(Petikan Akhbar BHOnline 27hb Julai 2017)
JPN tidak
terikat fatwa nama bapa anak tidak sah taraf
PUTRAJAYA: Ketua
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa yang
dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil
kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.
Dalam keputusan
penting setebal 29 muka surat, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, berkata bidang
kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu
bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran
Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan
bukan Islam.
Beliau berkata,
ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya ialah meluluskan
permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.
Beliau berkata,
BDRA tidak mencerminkan penggunaan sebarang prinsip substantif undang-undang
Islam dalam proses pendaftaran, dan menambah bahawa Seksyen 13A (2) akta itu
membenarkan anak tidak sah taraf dibin/bintikan kepada nama individu yang
mengakui dirinya ayah kepada anak tersebut.
Abdul Rahman
berkata, ketua pengarah pendaftaran negara bertindak secara tidak rasional
apabila enggan mengubah nama bapa daripada 'Abdullah' kepada nama bapa anak itu
dalam sijil kelahiran, atas dasar fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa
Kebangsaan bahawa seseorang anak tidak boleh berbin/bintikan nama bapa jika ia
anak tidak sah taraf.
"Fatwa,
kami ulangi, bukan undang-undang dan tidak mempunyai kuasa undang-undang serta
tidak boleh dijadikan asas undang-undang bagi ketua pengarah pendaftaran negara
untuk memutuskan nama bapa anak tidak sah taraf menurut Seksyen 13A (2)
BDRA," katanya.
Abdul Rahman
berkata, fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama tidak mempunyai kuasa
undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai
undang-undang persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian
undang-undang persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.
Beliau berkata,
Seksyen 13A (2) BDRA tidak memberi kuasa kepada ketua pengarah pendaftaran
negara untuk menolak hasrat seorang ayah yang mahukan seorang kanak-kanak
dinisbahkan kepada namanya.
"Juga tidak
ada peruntukan yang memberinya kuasa untuk memutuskan sendiri nama bapa
kanak-kanak itu 'Abdullah'," katanya semasa membenarkan rayuan satu
pasangan dan seorang kanak-kanak yang nama mereka dirahsiakan mahkamah bagi
melindungi identiti anak terbabit.
Beliau berkata,
BDRA tidak membezakan anak orang Islam dan bukan Islam, dan seksyen 13A(2) akta
tidak menyatakan anak tidak sah taraf Islam mesti diberi layanan berbeza
berbanding anak bukan Islam dalam perkara berkaitan pendaftaran nama bapa/keluarga,
serta tidak menyatakan dalam kes anak orang Islam mesti berbin/bintikan
'Abdullah'.
"Fatwa yang
dikeluarkan badan agama hanya melibatkan pentadbiran undang-undang Islam atau
hukum syarak dan tidak kena-mengena dengan tugas ketua pengarah pendaftaran negara
berdasarkan BDRA untuk mendaftarkan kelahiran dan kematian di negeri-negeri di
Semenanjung Malaysia," katanya.
Pada 25 lalu,
panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Rahman, Datuk Tengku Maimum Tuan
Mat dan Puan Sri Zaleha Yusof membenarkan rayuan pasangan itu yang memohon
perintah mahkamah untuk mendorong ketua pengarah pendaftaran negara
menggantikan nama 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak terbabit dalam sijil
kelahirannya.
Pasangan itu,
kedua-duanya beragama Islam, berkahwin secara sah pada 2009 dan anak berkenaan
lahir di Johor pada tahun berikutnya, iaitu lima bulan dan 24 hari (lima bulan
dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh
pernikahan mereka.
Kelahiran
kanak-kanak itu hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat
menurut Seksyen 12 (1) BDRA dan pasangan terbabit secara bersama memohon nama
bapa dimasukkan dalam pendaftaran sebagai ayah kepada anak berkenaan.
Bagaimanapun,
pada sijil kelahiran kanak-kanak itu yang dikeluarkan pada 6 Mac 2012, nama
bapa kanak-kanak diletakkan sebagai 'Abdullah', bukan nama ayahnya.
Pada Februari
2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak berdasarkan fatwa Majlis
Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan
kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak
berkenaan.
Ini menyebabkan
mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Permohonan semakan kehakiman
itu difailkan oleh kanak-kanak tersebut menerusi rakan-rakannya iaitu ibu
bapanya dan menamakan JPN, ketua pengarah pendaftaran negara serta kerajaan
Malaysia sebagai responden.
Dalam
penghakimannya, Abdul Rahman berkata bukan satu keperluan undang-undang bahawa
sijil kelahiran anak tidak sah taraf mesti disokong dengan Seksyen 13 akta
berkenaan memandangkan seksyen itu hanya menetapkan prosedur bagi si bapa
didaftarkan sebagai ayah kepada anak tidak sah taraf terbabit dan ia tidak
mengarahkan maklumat tersebut dimasukkan dalam sijil kelahiran.
'Justeru, adalah
keterlaluan dan langsung tidak perlu untuk menisbahkan apa-apa nama
bapa/keluarga kepada anak dalam sijil kelahiran melainkan, dalam kes anak orang
Islam, bagi tujuan mengumumkan kepada seluruh dunia yang anak itu anak tidak
sah taraf dengan menyertakan nama 'Abdullah' bersama namanya dalam sijil
kelahiran.
"Kami
percaya Islam tidak menyokong perbuatan memalukan anak yang tidak bersalah itu
secara terbuka sedemikian.
"Perayu
pertama (si anak), terpaksa membawa stigma anak tidak sah taraf sepanjang
hidupnya, kes klasik dihukum atas dosa ibu bapa yang pada hakikatnya berkahwin
secara sah sebelum dia dilahirkan," katanya.
Beliau berkata,
pasangan itu kekal sebagai ibu bapa kanak-kanak berkenaan sehingga sekarang dan
kesedihan kanak-kanak tersebut akan bertambah jika dia membandingkan sijil
kelahirannya dengan sijil kelahiran adik-adik (jika ada) yang tertera nama bapa
mereka, tidak seperti sijil lahirnya.
"Kita boleh
bayangkan kesedihan perayu pertama (si anak), apatah lagi perasaan malu yang
ditanggungnya untuk sepanjang hayat. Sekeping sijil kelahiran menjadi
peringatan pedih tentang situasi kelahirannya ke dunia ini. Ia tidak patut
dijadikan instrumen malu," katanya. - BERNAMA
_______________________________________________________
Selepas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dibuat maka hendaklah orang awam fahami dahulu apa isi kandungan keputusan tersebut yang dapat disimpulkan seperti berikut:
- Mahkamah menghujahkan bahawa fatwa-fatwa tidak mengikat mana-mana keputusan mahkamah
- Institusi fatwa tidak mampu mengikat mana-mana muslim sebelum digazetkan sebagai satu bentuk undang-undang
- Isu samada maksud anak tidak sah taraf ialah kurang daripada 6 bulan qamariah daripada tempoh pernikahan
- Isu aib malu dengan melabelkan stigma bin Abdullah kepada anak tak sah taraf lebih utama berbanding menyekat hubungan zina yang boleh menghasilkan anak tak sah taraf
Dari segi syarak, kami berpuashati dengan catatan daripada laman web jabatan mufti wilayah dalam slot bayanlinnas seperti berikut; -
http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/1714-bayan-linnas-siri-ke-106-isu-penamaan-bin-binti-abdullah-kepada-anak-tidak-sah-taraf-oleh-mahkamah-rayuan
dengan menyimpulkan bahawa,
....Kami tegaskan di sini bahawa anak yang tidak sah
taraf bukanlah hina dan tiadalah ia berdosa kerana kesilapan yang dilakukan
oleh kedua orang tuanya. Ini kerana prinsip Islam, seseorang tidak menanggung
dosa orang lain. Justeru, hendaklah kita menghormati hak dan privasinya
kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang
paling bertakwa antara kita.
Perhatikan bagaimana Allah SWT menyuruh kita
berkelaku dengan orang yang tidak diketahui bapanya dalam Surah al-Ahzab ayat
ke lima yang bermaksud: “Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui
bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang
seugama.” Ertinya, jadikanlah anak-anak tidak taraf ini sebagai warga
istimewa dalam masyarakat dengan memberikan pendidikan yang cukup, nafkah dan
memberdayakan mereka supaya mereka tidak terkesan dengan tragedi menimpa diri
mereka kerana mereka dianggap sebagai keluarga oleh masyarakat Islam.
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah
memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan
kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama.
Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan kepada Abdullah atau kepada
nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas.
Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum
(yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara
keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang
mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang
meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat
penting) di dalam Islam.
Pengecualian juga wajar diberikan kepada keluarga
yang memeluk Islam dengan perkahwinan yang diiktiraf oleh undang-undang sivil
atau undang-undang adat kerana dikiaskan dengan zaman jahiliyyah, maka anak
yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat itu dianggap sah
taraf juga di dalam Islam.
____________________________________________________________
Ke mana halatuju kes seperti ini?
Hendaklah difahami anak-anak tak sah taraf adalah hasil daripada 3 bentuk perkahwinan iaitu;
1. Perkahwinan Sindiket
2. Perkahwinan di Thailand atau mana-mana di luar negara yang tidak didaftarkan
3. Perkahwinan selepas mengandung
Kesemua kes-kes di atas hendaklah diselesaikan di peringkat Mahkamah Syariah terlebih dahulu yang berbidangkuasa terutama bagi perkahwinan sindiket dan juga di luar negara. bagi perkahwinan selepas mengandung akan ada perbezaan di antara enakmen antara negeri terutamanya bagi negeri perlis yang membenarkan anak tersebut dibinkan kepada ayahnya walaupun kurang dari 6 bulan melainkan ayah tersebut menafikan.
Katakanlah isunya berpusing sekitar ini...
Setelah pasangan zina ini menikmati keseronokan bermaksiat maka pasangan ini hilang punca dan tidak tentu arah apabila mengetahui si perempuan telah pun mengandung. Apatah lagi pasangan ini adalah dari keturunan 'have-have'. Maka pasangan ini bertaubat dengan apa yang telah mereka lakukan dan bernikah sebagai tanda mereka telah bertaubat, namun anak tadi tetapmenjadi bukti untuk semua manusia bahawa pasangan ini telahpun melakukan kesalahan sebelum ini.
Emosi apabila memikirkan kita adalah anak tersebut ibarat semasa kita kecil kita ada buat sesuatu kesalahan seperti memecahkan balang kuih raya kesukaan emak kita dan kita sorokkan setelah bertahun-tahun. Setiap kali emak bertanyakan tentang balang tersebut pasti kita diam seribu bahasa dan cuba menukar topik bicara sedangkan ibu kita tahu tentang apa yang terjadi namun sengaja hendak menguji kejujuran kita.
Allah telah menyediakan hukuman yang setimpal bagi hal-hal yang berkaitan, Allah penuh rahmah dan kasih sayangNya melebihi kita hambaNya yang hina. Berlapang dadalah, kerana hal ini perlu keyakinan iman dan kesabaran tinggi dalam menyelesaikan permasalahan hidup dan tidaklah melaungkan slogan menyalahkan ulama dan bijak pandai kerana mereka mengukur denga hikmah sedangkan kita menafsirkannya hanya dengan menganggap kita di tempat mereka.
Mahkamah Syariah juga mempunyai bidangkuasa sebegini bagi memutuskan isu kesahtarafan anak tersebut terlebih dahulu sebelum mengisukan hal ayah biologi dan juga perintah nafkah terhadap anak tersebut. Apa yang penting, dapatkan informasi perundangan yang tepat sebelum bertindak. Kami juga pernah dan sedang membicarakan kes seperti ini di Mahkamah dan kami ialah FASSO...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan