Selasa, 15 Disember 2015

KWSP HARTA SEPENCARIAN ke BUKAN???

Hukum Menjadikan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sebagai Harta Sepencarian

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-67 yang bersidang pada 22 Feb 2005 telah membincangkan Hukum Menjadikan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sebagai Harta Sepencarian. Muzakarah telah memutuskan bahawa Wang caruman KWSP tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.

Keterangan/Hujah: 
 
LATAR BELAKANG
 
Isu untuk menjadikan wang caruman KWSP sebagai harta sepencarian timbul apabila terdapat beberapa pihak yang mahukan pihak isteri juga turut mempunyai hak dalam caruman KWSP suami terutama apabila berlaku perceraian atau kematian si suami.
 
Undang-undang Pentadbiran Mahkamah Syariah di Kelantan dan Undang-undang Keluarga Islam di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan ada mentafsirkan maksud harta sepencarian. Dari sudut perundangan, terdapat sedikit perbezaan dalam pentafsiran terminologi ini sungguhpun tidak terdapat perbezaan dari segi amalan pembahagian. Umumnya, harta sepencarian dapat didefinisikan sebagai harta sama ada harta alih atau harta tak alih yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama-sama dalam tempoh perkahwinan mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama.
 
Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan membicarakan tuntutan harta sepencarian daripada mana-mana pasangan Islam yang telah bercerai. Terdapat dua faktor yang diambil kira dalam menentukan sesuatu itu merupakan harta sepencarian atau tidak. Faktor pertama ialah sumbangan secara langsung. Sumbangan ini merujuk kepada usaha bersama yang jelas oleh pasangan suami isteri untuk memperoleh sesuatu aset itu. Ia merupakan faktor utama bagi mahkamah untuk mensabitkan adanya hak harta sepencarian semasa dalam tempoh perkahwinan.
 
Faktor kedua merujuk kepada sumbangan secara tak langsung oleh isteri atau suami kepada pasangannya dalam mendapatkan sesuatu aset. Sebagai contoh, suami bekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan, manakala isteri ialah seorang suri rumah yang tidak bekerja bersama-sama dalam memperoleh sumber pendapatan tersebut. Namun, kebijaksanaan isteri dalam menguruskan rumah, anak-anak dan sebagainya ditafsirkan sebagai sumbangan secara tak langsung yang menjamin seseorang suami dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjanya.
 
Daripada huraian yang telah dibuat, caruman KWSP tidak dikategorikan sebagai harta sepencarian. Di bawah Akta KWSP 1991, Seksyen 51, Simpanan KWSP ahli yang masih hidup adalah hak mutlak pencarum untuk kebajikan mereka pada hari tua yang tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain. Akta KWSP ini pula terletak di bawah undang-undang sivil.
 
HUJAH DAN DALIL
 
Tiada dalil khusus tentang harta sepencarian dan cara pembahagian dalam al-quran dan hadis. Namun demikian, Allah SWT telah pun menggariskan prinsip asas pemilikan iaitu ia berdasarkan kepada usaha tanpa membezakan antara lelaki dan wanita. Firman Allah SWT berikut ini menjadi asas kepada kepentingan pertimbangan sumbangan secara langsung dalam penentuan harta sepencarian:
 
Maksudnya:
Dan bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian darpada apa yang mereka usahakan.(Al-Nisa': 32)
 
Mazhab Syafie menggariskan, konsep perkongsian harta boleh dilihat melalui syarikat al-‘inan yang perkongsian dalam bentuk harta dibuat oleh dua pihak atau lebih melalui akad, dan keuntungan kembali kepada pihak tersebut menurut upah yang munasabah dengan kerja. Mazhab Hanafi mengharuskan secara mutlak syarikat al-abdan di mana perkongsian berlaku apabila dua orang berkongsi tenaga dan usaha tanpa harta dan modal. Maka keuntungan kembali kepada kedua-dua pihak atas kadar upah yang munasabah mengikut kerja. Mazhab Maliki dan Mazhab Hambali juga bersependapat begini dengan mensyaratkan persamaan dari segi jenis kerja.
 
Berdasarkan pandangan para ulama, dapat dirumuskan bahawa sumbangan kerja menjadi faktor menentukan wang simpanan KWSP sebagai harta sepencarian atau tidak. Perkongsian wang simpanan KWSP bukanlah perkongsian berakad dalam bentuk harta. Sekalipun terdapat perkongsian usaha dan tenaga, namun sumbangan isteri atau suami kepada pasangannya di dalam atau di luar rumah bukanlah dari jenis kerja yang sama yang dilakukan oleh pasangan tersebut. Oleh itu, wang simpanan KWSP bukanlah bentuk harta sepencarian tetapi harta pusaka yang wajib diagih-agihkan kepada yang berhak menerimanya melalui hukum faraid.
 
Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)
 
NAMUN.....
 
Terdapat beberapa kaedah dan cara samada menjadikan harta tersebut sebagai harta sepencarian atau bukan bergantung juga kepada faktor-faktor takat sumbangan jenis pekerjaan pihak-pihak ataupun melalui langkah awal yang sewajarnya dibuat oleh pemilik harta KWSP atau ahli-ahli waris yang mahukan harta tersebut terlebih dahulu.. peguam boleh jelaskan.

1 ulasan:

  1. Saya rasa amat tak adil dan akta KWSP 1991 perlu dikaji. Terutamanya untuk pasangan yang mana isterinya adalah suri rumah, setidak-tidaknya-harta sepencarian dikira sewaktu dalam tempoh perkahwinan mereka. Isteri suri rumah ada tanggungjawab tu kat umah. Apa punya Akta la kalau tak iktiraf sumbangan isteri. Ini tidak Adil. Akta bukan sumber primer pun. Gubalan insan yang lemah je pun

    BalasPadam