Hukum Menjadikan Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sebagai Harta Sepencarian
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-67 yang
bersidang pada 22 Feb 2005 telah membincangkan Hukum Menjadikan Caruman
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sebagai Harta Sepencarian.
Muzakarah telah memutuskan bahawa Wang caruman KWSP tidak boleh dianggap
sebagai harta sepencarian dan menetapkan wang tersebut sebagai harta
pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.
Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG
Isu untuk menjadikan wang caruman KWSP sebagai harta sepencarian timbul
apabila terdapat beberapa pihak yang mahukan pihak isteri juga turut
mempunyai hak dalam caruman KWSP suami terutama apabila berlaku
perceraian atau kematian si suami.
Undang-undang Pentadbiran Mahkamah Syariah di Kelantan dan
Undang-undang Keluarga Islam di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan
ada mentafsirkan maksud harta sepencarian. Dari sudut perundangan,
terdapat sedikit perbezaan dalam pentafsiran terminologi ini sungguhpun
tidak terdapat perbezaan dari segi amalan pembahagian. Umumnya, harta
sepencarian dapat didefinisikan sebagai harta sama ada harta alih atau
harta tak alih yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri hasil
daripada usaha dan sumbangan bersama-sama dalam tempoh perkahwinan
mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperoleh sebelum mereka
berkahwin yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa
perkahwinan melalui usaha bersama.
Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa eksklusif untuk mendengar dan
membicarakan tuntutan harta sepencarian daripada mana-mana pasangan
Islam yang telah bercerai. Terdapat dua faktor yang diambil kira dalam
menentukan sesuatu itu merupakan harta sepencarian atau tidak. Faktor
pertama ialah sumbangan secara langsung. Sumbangan ini merujuk kepada
usaha bersama yang jelas oleh pasangan suami isteri untuk memperoleh
sesuatu aset itu. Ia merupakan faktor utama bagi mahkamah untuk
mensabitkan adanya hak harta sepencarian semasa dalam tempoh
perkahwinan.
Faktor kedua merujuk kepada sumbangan secara tak langsung oleh isteri
atau suami kepada pasangannya dalam mendapatkan sesuatu aset. Sebagai
contoh, suami bekerja untuk mendapatkan sumber pendapatan, manakala
isteri ialah seorang suri rumah yang tidak bekerja bersama-sama dalam
memperoleh sumber pendapatan tersebut. Namun, kebijaksanaan isteri dalam
menguruskan rumah, anak-anak dan sebagainya ditafsirkan sebagai
sumbangan secara tak langsung yang menjamin seseorang suami dapat
menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjanya.
Daripada huraian yang telah dibuat, caruman KWSP tidak dikategorikan
sebagai harta sepencarian. Di bawah Akta KWSP 1991, Seksyen 51, Simpanan
KWSP ahli yang masih hidup adalah hak mutlak pencarum untuk kebajikan
mereka pada hari tua yang tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain.
Akta KWSP ini pula terletak di bawah undang-undang sivil.
HUJAH DAN DALIL
Tiada dalil khusus tentang harta sepencarian dan cara pembahagian dalam
al-quran dan hadis. Namun demikian, Allah SWT telah pun menggariskan
prinsip asas pemilikan iaitu ia berdasarkan kepada usaha tanpa
membezakan antara lelaki dan wanita. Firman Allah SWT berikut ini
menjadi asas kepada kepentingan pertimbangan sumbangan secara langsung
dalam penentuan harta sepencarian:
Maksudnya:
Dan bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian darpada apa yang mereka usahakan.(Al-Nisa': 32)
Dan bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian darpada apa yang mereka usahakan.(Al-Nisa': 32)
Mazhab Syafie menggariskan, konsep perkongsian harta boleh dilihat melalui syarikat al-‘inan
yang perkongsian dalam bentuk harta dibuat oleh dua pihak atau lebih
melalui akad, dan keuntungan kembali kepada pihak tersebut menurut upah
yang munasabah dengan kerja. Mazhab Hanafi mengharuskan secara mutlak syarikat al-abdan
di mana perkongsian berlaku apabila dua orang berkongsi tenaga dan
usaha tanpa harta dan modal. Maka keuntungan kembali kepada kedua-dua
pihak atas kadar upah yang munasabah mengikut kerja. Mazhab Maliki dan
Mazhab Hambali juga bersependapat begini dengan mensyaratkan persamaan
dari segi jenis kerja.
Berdasarkan pandangan para ulama, dapat dirumuskan bahawa sumbangan
kerja menjadi faktor menentukan wang simpanan KWSP sebagai harta
sepencarian atau tidak. Perkongsian wang simpanan KWSP bukanlah
perkongsian berakad dalam bentuk harta. Sekalipun terdapat perkongsian
usaha dan tenaga, namun sumbangan isteri atau suami kepada pasangannya
di dalam atau di luar rumah bukanlah dari jenis kerja yang sama yang
dilakukan oleh pasangan tersebut. Oleh itu, wang simpanan KWSP bukanlah
bentuk harta sepencarian tetapi harta pusaka yang wajib diagih-agihkan
kepada yang berhak menerimanya melalui hukum faraid.
Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)
NAMUN.....
Terdapat beberapa kaedah dan cara samada menjadikan harta tersebut sebagai harta sepencarian atau bukan bergantung juga kepada faktor-faktor takat sumbangan jenis pekerjaan pihak-pihak ataupun melalui langkah awal yang sewajarnya dibuat oleh pemilik harta KWSP atau ahli-ahli waris yang mahukan harta tersebut terlebih dahulu.. peguam boleh jelaskan.