20hb Januari 2015,
Sungai Ramal Dalam - Panas!!! Panas!!! Panas!!! sudah jatuh ditimpa tangga,
itulah istilah yang boleh menggambarkan kes artis Tanah air negara. Namun apa
yang cuba difokuskan dalam kes ini ialah Sijil Nikah Palsu. Apatah lagi
semenjak tahun 2009 setakat maklumat yang diperolehi ialah Jabatan Pendaftaran
Negara telah memperketatkan lagi proses pendaftaran anak-anak dengan melihat
kembali Sijil Nikah Pasangan samada tulen atau tidak.
Buat masa ini juga, 2
kes yang sedang dikendalikan oleh Firma ini berkaitan pernikahan sindiket
sehingga mendorong mereka mendapatkan sijil nikah 'asli' yang dikeluarkan oleh
pihak tertentu. Bahkan daripada maklumat yang diberikan oleh ejen-ejen ini yang
memaklumkan sijil palsu ini bukannya satu atau dua malah lebih dari selori
telah dikeluarkan.
KESAN PADA
KESAHTARAFAN ANAK
Kes-Kes Kesahtarafan
Anak Sejak kebelakangan ini, kes-kes berkaitan permohonan pengesahtarafan anak
bagi pasangan-pasangan Islam semakin banyak dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Menurut statistik terbaru yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penbangunan
Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar bahawa seramai
700 orang anak luar nikah atau anak tidak sah taraf didaftarkan di Kelantan
dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Tetapi apa yang lebih
mengejutkan lagi adalah kenyataan beliau yang memetik sumber dari Jabatan
Kebajikan Msyarakat menunjukkan masalah anak luar nikah di negeri ini adalah
yang TERENDAH berbanding negeri lain.
Daripada statistik di
atas, tidak dijelaskan lebih lanjut sama ada jumlah tersebut hanyalah
melibatkan pasangan yang beragama Islam sahaja atau termasuk juga yang bukan
Islam.Pendaftaran Kelahiran di JPN. Minggu lepas sahaja lebih kurang 3 pasangan
yang datang untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman kami bagi membantu mereka
mengemukakan Permohonan Pengesahan Taraf Anak di Mahkamah Syariah. Menurut
mereka lagi, mereka terpaksa mengemukakan permohonan ini kerana pihak Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) telah menolak pendaftaran anak mereka sebagai anak
sahtaraf kecuali Mahkamah Syariah sendiri mengeluarkan perintah bagi
mengesahkan status anak mereka.
Daripada temubual kami
dengan mereka, didapati sejak 2 tahun kebelakangan ini, pihak JPN begitu tegas
dalam mengendalikan pendaftaran kelahiran bayi. Sebarang keraguan terhadap
Sijil Nikah anda, akan dapat dikesan oleh pegawai yang berkenaan dengan cepat
dan pasti akan menjejaskan pendaftaran kelahiran bayi anda. Sebelum ini, JPN
menggunakan pendekatan yang lebih longgar dan mudah dalam proses pendaftaran
kelahiran bayi. Ini jelas apabila data kami menunjukkan bahawa terdapat
beberapa pasangan yang memohon pengesahtarafan anak ini adalah pasangan yang
telah berkahwin hampir 10 tahun yang lalu dan tidak menghadapi sebarang masalah
untuk mendaftarkan kelahiran bayi mereka sebelum ini di JPN, namun mereka
menghadapai kesulitan untuk mendaftarkan anak mereka yang baru dilahirkan dalam
tempoh 2 tahun kebelakangan ini.Berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan,
biasanya kes kesahtarafan ini berkait rapat dengan status pernikahan pasangan
tersebut sama ada sah, tidak sah atau diragui dan secara umumnya ia boleh
dibahagikan kepada 3 kategori seperti berikut:
1. Pernikahan
Sindiket. Pasangan seperti ini telah diakadnikahkan oleh seorang jurunikah
palsu atau jurunikah tidak bertauliah di Malaysia. Jurunikah ini juga telah
mengeluarkan kepada mereka sijil nikah yang palsu tetapi bentuknya seakan
menyamai sijil nikah yang asli seperti mana yang dikeluarkan oleh Jabatan
Agama. Anak pertama dan kedua mereka berjaya didaftarkan sebagai anak yang sah kerana
pada ketika itu JPN mungkin tidak dapat mengesan kepalsuan sijil nikah
tersebut. Namun apabila memperolehi cahaya mata ketiga setahun yang lalu, pihak
JPN telah berjaya mengesan Sijil Nikah mereka adalah palsu , justeru anak
ketiga mereka tidak boleh didaftarkan sebagai anak yang sah walaupun kedua-dua
anak mereka sebelum ini adalah didaftarkan sebagai anak yang sah.
2. Pernikahan Di
Thailand. Pasangan seperti ini telah melangsungkan pernikahan di Thailand.
Apabila balik ke Malaysia, pernikahan mereka masih belum didaftarkan lagi,
tetapi mereka pula telah memperolehi anak. Mereka akan menghadapi masalah untuk
mendaftarkan kelahiran anak mereka sebagai anak yang sah kerana pihak JPN tidak
menerima Sijil Nikah Thailand sebagai bukti pernikahan mereka kecuali
pernikahan itu disahkan oleh Mahkamah Syariah. Lebih malang lagi jika, setelah
siasatan dilakukan didapati pernikahan tersebut adalah tidak sah di sisi Hukum
Syarak.
3. Pernikahan
selepas mengandung. Pasangan seperti ini akan menghadapi masalah untuk
mendaftarkan kelahiran bayi mereka sebagai anak yang sah jika anak mereka
dilahirkan dalam tempoh kurang daripada 6 bulan selepas tarikh pernikahan.
Terdapat juga pasangan yang gagal mendaftarkan kelahiran anak mereka walaupun
anak mereka dilahirkan dalam tempoh melebihi 6 bulan dari tarikh pernikahan
tetapi kurang dari 9 bulan kerana mungkin dikhuatitiri anak tersebut telah
diperolehi melalui penzinaan sebelum pihak-pihak diakadnikahkan.Penyelesaian:Bagi
jenis kes pernikahan sindiket dan pernikahan di Thailand, Mahkamah akan
menerima anak-anak ini sebagai anak yang sahtaraf jika pasangan tersebut dapat
meyakinkan Mahkamah bahawa pernikahan mereka itu sememangnya pernikahan yang
sah.Namun jika didapati pernikahan tersebut tidak sah , ia bukanlah penamat
segala-galanya kerana mahkamah masih mengiktiraf anak ini sebagai anak yang sah
asal sahaja pasangan ini secara sucihati langsung tidak menyedari bahawa
pernikahan mereka adalah pernikahan sindiket atau pernikahan yang tidak sah
kerana tidak memenuhi Rukun Nikah. Persetubuhan yang mereka lakukan ketika itu
tidak dianggap sebagai satu penzinaan tetapi di terima sebagai "wat'i
syubhah".Bagi kategori kes ketiga pula, ia agak sukar dijangka
keputusannya kerana terdapat pelbagai pandangan mengenai isu ini. Di kebanyakan
negeri, telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang keluarga Islam masing-masing
bahawa anak yang dilahirkan selepas 6 bulan pernikahan pihak-pihak adalah anak
yang sah kepada pasangan itu. Jadi, jika anak tersebut dilahirkan dalam tempoh
6 bulan beberapa hari atau 7 bulan selepas pernikahan mereka adalah memadai
untuk anak tersebut diktiraf sebagai anak yang sah melainkan bapanya menafikan
secara 'lian'.
Uniknya, di negeri
Perlis, walaupun undang-undangnya hanya mengiktiraf anak yang sah adalah anak
yang lahir 6 bulan selepas pernikahan ibubapanya namun Mufti Perlis sebelum ini
dilaporkan pernah mengeluarkan fatwa bahawa anak yang dilahirkan kurang 6 bulan
dari tempoh pernikahan ibubapanya diterima layak dinasabkan dan diiktiraf
sebagai anak yang sahtaraf asalkan ibubapanya bersungguh-sungguh mahu
bertaubat. Persoalannya, apakah fatwa ini mengikat Mahkamah Syariah dalam
keputusannya kerana di dalam Undang-undang tiada peruntukan seperti itu. Jika
fatwa ini diterima pemakaiannya, bagaimana pula pertimbangan Mahkamah dalam
menilai taubat seseorang. Dalam kes Kahar rasul palsu, jelas Mahkamah tidak
dapat menerima pengakuan taubat beliau walaupun kenyataan taubat tersebut dibuat
secara bersumpah. wallahu alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan