. Sebaliknya apa yang perlu ialah pengakuan daripada suami dibuat dengan menyatakan samada isterinya bersetuju ataupun tidak dengan permohonan itu. Apabila segala-galanya telah lengkap dan isteri telah datang pada hari perbicaraan dalam Mahkamah tertutup, maka Mahkamah akan meluluskan permohonan sekiranya pemohon dapat memenuhi syarat sebagaimana yang terdapat dalam seksyen 23(4) (a) (b) (c) (d) dan (e) iaitu:
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandangkan kepada antara lain hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk memulihkan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak. Semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan Dharar Syarie kepada isteri-isteri yang sedia ada.
Bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tidak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.
Oleh sebab itu sekiranya Mahkamah berpuas hati bahawa seseorang pemohon itu telah mematuhi syarat-syarat dalam seksyen 23(4), maka Mahkamah akan meluluskan permohonannya sekalipun isterinya tidak bersetuju permohonan poligami suaminya itu. Sebaliknya Mahkamah juga akan tetap menolak permohonan poligami sekiranya syarat-syarat dalam seksyen 23 (4) tidak dapat dipenuhi sekalipun isterinya bersetuju dengan rela hati. Ini menunjukkan bahawa kebenaran dan keengganan isteri untuk membenarkan poligami suaminya adalah tidak mengikat Mahkamah Syariah. Sebaliknya maklumat yang diberi oleh isteri adalah sebagai keterangan yang boleh digunakan oleh Mahkamah untuk membantu Mahkamah membuat keputusan meluluskan atau menolak satu-satu permohonan poligami.

PRAKTIKAL
Kesan dari pengalaman sebagai Peguam Syarie, ada 6 cara seorang lelaki boleh berpoligami yang mana 2 cara si isteri akan tahu bahawa suaminya berpoligami. 4 cara lagi si suami boleh berpoligami tanpa pengetahuan isteri.
            Keenam-enam cara yang telah dinyatakan di atas pihak guaman kami boleh bantu anda yang ber”niat” atau ber “cita-cita” menambah ‘cawangan’ J Anda boleh menghubungi Peguam Syarie kami jika anda sangat berminat. “Malu bertanya sesat jalan”. Namun perlu diingatkan:-
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً
Maksudnya:
...Jika kamu takut atau bimbang untuk tidak berlaku adil pada isteri-isteri kamu, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja...”
                                                          Surah an-Nisa’ :4:3