(Artikel Mengenai Pengaplikasian HUDUD secara TADARRUJ)
Gambar hiasan: pelaksanaan hukuman sebatan penjara yang bukan mengikut sebatan syariah bagi kesalahan bukan kesalahan syariah.
Pendahuluan
Dalam gelojak perasaan dan semangat
yang berkobar-kobar untuk melaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya di negara
sehingga menyebabkan kita terlupa bagaimana undang-undang Islam yang sebenarnya
hendak dilaksanakan. Bahkan tidak dapat dinafikan bahawa perundangan Islam
tertegak berdasarkan beberapa prinsip dan salah satu prinsipnya ialah dengan
jalan tadarruj. Ini bermakna pensyariatan undang-undang Islam berlaku
secara perlahan-lahan, berperingkat-peringkat dan sedikit demi sedikit. Tidak
terlalu ekstrimis mahupun pasimis tetapi ianya bergerak ke arah penambahbaikan,
dan bukan terhenti di suatu takuk sahaja. Prinsip ini digunakan untuk
memelihara kepentingan dan kemaslahatan manusia serta menghindari mereka dari
sebarang kemudaratan dan kerosakan. Justeru itu, pemakaian prinsip ini banyak
dipengaruhi oleh keadaan, suasana dan cara masyarakat di sesebuah tempat
tersebut. Sebelum sempurnanya penurunan wahyu, prinsip tadarruj ini jelas
sekali terpakai dalam banyak kes-kes yang melibatkan pensyariatan kepada umat
Islam.
- Memurnikan pandangan dan pemikiran dalam proses
perlaksanaan undang-undang Islam di semua peringkat.
- Menggesa pihak-pihak terbabit bergerak dan
melakukan penambahbaikan dalam pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia.
- Mengetahui beberapa langkah mengharmonikan
undang-undang statut dan Islam baik di dalam negara atau di luar negara
seperti Mesir dan Sudan.
Definisi
Tadarruj (beransur - ansur) dalam pelaksanaan undang-undang Islam juga
mempunyai kaitan yang rapat berhubung keringanan dan kemudahan kepada umat
Islam. Ini sesuai dengan matlamat perundangan yang ditetapkan oleh syarak iaitu
memberikan kemaslahatan dan menghindarkan kemudharatan.[1]
185. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa
itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan
petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh
itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit
atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa)
sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan
Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
Manakala
Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 28:
28. Allah (sentiasa) hendak meringankan
(beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.
Firman Allah s.w.t dalam surah al-Furqan
ayat 32:
32. Dan orang-orang Yang kafir berkata:
"Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali
(dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan Dengan cara (beransur-ansur) itu
kerana Kami hendak menetapkan hatimu (Wahai Muhammad) dengannya, dan Kami
nyatakan bacaannya kepadamu Dengan teratur satu persatu.
Malah al-Qurtubi juga
mentafsirkan ayat tersebut menyatakan sekiranya al-Quran itu turun sekaligus
sudah tentu apa yang dibawanya yang terdiri daripada pelbagai hukum-hakam yang
begitu luas menyebabkan Islam akan lari meninggalkan Islam dan orang kafir
tidak mahu mendekati Islam.[1]
Bentuk-bentuk
Tadarruj
Terdapat
beberapa bentuk tadarruj dalam pembinaan hukum, antaranya ialah:
Tadarruj
Zamani: Hukum-hukum
ini tidaklah diturunkan dalam satu waktu sahaja bahkan ada yang dahulu dan ada
yang kemudian. Ini bermakna undnag-undnag Islam tidaklah terbentuk secara
sekaligus. Sebaliknya ia memakan masa sepanjang tempoh kerasulan nabi muhammad
s.a.w iaitu lebih kurang 23 tahun.
Tadarruj
dalam pensyariatan hukum secara umum: Pada zaman
awal Islam , pensyariatan hukum tidak hanya tertumpu kepada soal undang-undang atau
syariah. Sebaliknya tumpuan adalah diberi hukum-hukum yang berkaitan dengan
permasalahan akidah dan juga akhlak. Aspek-aspek ini adalah perlu bagi
melengkapkan persediaan umat Islam untuk menerima tanggungjawab yang semakin
bertambah iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan syariah seperti tanggungjawab
individu, masyarakat dan juga negara yang merangkumi hukum berkaitan muamalat,
nikah-kahwin, jihad, jenayah dan sebagainya.[2]
Tadarruj
dilihat dari sudut taklif hukum: Apa yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu hukum itu ditaklifkan dari
hukum asalnya yang harus kemudian diharamkan atau yang dilarang pada asalnya
kemudian diharuskan. Misalnya pengahraman arak. Pada awalnya arak hanya
disebutkan sebagai suatu yang memudaratkan tanpa diarahkan supaya ditinggalkan
sehinggalah datang ayat yang mengharamkan sama sekali meminum arak. Begitu juga
dengan hukum menziarahi kubur kerana pada asalnya adalah dilarang oleh nabi
Muhamammad s.a.w tetapi kemudiannya diharuskan.[3]
Tadarruj
dilihat dari sudut kuantiti taklif hukum: Ini bermaksud terdapatnya unsur beransur-ansur dari
sudut kuantiti taklif yang difardhukan iaitu dari yang ringan kepada yang lebih
berat. Contohnya dalam kewajipan solat. Pada awalnya solat adalah difardhukan
sebanyak 2 kali sehari sahaja kemudian selepas berlakunya peristiwa isra'
mi'raj, solat difardhukan kepada 5 kali sehari semalam. Begitu juga zakat yang
pada awalnya tidak ditentukan nisab dan haulnya tetapi kemudian ditetapkan
nisab atau kadarnya dan juga haulnya.
Contoh-contoh
Pengaplikasian Tadarruj
Tadarruj
dalam penurunan al-Quran
Sebagaimana yang sedia maklum berkaitan penurunan al-Quran kepada nabi
Muhammad s.a.w adalah dalam bentuk berperingkat-peringkat dan dalam prinsip
tadarruj, ini kerana al-Quran telah pun ada di Luh mahfuz sejak azali lagi
secara sempurna dan kemudiannya diturunkan oleh Allah secara sekaligus ke
langit bumi dan diturunkan kepada nabi Muhamammad s.a.w berbetuk sedikit demi
sedikit bagi memenuhi manfaat manusia serta mengelakkan daripada sebarang
kesusahan dan kesempitan.
Tadarruj
dalam suasana masyarakat
Tadarruj dalam perundangan Islam sama sekali tidak dapat dipisahkan
dengan keadaan dan suasana sesebuah masyarakat. Ini kerana setiap masyarakat
memiliki cara hidup dan adat tersendiri yang sebahagiannya bertentangan dengan
nilai moral dan juga peradaban manusia.
Bukan sekadar di zaman Arab jahiliyyah sebelum kedatangan Islam yang
dipengaruhi kepercayaan karut-marut dan adat yang diwarisi oleh nenek moyang
mereka bahkan di Malaysia juga ketika dipanggil tanah melayu yang banyak
dipengaruhi oleh adat daripada agama Hindu.[4]
Bahkan dengan kedatangan Islam, usaha mengembalikan masyarakt
kepadaajaran Islam yang hakiki perlu kepada satu usaha yang beransur-ansur dan
berperingkat-peringkat dan jika dilaksanakan sekaligus sudah tentu ianya
menimbulkan rasa tidak puashati dan kesusahan bagi mereka bahkan faktor ini
juga menjadi pertimbangan syarak apabila sesuatu hukum mahu dijalankan.[5] Untuk
proses pengharaman arak kepada orang Islam sebagai contoh, Allah tidak mengharamkannya
sekaligus tetapi dilakukan secara beransur-ansur.[6] Ini
jelas diinyatakan dalam firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 219:
219. Mereka bertanya kepadamu (Wahai
Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa
besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih
besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka
akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) Yang
berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu
ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
Seterusnya ayat kedua pula menjelaskan larangan terhadap orang Islam
dari bersembahyang dalam keadaan mabuk. Ini bermakna Islam melarang umat Islam
daripada meminum arak ketika ingin mengerjakan sembahyang yang boleh
menyebabkan mereka tidak mengetahui perbuatan sembahyang dan apa yang mereka
ucapkan. Firman Allah s.w.t dalam surah an-nisa' ayat 43:
43. Wahai orang-orang Yang beriman,
janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu Dalam keadaan
mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa Yang kamu katakan. dan
janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu Dalam keadaan Junub (berhadas
besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. dan
jika kamu sakit, atau sedang Dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu
datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh Dengan perempuan, kemudian
kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu
bertayamum Dengan tanah - debu, Yang suci, Iaitu sapukanlah ke muka kamu dan
kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
Seterusnya barulah diturunkan ayat tentang pengharaman arak tersebut
sebgaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90-91:
90. Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa
Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan
batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan
syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
91. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah
bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu Dengan sebab
arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan
perkara-perkara Yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa prinsip tadarruj ini berkait
rapat dengan keadaan dan suasana sesebuah
masyarakat apatah lagi apabila menyentu isu pelaksanaan undang-undang Islam.
Tadarruj dan Proses
Pembaikan Undang undang
Tadarruj merupakan satu
proses penting yang boleh menjadi makanisma untuk menilai sama ada sesuatu
undang undang itu boleh diterima dan sesuai untuk dilaksanakan di dalam
masyarakat ataupun tidak terutaa dalam kes yang tidak ada ketentuan yang qat'i
dalam Al Quran atau Sunnah. Oleh sebab itu kita melihat dalam perundangan Islam
terdapat beberapa kaedah yang berfungsi sebagai agen penilai yang mana
perlaksanaannya berlaku dalam bentuk tadarruj. Antara nya ialah nasih dan
mansukh, am dan khas, mutlak dan muqayyad. Kaedah ini berlaku dalam bentuk
tadarruj iaitu berperingkat-perinkat di mana satu hukum disyariatkan dn
kemudian datang hukum lain merubah hukum sedia ada atau hukum awal tadi. Proses
yang terjadi ini merupakan proses pengislahan undang-undang yang mana ianya
mengambil kira kemaslahatan dan kebajikan keatas umat Islam, di samping
menyesuaikannya dengan keadaan dan suasana sebuah masyarakat.[1] Ini
dinyatakan dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 106;
106. Apa sahaja ayat keterangan Yang Kami
mansukhkan (batalkan), atau Yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami
datangkan ganti Yang lebih baik daripadanya, atau Yang sebanding dengannya.
tidakkah Engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
Antara contoh tadarruj,
dan penyempurnaan undang undang melalui proses nasih dan mansukh ialah amalan
menziarahi kubur pada awalnya ia diharamkan oleh Nabi saw kerana bimbang ia
boleh menyebabkan berlakunya perkara perkara syirik dan penyembahan berhala dikalangan
umat Islam yang masih lemah Iman mereka, sehinggalah ianya kemudian diharukan
sebagai salah satu cara untuk mengingati hari akhirat dan zuhud di dunia.
Selain itu ayat yang berkaitan dengan 'iddah perempuan yang ditalak satu dan
dua pada asalnya ialah tiga kali suci iaitu firman Allah dalam surah al-Baqarah
ayat 228 yang bermaksud:
228. Dan isteri-isteri Yang diceraikan itu
hendaklah menunggu Dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali
suci (dari haid). dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak
memberitahu tentang) anak Yang dijadikan oleh Allah Dalam kandungan rahim
mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. dan
suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu
Dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. dan
isteri-isteri itu mempunyai hak Yang sama seperti kewajipan Yang ditanggung
oleh mereka (terhadap suami) Dengan cara Yang sepatutnya (dan tidak dilarang
oleh syarak); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai
satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Ini bermakna ia
merangkumi perempuan yang hamil dan sebagainya, sehinggalah datang ayat yang
lainnya yang mentakhsiskan keumuman ayat tersebut bagi perempuan yang hamil,
sebagaimana firman Allah dalam surah
4. Dan perempuan-perempuan dari kalangan
kamu Yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap
tempoh idah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga idah
perempuan-perempuan Yang tidak berhaid. dan perempuan-perempuan mengandung,
tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak Yang dikandungnya. dan
(ingatlah), sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan
baginya Segala urusannya.
Sebahagian dari kaedah-kaedah yang dinyatakan di atas berlaku dalam
bentuk sekali gus dan ada yang berlaku dalam bentuk tadarruj. Bentuk tadarruj
diguna pakai adalah bertujuan untuk membaiki dan menyempurnakan lagi sistem
perundangan islam bagi memudahkan mereka mengamalkan dan mematuhi peraturan
atau undang-undang tersebut.
Sejarah
Pelaksanaan Hukum Islam di Nusantara dan Tanah Melayu
Pada zaman abad ke 16 Masihi, kerajaan bermazhab Shafie menjadi mazhab
ikutan utama di Mesir, Syria, Hijaz, Arab Selatan dan kawasan-kawasan sekitar
Teluk Parsi, Afrika Timur, Nusantara dan bahagian Asia Tengah.[1]
Di zaman kerajaan Islam Pasai telah terdapat perlaksanaan hukum-hukum
Fiqh Islam sebagaimana catatan oleh Marco Polo yang menyebut tentang hal
tersebut hanya menegaskan bahawa penduduk Parsi mengikut Undang-undang
Muhammad, (Muhammadan Law), tanpa menyebut mazhab anutan mereka,[2] Namun
Ibnu Battutah kemudiannya menjelaskan kedudikan tersebut dengan menyatakan
bahawa penduduk di kawasan itu telahpun bermazhab Shafie dan ini merupakan
bukti pertama yang menjelaskan bahawa mazhab Shafie menjadi pegangan ramai
orang Islam di rantau ini.[3]
Pada zaman kerajaan Islam Melaka, perkembangan yang sama juga terus
berlaku di mana Sultan sering didatangi oleh ulama-ulama fiqh dari luar
termasuklah baginda memerintahkan agar ulama-ulama ini menjadi guru kepada
masyarakat.[4]
Bahkan Sultan Muzaffar Shah (1446-1457) telah cuba melaksanakan hukum Islam
dengan menggubal undang-undang Melaka yang dikenali sebagai Risalah Hukum Kanun
atau Undang-undang Melaka.[5] Pengaruh
undang-undang tersebut juga meluas di kepulauan Melayu hingga melahirkan
Undang-undang Johor, Undang-undang Kedah, Undang-undang Pahang, Undnag-undang
Sembilan Puluh Sembilan Perak, Undang-undang Sungai Ujong dan Undang-undang
Kanun Brunei.[6]
Pada zaman kerajaan Islam Acheh sekitar kurun ke 17 Masihi perkembangan
Islam lebih pesat lagi kerana kemunculan karya-karya fiqh karangan ulama
tempatan. Seterusnya pada zaman abad ke-18 Masihi, lahir juga ulama-ulama fiqh yang hebat di
Nusantara sehinggalah abad ke-19 Masihi. Proses Islamisasi ini yang berlaku
serentak dengan gerakan menerapkan lunas-lunas fiqh Islam telah mendorong ke
arah kelahiran satu corak kesusasteraan Islam di Nusantara yang menekan soal
perundangan. Nilai-nilai peru Islam dan institusi-institusinya ke dalam hukum
adat Melayu, iaitu Undnag-undang Adat Temenggong dan Undang-undang Adat
Perpatih.[7] Proses
penyerapan ini berlaku menerusi ubah suai hukum adat Melayu dengan
undang-undang Islam. Namun demikian terdapat juga adat-adat Melayu yang belum
diubahsuai dan tidak diterima oleh undang-undang Islam bahkan adat-adat ini
hanyalah sekadar adat sahaja.
Semasa kuasa penjajah British mula bertapak ke Tanah Melayu pada akhir
abad ke-18 Masihi, undang-undang yang berjalan di negara ini ialah
undang-undang Islam yang bercampur dengan adat Melayu tetapi pihak penjajah kemudiannya
telah memisahkan agama daripada hal-hal pentadbiran kerana sudah menjadi dasar
penjajah meletakkan segala urusan keagamaan dan adat di bawah kuasa raja-raja
Melayu dan segala masalah bersabit dengan pemerintahan di bawah kuasa penjajah.
Walaupun perundangan Islam dapat berjalan di negeri-negeri Tanah Melayu
tetapi tiada sebuah negeri tersebut mempunyai perlembagaan Islam yang bertulis.
Hanya pada abad ke-20 Masihi, Johor telah muncul sebagai satu-satunya negeri
yang mula merintis jalan ke arah tersebut dengan menguatkuasakan sebuah
perlembagaan Islam pada tahun 1985 Masihi. Negeri tersebut pada masa itu di
bawah kerajaan pemerintahan Sultan Abu Bakar yang telah menggubal Undang-undang
Tubuh Kerajaan Johor 1985 dengan menjadikan Islam sebagai agama negeri.[8] Hal ini kemudianny diikuti oleh Terengganu
yang menggubal Undang-undang Tubuh nya pada tahun 1911 Masihi.[9]
Seterusnya pada tahun 1913 Masihi, Sultan Ibrahim memperkenalkan Majalah
Ahkam Johor sebagai Undang-undang mal Islam Johor yang diambil daripada
Majallah al Ahkam al Adliyyah yang dilaksanakan di Turki di bawah kerajaan
Othmaniyyah pada tahun 1869 Masihi.[10]
Halangan-halangan
Pelaksanaan Hukum Jenayah Islam di Malaysia
1.
Penafsiran Artikel 4(1) di dalam Perlembagaan Malaysia yang
mengangkat Perlembagaan sebagai kuasa tertinggi dan meletakkan Islam di dalam
perlembagaan terbatas memandangkan Negara kita memiliki dua sistem mahkamah
iaitu sivil dan syariah. Bahkan peruntukan ini juga tidak menyatakan secara
jelas adakah peruntukan perlembagaan ini merupakan peruntukan utama yang
menghalang pelaksanaan Islam kerana ia tidak merujuk kepada al-Quran dan
as-Sunnah. Dalam banyak hal berkaitan juga perlembagaan itu masih bergantung
kepada tafsiran mahkamah bagi mengisytiharkan perlembagaan sebagai
undang-undang tertinggi Negara itu tidak semestinya mutlak dalam menghalang
pelaksanaan undang-undang Islam.[11]
2.
Pelaksanaan Islam dalam konteks Undang-undang Jenayah Islam
tidaklah bergantung kepada Artikel 3 sahaja malah ianya bersifat umum yang cuba
memberikan karakter kepada perlembagaan dan pentadbiran Negara kerana
bergantung kepadanya adalah tidak tepat dan masih kabur dan emmerlukan kepada
penjelasan kedudukan, formula dan skima yang mendasari undang-undang jenayah
yang ada , khususnya Kanun Keseksaan, Acara Jenayah, Akta Keterangan 1950 dan
seumpamanya.
3.
Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa
sebarang undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan
Negeri (DUN) yang berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang
negeri itu adalah terbatal setakat mana ianya berlawanan dengan
undang-undang persekutuan itu.
4.
Isu bilangan ahli
parlimen di Malaysia. “Di atas kertas”, kita melihat sukar melaksanakan hukum
hudud di Malaysia kerana Malaysia menggunapakai sistem demokrasi
berparlimen. Sebagai pindaan perlembagaan bagi Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang memerlukan
2/3 persetujuan ahli parlimen. Ahli parlimen Islam yang ada sekarang
hanyalah 132 orang yang mana ia memerlukan 16 lagi ahli parlimen yang bukan
beragama Islam untuk mencapai majoriti 2/3 dalam dewan parlimen. Kalau ikut
rasionalnya, agak sukar orang bukan Islam untuk bersetuju. Sedangkan yang
beragama Islam ada juga yang tak bersetuju, inikan pula orang bukan Islam.
5.
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta
355) membataskan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan sebarang
undang-undang berkaitan jenayah syariah dengan hanya boleh mengenakan
denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau
sebatan tidak lebih enam kali sebatan, atau mana-mana kombinasi
hukuman-hukuman tersebut sahaja. Ia adalah satu undang-undang yang
diluluskan oleh Parlimen dan ia berkuatkuasa di seluruh Persekutuan
atau seluruh negara, termasuk di negeri-negeri.
- Pelaksanaan hukum Undang-undang
Jenayah Islam di Malaysia memerlukan satu penafsiran baru. Menurut Bekas
mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata pelaksanaan
hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil
kira aspek perubahan zaman dan tempat.[12]
“Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam
al-Quran dan sunah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad
yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat,”
kata beliau.
Umpamanya
kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak
dahulu berbeza dalam hal ini, kata beliau sambil menambah, “cara
potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu
diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan.”
“Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira,” kata
beliau lagi. Katanya, ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah
diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini.
“Mereka
yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh
diganti dengan takzir,” kata beliau lagi. Jelas beliau, hukuman rejam pula patut
mengambil kira pandangan yang memasukkannya di bawah takzir bererti
pemerintah boleh meminda dan menukar atau membatalkannya.
Di
samping tafsiran ihsan itu hendaklah disempitkan kepada maksud lelaki
ataupun perempuan yang masih berkahwin bukan yang pernah berkahwin,
kata Asri dalam kertas kerja pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan
di Kota Baru hari ini. Kelantan kerajaan pimpinan PAS bercadang untuk
melaksanakan hukum hudud selepas menerajui negeri itu pada 1990.
“Ini
kerana pengkhianatan kepada pasangan dan keluarga sesuatu yang amat buruk.
Di samping takzir, hukuman rejam mempunyai suasana zaman yang
berbeza, itupun perlu diambil kira dalam membahaskannya,” kata beliau
lagi. Asri menambah, jika suasana kondusif, perubahan zaman dan
tempat diambil kira dalam pelaksanaan hukuman, maka akan didapati
hudud mencapai matlamat pencegahan, pendidikan dan dalam masa yang
sama menonjolkan keindahan hukuman tersebut.
“Jika
tidak, hukuman itu akan membawa fitnah dan salah sangka terhadap Islam.
Saya selalu sebutkan hudud bagaikan wanita yang baik, ia akan indah
jika bersuamikan lelaki yang baik. Namun keindahannya akan hilang jiwa
berada di bawah suami yang fasik dan rosak,” kata tokoh agama yang
dilihat progresif ini.
Dalam
kertas kerja itu, Asri juga berkata menggambarkan negara Islam atau
‘design’ negara yang diperintah oleh Allah dan rasul- Nya sebagai
negara hudud adalah gambaran tidak tepat. Oleh itu kata beliau, hudud bukan
asas kenegaraan dalam Islam kerana asas kenegaraan dalam Islam
menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran
dan Sunah. “Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan
luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang
makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat.
“Dalam
masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa
kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat,” kata beliau. Katanya,
penafsiran perkataan ‘makruf’ dan ‘munkar’ hendaklah diluaskan dalam
konteks kehidupan muslim secara umum dan kenegaraan secara khususnya.
Oleh itu katanya, keadilan ditegakkan merentasi batasan
keturunan, pangkat dan kaum. “Tiada beza antara hukuman terhadap
sultan atau raja dengan rakyat biasa. “Tiada beza antara orang besar dan
orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam
kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa,” kata beliau
sambil menambah, “kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara,
kemaslahatan mereka dijaga.”
Malah
katanya, kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat atas kebaikan itu
dengan rakyat mendoakan pemerintah, pemerintah mendoakan rakyat.
“Suasana cinta dan kasih tersebar secara meluas,” katanya. Asri
juga berkata, pelaksanaan hudud hendaklah mengambil kira persoalan
suasana hudud itu dilaksanakan kerana suasana yang tidak kondusif
akan menyebabkan kesan negatif kepada pelaksanaan sesuatu hukuman.
“Ini kerana Nabi s.a.w sendiri mengambil kira persoalan
ini,” katanya.
Katanya
ia bermakna pelaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau
salahfaham terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar
sehingga menggugat keimanan umat Islam yang lain patut dielakkan. “Hari
ini suasana berubah, media massa sering digunakkan untuk memberikan
imej yang salah mengenai Islam. Persediaan ke arah menangani hal
itu juga amat penting,” katanya. Katanya, Nabi s.a.w sebelum
menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh
dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda.
“Pemerintah
dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. “Tiada diskriminasi
keturunan dan latar belakang. Suasana kebajikan; bantu-membantu,
tolong-menolong antara masyarakat yang kukuh,” kata beliau sambil
menambah, “jaminan hak rakyat yang diberikan iaitu berkaitan dengan
suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk
dan selainnya.”
“Tiada
alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram
yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara
haram. “Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat
memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang
layak dihukum; pertama kerana dia telah mencemarkan suasana harmoni
yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat
yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal
sekalipun mudah,” kata beliau.
Prinsip
Tadarruj Dalam Pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam
Suatu persoalan yang menjadi tanda tanya ialah apakah prinsip tadarruj
ini masih relevan dalam melaksanakan undang-undang Islam selepas al-Quran
sempurna diturunkan dan ketika mana undang-undang Islam tidak dilaksanakan
sepenuhnya. Dari pengamatan penulis, prinsip tadarruj ini boleh digunapakai
dilihat dari dua sudut:
Pertama, dari segi pelaksanaan. Apa yang dimaksudkan disini ialah
sekiranya sesebuah kerajaan atau pihak ingin melaksanakan hukum-hukum Islam
dalam situasi prasarana kepada pelaksanaannya yang masih belum sempurna maka
konsep tadarruj ini perlu diadaptasikan. Adalah suatu tindakan yang
salah, jika pelaksanaan undang-undang Islam ini dilakukan terus tanpa adanya
persediaan dari berbagai sudut, antaranya kajian perundangan, meminta pandangan
pakar-pakar dari pelbagai disiplin terutamanya dalam bidang perundangan, penyediaan
qadi dan pegawai-pegawai mahkamah yang terlatih yang mana kesemuanya itu
memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Aspek persediaan ini penting supaya
pelaksanaan undang-undang Islam nantinya tidak menimbulkan kegelisahan dan
keresahan kepada masyarakat terutama dalam situasi kebanyakan masyarakat Islm
yang cakupannya amat luas meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Keadaan ini
lebih ketara bagi masyarakat bukan Islam yang sering ditakutkan dengan nama
yang dikaitkan dengan Islam. Ini ditambah lagi dengan peranan media masa yang
sering menggambarkan hukum Islam dalam bentuknya yang negative. Jadi perlu bagi
pihak yang ingin melaksanakan Islam terlebih dahulu mendidik masyarakat tentang
hakikat hukum Islam yang sebenarnya. Penerangan ini bukan dalam erti kata
bahawa semua masyarakat harus memahami undang-undang tersebut tetapi memadai
jika dikatakan bahawa majoriti masyarakat sudah mengetahui undang-undang Islam
tersebut.
Oleh kerana undang-undang Islam sangat luas yang merangkumi semua hal
sebagaimana undang-undang ciptaan yang ada sekarang, maka pelaksanaannya
memakan masa. Jadi adalah tidak praktikal kalau kita menunggu semua
undang-undang ini siap sepenuhnya kemudian dilaksanakan sekaligus. Jadi kalau
kita memakai prinsip tadarruj ini maka kita laksanakan sebahagian
undang-undang yang telah sempurna dan kemudian sebahagian undang lain apabila
ianya telah sempurna. Ini memandangkan bahawa sebahagian perundangan yang sedia
ada seperti yang diamalkan di mahkamah-mahkamah Syariah sudah mempunyai asas
kepada pembentukan undang-undang sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
Begitu juga perkara-perkara yang berkaitan dengan muamalat atau ekonomi Islam,
perundangan yang sedia ada sudah mampu menjadi asas kepada pembentukan sisten
ekonomi Islam yang sempurna. Bagi aspek-aspek yang belum ada asasnya seperti
undang-undang fitnah, pentadbiran dan perlembagaan, tort dan sebagainya, ia
akan dilaksanakan kemudian. Jadi adalah kurang bijak untuk kita menanti
keseluruhan undang-undang Islam itu sempurna barulah ingin dilaksanakan. Kalau
kita memakai prinsip tadarruj ini, maka mana-mana undang-undang yang
dianggap sempurna akan dilaksanakan dahulu diikuti undang-undang lain
seterusnya melihat dari segi teknikalnya, ia menunjukkan bahawa konsep tadarruj
ini tidak boleh dipisahkan sama sekali dalam pelaksanaan hukum-hukum Islam masa
kini.
Satu lagi aspek pelaksanaan yang secara semulajadi memakai prinsip
tadarruj ini ialah bilamana suatu pihak mampu untuk melaksanakan hukum Islam
tetapi tidak dapat dilaksanakan sekaligus kerana halangan masa dan tenaga.
Justeru itu, dalam peringkat persediaan dan kajian, ini hukum Islam yang
sebenarnya tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu kita perlu mengekalkan hukum yang
sedia ada buat sementara waktu sebelum hukum-hukum Islam dapat dilaksanakan
sepenuhnya. Misalnya, hukum hudud yang ingin dilaksanakan. Ia memerlukan kajian
dan sebagainya. Dalam tempoh kajian tersebut sudah tentu hukum yang sedia ada
misalnya kesalahan berzina hanya dikenakan denda RM 3,000.00 atau penjara 3
tahun dilaksanaka, Jika selepas dua tahun, keadaan masih tidak mengizinkan,
kita boleh tingkatkan hukuman mungkin 7 tahun penjara dan denda RM 10,000.00.
Dalam masalah ini atau jenayah yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Negeri,
segala prasarana perundangan ini sudah sedia ada. Tetapi jika ia berkaitan
dengan hudud yang lain seperti mencuri, qazaf, membunuh yang tidak termasuk
dalam Enakmen Jenayah negeri maka keperluan kepada prinsip tadarruj ini
tidak boleh dinafikan.
Kedua, dari segi hukuman. Prinsip tadarruj ini boleh digunakan
dalam kes-kes yang kesalahannya hanya dikenakan hukuman berbentuk ta’zir yang
terserah kepada budibicara hakim atau pemerintah bagi mengenakan bentuk atau
jumlah hukuman bagi sesuatu kesalahan itu. Misalnya kesalahan tidak memakai
hijab atau tudung atau kesalahan memandu laju, maka pada peringkat awal
diringankan hukumannya kemudian selepas beberapa tahun ditingkatkan hukumannya
bergantung kepada suasana dan keadaan masyarakat. Dalam hal ini bentuk hukuman
yang bersifat beransur-ansur, bermula dengan hukuman yang ringan dan denda yang
sedikit kepada yang lebih berat yang mana kesemuanya bergantung kepada keadaan
dan suasana.
Tadarruj
dalam Pengharmonian Undang-undang Syariah dan Statutori.
Untuk
pengharmonian antara undang-undang Syariah dan statutori menggunakan prinsip
Tadarruj, ada beberapa cadangan dilakukan. Antaranya ialah :
1)
Undang-undang syariah mempunyai kuasa secara normatif
terhadap undang-undang statuari;
2)
Saling penetrasi antara undang-undang Syariah dan
undang-undang statutori; dan
3)
Wujud secara berseiringan antara kedua-dua sistem
perundangan,[13] yang mempunyai bidangkuasa pelengkap antara
kedua-duanya.
Antara tiga cadangan ini, hanya cadangan pertama mungkin boleh meredakan
konflik antara perundangan yang diamalkan di Negara Islam. Untuk menjayakan
pengharminian ini, perlulah diberi peranan yang lebih kepada undang-undang
Syariah untuk membentuk satu falsafah
perundangan yang perlu dimiliki oleh para hakim dalam sistem kehakiman Negara.
Ada usaha-usaha yang telah dilakukan di Negara-negara Arab bagi mengharmonikan
pentadbiran undang-undang negara. Contohnya di Sudan dan Mesir, para hakim
telah berusaha untuk mengislamkan sistem undang-undang Negara sebagaimana jelas
berlaku di mahkamah-mahkamah rendah sehingga ke mahkamah-mahkamah rayuan,
tetapi belum lagi di Mahkamah Agung (Supreme Court)[14] di
negara-negara berkenaan. Para qadi dan hakim di mahkamah Sivil juga dalam
banyak kes di Sudan cuba mengelakkan peruntukan-peruntukan statutory yang
bertentangan dengan undang-undang Syariah dan sebagai gantinya mengaplikasikan
undang-undang Syariah yang belum dikodifikasikan, dalam usaha mensyariahkan
undang-undang di negara itu.[15]
Kesimpulan
dan Cadangan
Gerakan pembaharuan yang dipelopori oleh Jamal al-Din al-Afghani
(1839-1897) dan Shaykh Muhammad ‘Abduh (1849-1905) telah berjaya membentuk
semula pemikiran perundangan Syariah dari dalam dan akhirnya gerakan pemodenan
ini dilakukan oleh para sarjana yang berotoriti untuk menyesuaikan dengan
tuntutan dan keperluan semasa masyarakat Islam. Kepada gerakan ini, pintu ijtihad
perlu dibuka semula, dengan berasaskan kepada doktrin maslahan. Walau proses
ini tidak berjaya membentuk satu metodologi perundangan Syariah yang baru,
kerana ia dianggap mengganggu teori perundangan tradisi dan membawa penggubalan
perundangan secara persendirian (tashri)[1] tetapi ia telah membuka jalan untuk penerokaan
kepada pembentukan metodologi perundanganyang baru. Untuk menyambung usaha
pembaharuan ini, Syakh Ahmad Muhammad Shakir (m.1958), seorang qadi di Mesir
telah mengemukakan metodologi perundangannya dengan mencadangkan supaya
mahkamah Syariah menggunakan tiga sumber, iaitu sumber asal Syariah (al-Quran
al-Sunnah, al-ijma dan al-qiyas), undang-undang statutori dan
keadilan (al-adl). Sebagai penyelesaian sokongan, beliau lebih menyokong
penggunaan konsep al-takhayyur dari sumber-sumber lain, selagi
penggunaannya tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.[2] Kemungkinan cadangan ini dibuat untuk memudahkan
pengharmonian antara teori dan amalan undang-undang Syariah dan Barat.
Senario
di Sudan
Satu lagi percubaan dilakukan untuk pengharmonian antara undang-undang
Syariah dan Barat iaitu dilakukan di Sudan. Dalam usaha meletakkan Syariah
sebagai undang-undang negara, Hasan al-Turabi, seorang pakar undang-undang dan
ahli sains politik, telah mencadangkan metodologi hukum yang baru dijadikan
asas pengharmonian undang-undang di antara undang-undang Syariah dan Barat.
Sumber-sumber hukum selain dari al-Quran, al-Sunnah, al-ijma, al-qisas, al-istihsan
dan al-darurah, beliau juga memperakukan penegakan semula Syariah dengan
melalui kodifikasi statutory, yang diamalkan di Barat, dengan berasaskan
doctrin al-takhayyur. Pelaksanaan teori al-Turabi ini dilakukan dengan
mengaplikasikannya dalam Akta Pengadilan (peraturan-peraturan Asas) (the
Judgements (Basic Rules) Act) (Qanun usul al-Ahkam), 1983. Akta ini memberi
kuasa kepada mana-mana hakim, di dalam kes lacuna di dalam peruntukan
statut Syariah dan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, menggunakan ijtihad
dengan berdasarkan kepada prinsip-prinsip undang-undang mengikut turutan
berikut; iaitu al-ijma, al-qisas, al-maslahan doktrin
dahuluan perundangan (mahkamah nasional Sudan) dan adat, selagi semuanya itu
tidak bertentangan undang-undang Syariah dan keadilan, iaitu termasuk ekuiti
dan keprihatinan (good conscience).[3]
Senario
di Mesir
Agak berlainan pula berlaku di Mesir. Di dalam peruntukan Fasal 2,
Perlembagaan 1980, dibahagikan kepada dua undang-undang yang diamalkan di
Negara itu. Pertama, prinsip-prinsip fundamental dan kedua ialah
peraturan-peraturan terperinci. Dijelaskan bahawa prinsip-prinsip fundamental,
yang diterima pakai oleh semua para ulama’, berpksikan kepada kaedah klasik
Syariah, yang ditetapkan dalam ilmu usul al-fiqh di dalam empat mazhab,
teori perundangan mazhab Mu’tazilah, dan mengikut pandangan pemikiran modenis
Islam. Prinsip-prinsip asas perundangan ini ditetapkan sebagai tidak boleh
diubah, yang merupakan norma-norma perundangan yang kukuh (unequivocal).
Peraturan-peraturan terperinci pula, sebaliknya,dibenarkan untuk diubahsuai
dengan jalan pentafsiran, mengikut perubahan keadaan, masa dan tempat di mana
ia diamalkan. Walaupun pada dasarnya, para pakar undang-undang itu, tetapi
Mahkamah Agung Perlembagaan (the Supreme Constitutional Court), pada masa yang
mendatang adalah dibenarkan untuk dirujukkan kepada badan pembuat undang-undang
(legislative) dan ijtihad perundangan untuk kepentingan awam.
Pada tahun 1994, Mahkamah Agung Perlembagaan telah menolak satu tuntutan atau
rayuan untuk membatalkan keputusan
mahkamah yang mewajibkan suami membayar nafkah anak ke belakang, iaitu ke hari
ia mula tidak membayarnya, dengan alasan bahawa keputusan sedemikian
bertentangan dengan doktrin berhubung dengan dengan nafkah dalam mazhab Hanafi.
Mahkamah Agung itu memutuskan pembayaran ke tarikh belakang tersebut adalah
mengikut prinsip Syariah dan mengarah supaya menghindarkan kesulitan (mashaqqah)
terhadap masyarakat dan dalam kes ini ialah kepada anak tersebut. Keputusan
yang dibuat oleh Mahkamah ini menunjukkan bahawa sekiranya terdapat kesamaran
atau kekosongan dalam prinsip-prinsip perundangan, keperluan kepada pnyesuaian
undang-undang Syariah secara anjal hendaklah dilakukan bagi disejajarkan dengan
keperluan semasa. Mahkamah Agung Perlembagaan juga telah memutuskan bahawa
undang-undang statutory adalah amat penting di dalam metodologi perundangan
Syariah masa kini.[4]
Senario
di Malaysia
Yang terpenting apabila pejabat Peguam Negara, melalui Bahagian
Syariahnya dan juga Parlimen ataupun Dewan Undangan (DUN) Negeri, dalam kes
Malaysia atau lainnya, merancang untuk mengkodifikasi undang-undang Syariah
melalui pemakaian prinsip-prinsip Syariah dan mekanisme yang ditetapkan bagi
mengadaptasi undang-undang Syariah bersesuaian dengan masyarakat kontemporari
yang sentiasa berubah hendaklah mengikut beberapa syarat yang diperlukan.
Antaranya ialah :
1)
Bahagian Syariah, Pejabat Peguam Negara dianggotai
oleh ahli perundangan yang mempunyai kepakaran secara dwi-sistem perundangan,
iaitu Syarian dan Sivil atau Commom Law Inggeris;
2)
Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri,
sekurang-kurangnya memahami secara asas kedua-dua sistem perundangan tersebut;
bahkan diwajibkan hadir mendengar taklimat dan kursus berkaitan undang-undang
jenayah Islam sebagaimana kewajipan memiliki lessen memandu dengan sukatan
pelajaran, teori dan praktikal yang wajib hadir dengan tempoh masa tertentu.
3)
Penggubalan undang-undang statutori hendaklah
berasaskan kepada kerangka dan prinsip-prinsip jurispruden Islam yang
digunapakai oleh setiap mazhab ortodoks Islam. mana-mana fatwa yang dibuat oleh
seorang mufti, melalui jawatankuasa Syariah negeri atau jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan hendaklah juga mempunyai kuasa perundangan bagi mengisi mana-mana
kekosongan dalam pelbagai aspek perundangan Syariah yang sentiasa berkembang;
4)
Pengenalpastian hendaklah dibuat terhadap mana-mana
undang-undang yang bercanggah dengan undang-undang Syariah yang diamalkan dan
membuat perancangan untuk, sekurang-kurangnya diminimumkan percanggahan
sedemikian dan akhirnya hendaklah dihapuskan mana-mana yang bertentangan
diserap dan diasimilasikan mana-mana peruntukan perundangan yang bersesuaian
sehingga menjadi bersepadu dan mencapai pengharmonian yang sebenar antara
undang-undang Syariah dan Sivil;[5]
5)
Kerjasama dan kordinasi perlu diwujudkan antara
pakar-pakar perundangan Syariah dan Sivil di dalam pentadbiran undang-undang
Negara, seperti para hakim, qadi, mufti, pengamal undang-undang dan para sajana
perundangan di pusat-pusat pengajian tinggi untuk membentuk, menyelaras dan
mengharmonikan pengamalan undang-undang tersebut, sama ada dalam bidang-bidang
kekeluargaan, ekonomi, pentadbiran, politik dan lain-lain. Di Malaysia telahpun
ditubuhkan jawatankuasa teknikal undang-undang untuk tujuan tersebut, tetapi ia
perlu diteruskan, dikemaskini dan dipergiatkan lagi sehingga tercapai tujuan
pengharmonian sistem perundangan Negara yang sebenarnya wujud di negara ini.
6)
Di Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
telah ditubuhkan pada 15 Disember 1998 berfungsi untuk menyelaraskan pentadbiran
undang-undang Syariah di Malaysia. Ia juga akan menjadi Mahkamah Rayuan Syariah
di Peringkat Prsekutuan. Penubuhan Jabatan ini adalah sebagai kemuncak kepada
penyatuan, pemodenan dan pengharmonian pengamalan undang-undang Syariah di
Malaysia, sepatutnya dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain.[6]
Akhirnya, pembentukan satu minhaj atau metodologi baru dalam
sistem perundangan Syariah, yang tidak berpisah dari asas-asas metodologi
klasik sahaja yang membolehkan untuk memperlengkapkan lagi undang-undang ini
bagi tujuan pengharmonian pengamalan antara undang-undang Syariah dan Sivil.
Ini hanya boleh dilakukan melalui kaedah ijtihad berwibawa, dan dengan ijtihad
sedemikian sahajalah undang-undang Syariah berupaya untuk memenuhi semua
tuntutan dan keperluan umat Islam semasa. Para pakar perundangan juga perlu
membutikan kewibawaan, berdaya saing, berdaya cipta, berdaya ubah, jujur dan
berani untuk mentafsir semula dan membentuk satu kaedah perundangan Syariah
baru, tanpa menyeleweng dan menyimpang dari cirri-ciri dan rangka bentuk
undang-undang Syariah yang diformulasikan oleh para fuqaha’ terdahulu, kerana
ia adalh warisan utama (al-turath) yang tidak boleh diabaikan rujukan
kepadanya. Walau bagaimanapun, untuk berpegang kepada hanya kepada teori-teori
atau kaedah-kaedah klasik semata-mata tidaklah memadai kerana
peruntukan-peruntukan metodologi usul al-fiqh dan al-qawa’id al-fiqhiyyah
klasik tidak dapat memenuhi tuntutan perkembangan semasa. Perlu juga digunakan
teori-teori baru, seperti pemakaian konsep fiqh al-awlawiyyat (fiqh
keutamaan), dengan mengadoptasi elemen-elemen fiqh al-muwazanat (fiqh
perimbangan)[7] dan al-tayyar al-wasati (aliran kesederhanaan)[8] di dalam penggubalan dan pengaplikasian undang-undang
Syariah (tatbiq al-qanun li al-Syari’ah) pada keseluruhannya, di samping
penggunapakaian konsep dan doktrin perundangan moden, sama ada dari Barat atau
lainnya.
Undang-undang Syariah juga tidak seharus semuanya dilokalisasikan
sebagai satu sistem perundangan tempatan atau nasional, kerana ia adalah satu
sistem sejagat yang mempunyai hubungan rapat dengan pemboleh amalan di setiap
tempat, masa dan keadaan, tanpa disempadankan oleh mana-mana daerah atau Negara
ataudibataskan oleh masa dan keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, sebahagian
dari undang-undang Syariah itu perlu bercirikan local untuk disesuaikan dengan
keadaan, tempat dan kemanusiaan yang memerlukannya yang bersifat tempatan,
seperti dalam undang-undang perlembagaan, pentadbiran, diri dan lain-lain.
Berdasarkan perbincangan diatas kita dapati bahawa prinsip tadarruj
merupakan antara asas dalam pelaksanaan undang-undang Islam walaupun
hukum-hukum Islam itu telah sempurna selepas selesainya penurunan al-Quran. Ini
ditegaskan oleh Dr Yusuf al-Qardawi yang menyatakan bahawa “ Sekiranya kita
ingin menegakkan (masyarakat Islam yang hakiki) maka jangan kita sangka ianya
dapat ditegakkan dengan tulisan pena atau dengan perintah daripada raja atau
ketua Negara atau majlis pemerintah atau parlimen. Tetapi masyarakat Islam yang
hakiki hanya dapat dibina melalui jalan beransur-ansur, yang saya maksudkan
ialah dengan persediaan dan persiapan pemikiran, psikologi, akhlak dan juga
kemasyarakatan.”
Persoalan terburu-buru ingin melaksanakan hukum Islam dengan mengabaikan
aspek prasarana dalam pelaksanaan hukum Islam hendaklah ditinggalkan. Apa yang
penting ialah keikhlasan, bilamana sudah ada tekad dan keazaman untuk
melaksanakan hukum-hukum Islam maka biarlah kita berperingkat-peringkat dalam
melaksanakannya agar pelaksanaannya sempurna dan tidak mengundang banyak
permasalahan. Sekalipun kesempurnaan ini memang sukar dicapai, tetapi boleh
dicapai melalui pembaikan dari masa ke semasa dengan syarat pelaksanaan
tersebut hendaklah meminimakan sebanyak mungkin permasalahan yang bakal atau
mungkin timbul. Persoalan sama ada sesuatu undang-undang itu sudah sesuai untuk
dilaksanakan atau tidak hendaklah diserahkan kepada pakar-pakar dalam
bidang-bidang yang berkaitan. Faktor keikhlasan ini boleh diikat dengan faktor
masa iaitu meletakkan tempoh masa tertentu misalnya dua tahun atau tiga tahun
atau empat tahun atau sebagainya yang difikirkan perlu bagi menyediakan
prasarana berkaitan bagi melaksanakan hukum Islam sepenuhnya. Faktor penetapan
masa ini penting bagi mengelakkan prasangka bahawa prinsip tadarruj ini
digunakan sebagai alasan untuk tidak melaksanakan hukum Islam.
Rujukan
Al-Quran al-Karim.
Jabatan Kehakiman Syariah
Malaysia (JKSM), Laporan Tahunan 2001.
Abdul Aziz Bari, 2005, Islam Dalam
Perlembagaan Malaysia, Petaling Jaya: Intel Multimedia and Publication.
Muhammad Khudari Bek, 1967, Tarikh
al-tasyri' al-Islami, Beirut: Dar al-Fikr.
Yusuf al-Qardawi, 1986, al-khasais
al-Ammah li al-Islam, Qaherah: Maktabah Wahbah.
Al-Qattan, Manna', 1995, Tarikh
al-Tasyri' al-Islami, Beirut: Muassasah al-Risalah, Beirut.
Abdul Basir Mohamad dan Jafril Khalil, 1998,
Modul Sejarah Perundangan Islam, Modul 13, Pusat Pengajian Luar Kampus,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abdul Karim Zaydan, 1987, al-Wajiz fi
Usul al-Fiqh, Beirut: Muassasah al-Risalah.
Al-Qurtubi, Abu Abdullah Muhammad bin
Ahmad al-Ansari, 1988, al-jami' li Ahkam al-Quran, jilid 10, Beirut: Dar
al-Kutub al-Ilmiyyah.
Sayyid Qutb, 1985, Ma'alim fi
al-Tariq, Riyad: Ittihad al-Islami al-Alami.
Az-Zuhayli, Wahbah, 1986, Usul
al-Fiqh al-Islami, juz 2. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu'asir.
K.Balz
(1999), “The Secular Reconstruction of Islamic Law: The Islamic Supreme
Constitutional Court and the ‘Battle over the Veil’ in State Run School”.
In B.Dupret, M. Berger and L. Zuwaini(eds), Legal Pluralism in the Arab
World. The Hague, London & Boston: t.p.
C.B Lombardi (1988), “Islamic
Law as a Source of Contitutional Law in Egypt : The Constitutionalization of
the Sharia in a Modern Arab State”, Columbia Journal of Transanational
Law 37.
A. Layish and g.R. Warfurg (2002), The
Reinstatement of Islamic Law in Sudan under Numayri. An Evaluation of a
Legal Experiment in the Light of Its Historical Contexxs methodology and
Repercussions. Leiden; Lazac.
Lihat
W.B.Hallaq (1997), A History of Islamic Legal Theories. Cambridge: Cambridge
University Press. lihat juga R.Peters, ‘Ijtihad dan Taqlid in 18th
and 19th Century Islam”, Die Welt des Islams 30.
R.Shaham (1999), “An
Egyptian Judge in a Period of Change: Qadi Ahmad Muhammad Shakir (1892-1958)”, Journal
of the American Oriental Society. 119.
C.B. Lombardi (1998),
“Islamic Law as a source of Constitutional Law in Egypt : The Constitution of
the Sharia in a Modern Arab State”, Columbia Journal of Transnational
Law A.Layish and G.R.Marburg.
Yusuf al-Qardawi,
(2000/1421) Fi fiqh al-Awlawiyyat : Dirasah Jadidah Fi Daw’ al-Quran wa
al-Sunnah. Qaherah : Maktabat Wahbah.
J. Schacht, Introduction,
op cit., h. 19; dan N.J. Coulsan, History of Islamic Law.
[1]
Lihat W.B.Hallaq (1997), A History of Islamic Legal Theories. Cambridge:
Cambridge University Press. lihat juga R.Peters, ‘Ijtihad dan Taqlid in 18th
and 19th Century Islam”, Die Welt des Islams 30,hh. 131-145
[2]
R.Shaham (1999), “An Egyptian
Judge in a Period of Change: Qadi Ahmad Muhammad Shakir (1892-1958)”, Journal
of the American Oriental Society. 119, hl. 440-455.
[3]
A. Layish and G.R. Warturg, op.cit.,hh.
79-94.
[4]
C.B. Lombardi (1998), “Islamic
Law as a source of Constitutional Law in Egypt : The Constitution of the Sharia
in a Modern Arab State”, Columbia Journal of Transnational Law
37,hh.81-123; dan A.Layish and G.R.Marburg, op cit., hh. 124, 169-170.
[5]
Penerapan dan pengasimilasian
elemen-elemen perundangan asing ke dalam sistem perundangan Syariah telah
berjaya dilakukan pada peringkat period formatif pada zaman awal Islam, sama
ada dalam bidang pengkonseptualisasi undang-undang, penginstitusian dan
pengamalan pentadbirannya. Lihat J. Schacht, Introduction, op cit.,
h. 19; dan N.J. Coulsan, History of Islamic Law, op cit., h.27.
[6]
Lihat Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia (JKSM), Laporan Tahunan 2001, h. 22.
[7]
Yusuf al-Qardawi, (2000/1421) Fi fiqh al-Awlawiyyat : Dirasah Jadidah
Fi Daw’ al-Quran wa al-Sunnah. Qaherah : Maktabat Wahbah, h. 25.
[8]
Ibid., hh.
191-196.
[1] Muhammad Abu
Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiah, Darul Fikr al-Arabi, tanpa tarikh, hal.
42.
[2] Marco Polo,
The Travels of Marco Polo, London (terjemahan) Aldo Ricci, hal. 282.
[3] Ibnu Battutah
(arab), Rehlah Ibnu Battutah, Beirut 1960, hal. 618. Lihat juga H.A.R Gibb
(terjemahan) Ibn Batutah Travel in Asia and Africa, New York, 1929, hal.274.
[4] W.G Shahhabear,
Sejarah Melayu, The Malayan Publishing House Ltd., Singapura, 1950, hal.115.
[5] Zainal Abidin
Abdul Wahid, Sejarah Melayu Sepintas lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985,
hal.25.
[6] M.B.
Hooker(ed), The Law of South East Asia, vol.1, The pre-Modern Texts, Butterworth & Co, (Asia) Pte. Ltd.
1988, hal. 376. Lihat juga Yock Fang, Undang-undang Melaka, The Hague, 1976,
hal.1.
[7] Abdul Halim
Muhammady, Sumbangan Institusi Pengajian Tinggi Islam Ke Arah Perlaksanaan
Undang-undang Islam di Malaysia, Seminar Syariah, Universiti Malaya, 1987,
hal.7. Lihat juga Hooker, Readings in Malay Adat Laws, Singapore University
Press, 1970, hal.93.
[8] Undang-undang
Tubuh Kerajaan-Johor 1895, Fasal 57. Lihat juga Buyong Adil, Sejarah Johor,
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, hal.288.
[9] Law of The
Constitution of Terengganu, 1911 Malayan Constitutional Documents No.2.
[10] Majallah Ahkam
Johor, Kerajaan Johor, Muar 1331H.
[11] Abdul Aziz Bari, 2005, Islam
Dalam Perlembagaan Malaysia, Petaling Jaya: Intel Multimedia and
Publication, Hal 102-103.
[12] www.drmaza.com
[13] K.Balz (1999), “The Secular Reconstruction
of Islamic Law: The Islamic Supreme Constitutional Court and the ‘Battle over
the Veil’ in State Run School”. In B.Dupret, M. Berger and L. Zuwaini(eds), Legal
Pluralism in the Arab World. The Hague, London & Boston: t.p,
hh. 231-233.
[14] Lihat C.B Lombardi (1988), “Islamic
Law as a Source of Contitutional Law in Egypt : The Constitutionalization of
the Sharia in a Modern Arab State”, Columbia Journal of Transanational Law
37. hl. 118-119; A. Layish and g.R. Warfurg (2002), The Reinstatement of
Islamic Law in Sudan under Numayri. An Evaluation of a Legal Experiment
in the Light of Its Historical Contexxs methodology and Repercussions.
Leiden; Lazac, h. 263
[15] Ibid.,
hl. 174-180, 267, 276-277
[1]
Az-Zuhayli, Wahbah, Usul al-Fiqh al-Islami, juz 2. Dar al-Fikr al-Mu'asir,
Beirut, 1986, hal. 936.
[1] Al-Qurtubi, Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad
al-Ansari, al-jami' li Ahkam al-Quran, jilid 10, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah,
Beirut, 1988
[2] Muhammad
Khudari Bek, Tarikh tasyri' al-Islami, Dar al-Fikr, Beirut, 1967, hal.18.
[3] Yusuf,
al-Qardawi, al-Khasais al-Ammah li al-Islam, Maktabah Wahbah, Qaherah, 1986,
hal.163.
[4] Muhamammad
Khudari, op.cit. Hal. 163.
[5] Abdul Basir Mohamad dan Jafril Khalil,
Modul Sejarah Perundangan Islam, Modul 13, Pusat Pengajian Luar Kampus,
Universiti Kebangsaan Malaysia, 1998.
[6] Muhamammad
Khudari, op.cit. Hak. 17-18.
[1]
Abdul Karim Zaydan, 1987, al-Wajiz fi Usul
al-Fiqh, Beirut: Muassasah al-Risalah, hal. 378.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan