ditulis pada 27hb September 2017
Penceraian
Adalah Kuasa Wanita, Satu Bukti Islam Tidak Menzalimi Wanita: Analisa
Permasalahan Soalan Berkaitan Rumahtangga
Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi (PU RAZI)* Peguam Syarie
Islam tidak pernah mendskriminasi
wanita. Malah kedatangan Islam mengangkat darjat wanita yang mana wanita hanya
dijadikan objek seks dan barang perdagangan semasa sebelum ketibaan Islam yang
dikenali pada zaman arab jahiliyyah sekitar 1400 tahun yang lalu. Bahkan banyak
hadith-hadith nabi SAW yang memperjelaskan tentang keberuntungan menjadi
seorang wanita, isteri dan ibu berbanding kaum lelaki yang berat di atas
bahunya persoalan tentang tanggungjawab. Bahkan Islam menjelaskan juga amaran
dahsyat suami yang menzalimi isterinya, dengan tiada memberi nafkah mahupun
memukul isterinya dan digelar dayus dalam Islam dengan diharamkan syurga buat
suami yang berperangai keji seperti itu.
Penulisan ini merujuk kepada
soalan daripada kajian kes sebenar iaitu Pn. Aida yang ingin bercerai dan
bertanyakan apakah saluran untuk dia memohon penceraian daripada mahkamah. Puan
Aida bebruat demikian juga disebabkan pihak suami ada berkahwin lain bahkan ada
isu tentang nafkah anak-anak yang mana suami Puan Aida, iaitu Azwan menganggap
duit gaji Puan Aida bekerja bersama dengan syarikat suaminya Azwan adalah
termasuk dalam nafkah juga. Malah Puan Aida bertanyakan perkara-perkara
berbangkit sebaik sahaja berlaku penceraian seperti Harta Sepencarian. Kes ini
dikupas dalam bentuk penceritaan dan jawapan umum. Berdasarkan kes yang berlaku
kepada Pn. Aida, samada beliau mempunyai locus standi dalam kesemua alasan yang
diberikan untuk bercerai dengan suaminya akan dikupas satu persatu.
ISU:
PENCERAIAN
POLIGAMI
NAFKAH ISTERI
NAFKAH ANAK-ANAK
HARTA SEPENCARIAN
Menurut pandangan Islam, terdapat
3 saluran yang dibenarkan bagi seorang wanita memohon cerai daripada suaminya
walaupun dengan alasan yang tidak munasabah, iaitu melalui jalan fasakh, khulu’
dan juga ta’liq. Maka keadilan Islam itu tidak hanya memberikan kuasa talaq kepada
lelaki bahkan juga kepada isteri. Bahkan, pihak isteri boleh memfailkan
permohonan cerai dengan persetujuan bersama melalui Seksyen 47 di Mahkamah dan
akan melalui proses hakam jika hal tersebut tidak dipersetujui oleh mana-mana
pihak.
KEYNOTES:
FASAKH
KHULU’
TA’LIQ
SEKSYEN 47
Dalam situasi ini, Pn. Aida
memberikan alasan ingin bercerai kerana suaminya Azwan telah berkahwin lain
tanpa kebenaran dan telah jarang pulang sekaligus telah lalai dalam menjalankan
tanggungjawabnya, serta beliau juga mendakwa bahawa suaminya telah tidak
memberikan nafkah selama setahun dan juga mahu menuntut harta serta bahagian
saham daripada perniagaannya bersama dengan suaminya.
Pertama, Pn. Aida masih boleh
terus memenuhi keinginannya untuk bercerai dengan menggunakan alasan cerai
secara ta’liq mengikut seksyen 50(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor)2003 di mana seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika
berhak mendapat perceraian menuut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang
dibuat selepas perkahwinan, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa
perceraian yang demikian telah berlaku.
Di Malaysia, perceraian ta’liq
boleh dipohon selari dengan perjanjian yang dibuat selepas majlis akad yang
tertera di surat perakuan ta’liq dengan
lafaz perjanjian sekiranya pihak suami meninggalkan isteri atau tidak
memberikan nafkah selama tempoh empat bulan atau lebih, atau mencederakan atau
menyakiti badan isteri dan isteri tersebut membuat pengaduan di Mahkamah dan
selepas membuat siasatan terhadap aduan dan selepas membayar RM1 maka jatuhlah
satu talaq.
KEYNOTES:
SELEPAS LAFAZ IJAB DAN QABUL
SEMASA AKAD NIKAH, SUAMI AKAN MEMBACAKAN LAFAZ TA’LIQ SEBAGAI IQRAR JIKA
DILANGGAR OLEH SUAMI MANA_MANA TERMA DALAM TA’LIQ MAKA ISTERI BERHAK
MENDAPATKAN PENCERAIAN SELEPAS DIADUKAN DI MAHKAMAH
Kedua, Pn. Aida juga boleh memohon
perceraian daripada suami atas kapasiti permohonan cerai melalui fasakh
sebagaimana dalam peruntukan seksyen 53 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor)2003 yang mana fasakh ialah pembubaran nikah disebabkan oleh
sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Skop permohonan
pembubaran perkahwinan berdasarkan kapasiti ini adalah lebih luas, contohnya
Pn. Aida boleh memohon mengikut peruntukan seksyen 53(b) iaitu, bahawa suami
telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh
tiga bulan. Ini selaras dengan dalil al-Quran dalam surah an-Nisa’ ayat 128:
… “Dan jika seorang perempuan
bimbang akan timbul dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak
melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian
di antara mereka berdua (secara Yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu
lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut
(tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi Yang ada
pada manusia. dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri
(daripada melakukan kezaliman), maka Sesungguhnya Allah Maha mendalam
pengetahuannya akan apa Yang kamu lakukan”…
KEYNOTES:
PERMOHONAN FASAKH DI MAHKAMAH
ADALAH MEMAKANTEMPOH YANG AGAK LAMA, NAMUN SEMUA ALASAN FASAKH YANG DIKEMUKAN
LEBIH TELUS DAN ADIL KEPADA SEMUA PIHAK DALAM MEMBUKTIKAN HAL YANG SEBENAR.
Dalam masalah ini juga, Pn. Aida
telah mendakwa suaminya tidak memberikan nafkah kepada beliau dan anak-anak
selama setahun dan juga telah dibalas oleh suaminya melalui surat dengan
mendakwa bahawa Azwan telah membayar kepada Aida RM3000 sebulan sebagai gaji
pengurus kedai dobi dan mendakwa itulah nafkah untuk mereka. Dakwaan Azwan gaji
tersebut adalah nafkah adalah disangkal sama sekali berdasarkan hukum syarak
dengan dalil al-Quran dalam surah at-Talaq ayat 7 iaitu,
… “Hendaklah orang Yang mampu
memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa Yang di sempitkan rezekinya,
maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa Yang diberikan Allah kepadanya
(sekadar Yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar
kemampuan) Yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang Yang Dalam kesempitan
hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya
kesusahan”…
Merujuk kepada perkataan nafkah
itu sendiri adalah perkataan Arab yang berasal daripada infaq yang bermak untuk
mengambil dan ia digunakan untu tujuan yang baik sebagaimana yang dinyatakan
dalam kitab Mughni Muhtaj ‘Ila Makrifat Ma’ani al-Faz al-Minhaj. Bahkan secara
umumnya nafkah ialah perbelanjaan seorang suami kepada keluarganya samada dalam
bentuk makanan, pakaian, rumah kediaman dan juga perbelanjaan lain termasuklah
perubatan dan keperluan lain, sebagaimana dirujuk kepada kitab karangan Ibn
Abidin.
Ini bermaksud, nafkah adalah
berbeza dengan gaji isteri walaupun Azwan tadi mendakwa itu adalah nafkah
kerana Pn. Aida memperoleh gaji tersebut hasil daripada usahanya bekerja sebagai
pengurus di kedai dobi tersebut dan bukan lah nafkah hasil pemberian Azwan
keran hak tersebut adalah mutlak kepada Pn. Aida. Di dalam Islam, tanggungjawab
menyara keluarga adalah tertanggung kepada suami walaupun isteri teadi bekerja
dan isteri berhak mendapatkan nafkah selagi mana beliau tidak nusyuz kepada
suaminya mengikut tafsiran syarak.
KEYNOTES:
SEBAIKNYA SUAMI MENYEDIAKAN
MAKAN MINUM, TEMPAT KEDIAMAN DAN PAKAIAN SEBAGAI NAFKAH UTAMA MENGIKUT
KEMAMPUAN SUAMI. IZIN KEPADA ISTERI UNTUK BEKERJA BAGI MEMBANTU SUAMI BUKANLAH
ALASAN UNTUK TIDAK BERI NAFKAH.
Seterusnya, dalam menjawab surat
Azwan berkaitan sebab beliau berpoligami dengan menyalahkan Pn. Aida untuk
tinggal bersamanya adalah tidak masuk akal kerana keputusan yang dibuat
seolah-olah mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan tentang anak-anak,
bahkan perasaan Pn. Aida yang sedang disakiti secara emosi adalah bertepatan
dengan pemakaian peruntukan seksyen 53(i) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
(Negeri Selangor)2003 iaitu lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya
menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya. Peruntukan ini sesuai memandangkan
perkahwinan tersebut adalah tidak dipersetujui oleh Pn. Aida dan secara
berterusan dianiya dari sudut emosi dan ketenangan fikiran, maka kapasiti pembubaran
melalui fasakh juga adalah jalan terbaik untuk Pn. Aida menyelesaikan masalah
ini.
KEYNOTES:
SUAMI TIDAK ADA HAK MEMAKSA
ISTERI TINGGAL BERSAMA MADUNYA DALAM SATU RUMAH MELAINKAN ATAS PESETUJUAN
ISTERI YANG TERDAHULU
Tambahan lagi, samada Pn. Aida
ingin membuat laporan kepada Mahkamah kerana tindakan suaminya yang berkahwin
lain tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan di bawah seksyen 23(1)
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)2003 yang mewajibkan
seseorang yang mahu berpolgami perlulah mendapatkan keizinan daripada Mahkamah
Syariah terlebih dahulu. Bahkan, Azwan juga boleh didakwa di bawah seksyen 124
jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 6 bulan atau
denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi menjawab dakwaan Aida yang
menuntut hak harta dan saham perkongsian perniagaan kedai dobinya bersama Azwan
adalah dibenarkan dalam peruntukan undang-undang walaupun semasa dalam tempoh
perkahwinan. Seksyen 122 Enakmen Undnag-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor)
2003 dan seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah
daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian
sebelum permohonan poligami disahkan. Malah seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran
Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan
keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah
dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan
poligami dan juga keluar agama Islam.
Merujuk kepada beberapa pendapat
ulama’ Islam seperti dalam kitab Al-Umm oleh Imam Shafi’i, Bughatul
Mustarshidin, lanat Talibin, Kitab al-Bajuri, Kita al-Muhazzab dan Bulugh
ul-Maram, Lembaga Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan mendapati sokongan bagi
kaedah mengenai harta sepencarian dalam kes
Mansur lwn. Kamariah (1988) 6 JH 289 menyatakan bahawa jika harta-harta
pihak suami dan isteri telah bercampur (musha), dan mereka tidak dapat mencapai
persetujuan mengenai pembahagiannya, maka kedua-dua mereka hendaklah mengangkat
sumpah dan harta-harta itu akan dibahagikan sama banyak di antara mereka.
Lembaga Rayuan memerhatikan bahawa walaupun ulama’ itu mungkin menumpukan
perhatian mereka kepada kes musha, prinsip-prinsip itu boleh juga diperluaskan
kepada kes harta sepencarian. Lembaga Rayuan juga merujuk kepada Kitab
Qurratul’ain dan qaul Mazhab Hanafi yang meluluskan syarikat al-abdan
(perkongsian) secara mutlak tanpa syarat persamaan di dalam jenis pekerjaan
pihak-pihak itu untuk setiap pihak mendapat bayaran yang munasabah bagi usaha
yang dilakukan. Ini bermaksud, Pn. Aida berhak memohon harta daripada
bahagiannya dengan menolak dakwaan Azwan bahawa Pn. Aida tidak layak menuntut
harta tersebut kerana mereka masih lagi suami isteri.
KEYNOTES:
HARTA SEPENCARIAN ADALAH
APA-APA HARTA YANG DIPEROLEHI SEMASA TEMPOH PERKAHWINAN
Kesimpulan berdasarkan kes ini,
Pn. Aida bukan sahaja dilindungi oleh hukum syarak bahkan juga peruntukan
undang-undang bagi menjaga hak sebagai seorang isteri dan ibu kepada
anak-anaknya. Berbalik kepada keinginannya untuk bercerai, Pn. Aida memiliki 3
pilihan dalam membubarkan perkahwinannya melalui kuasa mahkamah berdasarkan
kesanggupan dan kesesuaian hujah Pn. Aida dengan memohon kepada Mahkamah di
mana Pn. Aida bermastautin.