Ahad, 5 Januari 2014

JANNAH DUNIA

Penulis:
Mohd Fakhrurrazi Bin Mohd Hanapi Al hafiz

Keluarga idaman

Memasuki alam perkahwinan bukanlah semata-mata tertegak atas dasar cinta sahaja, bahkan perkahwinan adalah campuran tiga sudut utama iaitu fitrah manusia, kebaikan kepada masyarakat dan juga penilitian dan pemilihan. Malah ianya disimpul erat dengan sejauh mana hubungan pendidikan dengan sifat tanggungjawab di antara pasangan. Isu yang kian menghantui pasangan muslim yang berkahwin dengan masalah-masalah rumahtangga amatlah berbeza dengan pasangan yang bukan muslim di negara-negara lain disebabkan matlamat perkahwinan. Di barat, statistik pasangan yang mendaftarkan perkahwinan amatlah sedikit kerana mereka tidak mahu terbeban dengan tanggungjawab dan masalah-masalah lain bahkan mereka lebih selesa hidup serumah tanpa ada hubungann yang sah. Apa guna berkahwin jika tidak mendatangkan bahagia.

 
Islam tidak sekali-kali mengiktiraf budaya sebegitu, perkahwinan pada istilah syarak ialah akad yang mengharuskan hubungan suami isteri yang dibenarkan syarak. Akad inilah yang mengikatkan pasangan dengan tanggungjawab dan bukan semata-mata cinta. Kita beli sebuah kenderaan yang kita suka dan impikan, tanda suka tersebut diterjemahkan dengan membayar ansuran bulanan adalah lambang tanggungjawab kita. Justeru Islam bukanlah sekadar memaklumkan bahawa  pasangan yang hendak berkahwin perlu didasari atas nama cinta tetapi dengan berkahwin itu mampu mendatangkan cinta, kasih sayang yang didasari oleh agama, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah ar Rum ayat 21 yang bermaksud, dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih sayang, rahmat, sesungguhnya yang demikian itu bagi kaum yang berfikir. Apabila mendirikan rumahtangga, pasangan terutamanya si suami akan terkejut kerana berhadapan dengan pelbagai tanggungjawab dan tidak seperti yang disangkanya pada sebelum perkahwinan.



Sebelum berkahwin dirasakan bahagia jika perbelanjaan makan minum, bil telefon, pakaian dan lain-lain lagi perbelanjaan kekasihnya yang bakal menjadi pasangan hidupnya ditampung oleh si lelaki tadi namun yang hairannya perasaan ini berubah selepas berkahwin. Terutamanya pasangan muda yang diibaratkan 'belum penuh ilmu di dada' menjadi hilang arah apabila dibebani dengan isu tanggungjawab yang banyak dan membebankan. Permasalahan ini tadi berlarutan sehingga menerbitkan bait-bait pertengkaran berkaitan soal kerja, tugas pasangan dan macam-macam lagi dan akhirnya membawa kepada pergaduhan dalam rumahtangga yang makin besar dan membawa kepada penceraian. Atas senario rutin yang terjadi inilah, masyarakat perlu diingatkan kembali bahawa perkahwinan wajib didasari atas dasar iman dan taqwa kepada Allah. Sebagai contoh sebelum berkahwin, ramai di kalangan anak muda melambatkan perkahwinan mereka atas pelbagai alasan termasuk urusan ekonomi yang belum stabil dan sebagainya, maka Firman Allah s.w.t dalam surah an Nur ayat 32 yang bermaksud, ...jika mereka miskin (orang-orang muda yang mahu mendirikan rumahtangga) maka Allah akan memampukan mereka dengan kurniaanNya dan Allah Maha Luas (pemberiaanNya) lagi Maha Mengetahui. Bahkan ditambah dengan hadith nabi s.a.w jaminan bagi mereka yang berkahwin akan didatangkan bagi mereka rezeki kerana isteri-isteri itu mendatangkan punca rezeki bagi suami. Bila diselidiki, segala tanggungjawab yang dirasakan bebanan kepada suami untuk melunaskannya akan menjadi mudah dan dihadapi dengan rasa gembira walaupun secara zahirnya dilihat payah.

Analoginya mudah, berkahwin ibarat kita memakan sambal belacan, pedas dan panas, namun kita masih terus makan kerana ianya sebahagian dari nikmat sambal tersebut dan sedap. Malah hadtih dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda “ada 3 golongan yang Allah pasti menolongnya iaitu orang yang berjuang di jalan Allah, hamba yang mencari wang tebusan untuk membebaskan dirinya, dan orang yang berkahwin dengan niat menjaga maruahnya” riwayat at tirmizi.

 


Kewajipan dalam berumah tangga

 
Bila mempersoalkan tentang hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan, sewajarnya masyarakat menghilangkan terlebih dahulu pandangan skeptikal berkaitan isteri sewajarnya menguruskan rumahtangga dan suami pergi bekerja. Zaman hari ini tidak lagi seperti dahulu, kedua-dua pasangan bekerja dan bekerjaya dan keluar pagi balik lewat petang dan dalam kepenatan tersebut tiba-tiba si suami merungut tentang isterinya yang memberikan alasan penat apabila diminta melaksanakan tugasan rumah yang lain sedangkan si suami tadi menyandar di hadapan sofa sambil menonton tv, dan apabila dipersoalkan oleh isteri segera dijawab oleh si suami, ini hak saya dan itu tanggungjawab awak. Senario ini seringkali terjadi kerana salah faham tentang hak dan tanggungjawab. Sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, “Sesungguhnya Allah akan bertanyakan setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya”. 

Justeru tanggungjawab suami dan isteri berdasarkan syariat Islam ialah suami wajib menyediakan mas kahwin, nafaqah, dan bergaul dengan cara yang baik terhadap isteri-isterinya manakala isteri wajib mentaati suami dalam perkara bukan maksiat, menjaga kemuliaan, maruah dan harta suami. Nabi s.a.w seorang suami yang melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh cemerlang kerana nabi menjahit pakaiannya sendiri, nabi menampal kasutnya sendiri, nabi ke pasar, nabi membantu tugas di dapur bahkan setengah ulama mewajibkan penyediaan pembantu rumah bagi yang mampu sekiranya suami tidak boleh menolong isterinya melaksanakan tugasan harian. Inilah yang membezakan hak dan tanggungjawab yang kita fahami dengan yang nabi s.a.w tunjuki. Perkara asas dalam perkahwinan juga ialah bertolak ansur dalam soal tanggungjawab, tiada salahnya jika suami tadi membantu isterinya dalam penyediaan makanan kerana masing-masing baharu sahaja pulang bekerja dan kepenatan ini dijinjing bersama-sama atas dasar iman dan tqawa, malah lebih indah dan manis jika dikongsi daripada mencari kesalahan pasangan masing-masing.
 
Pendidikan zuriat Aset Utama Berkeluarga

 
Selain daripada hak anak yang menjadi tanggungjawab ibubapanya mendapatkan nafaqah, anak tadi juga berhak mendapatkan pendidikan dan pengajaran yang terbaik dalam hal ibadat dan akhlak, sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al Dailami dan al Suyuti, “didiklah anak-anakmu 3 perkara, cintakan nabimu, cintakan keluarga nabimu dan membaca al Quran”. Bagaimana ibubapa hari ini terlepas pandang akan hak anak tadi dalam pendidikan, selain daripada pendidikan arus perdana di sekolah, pendidikan agama dan pembinaan akhlak adalah juga pendidikan utama yang wajar dititik beratkan. Ibubapa risau jika anak mereka di tahun satu persekolahan masih tidak mengenal abjad tetapi tidak risau jika mereka tidak boleh mengenal huruf apatah lagi membaca al Quran.

 
Jika anak-anak tadi tidak dididik dengan asas agama ini, janganlah menyesal sekiranya waris yang ditinggalkan hanya bercakap berkaitan harta pusaka dan wang ringgit tinggalan kedua ibubapanya dan amat malang lagi apabila anak-anak yang tersalah didik ini bertengkar sesama ahli keluarga semasa di hujung hayat kedua ibu bapanya tadi. Mana anak yang bergelar jurutera, peguam, doktor, dan lain-lain semasa kematian kedua orang tuanya? Islam tidak menyuruh kita meninggalkan waris yang mengejar dunia semata, bahkan kejarlah kedua-duanya dengan saksama. Anak yang putih semenjak awal perlukan corakan didikan agama yang secukupnya daripada kita selaku ibubapa dan itulah warisan yang membanggakan jika anak tadi mampu menguruskan jenazah orang tuanya yang menjadi kayu ukur anak-anak yang soleh adalah syurga rumahtangga.

 

Ke mana hilangnya tolak ansur?

 Apabila melihat kepada statistik penceraian pada masa ini, angka yang kian naik dari masa ke semasa mencerminkan satu tanda aras yang tidak sihat terutamanya kepada umat Islam walaupun ada yang menyebut ianya berkaitan dengan faktor jodoh di tangan Tuhan, namun punca penceraian itu sendiri adalah akibat tindakan pasangan tersebut. Sebagai contoh, di antara alasan yang popular di mahkamah apabila mahu bercerai ialah tiada kesefahaman dan keserasian lagi, sedangkan pada peringkat sebelum perkahwinan jawapan yang diberikan bila ditanya kenapa memilih pasangan tersebut ialah kerana keserasian. Tidak hairankah ke mana 'perginya' faktor keserasian tadi. Kajian yang dijalankan kepada pasangan yang berkahwin ialah tempoh 5 tahun perkahwinan adalah jangkamasa kritikal yang bakal dialami oleh semua pasangan dalam proses keserasian tersebut. Bayangkan sahaja, 20 tahun lebih pasangan tadi tinggal bersama ibubapanya dan apabila baharu berkahwin yang belum pun menyamai usia kehidupan bersama orang tuanya hingga ke tahap teman hidup sudah tenggelam dilanda badai dihempas terkulai di tepian pantai. Macam-macam yang dijadikan alasan bila hati telah tidak terpaut.

 
Yakinlah setiap pasangan kepada janji Allah dalam surah at Talaq ayat 2 yang menyatakan bagi mereka yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar kepada sebarang masalah. Khatib setiap kali khutbah Jumaat menjadi rukun memberi pesan kepada para jemaah lelaki iaitu suami dan bakal menjadi suami agar bertaqwa dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Bila kita susah kita kerja kuat tetapi kita tinggalkan tanggungjawab sebagai seorang Islam seperti tunaikan solat, ianya ibarat meminum air laut, lagi diminum lagi kehausan tetapi bagi orang yang bertaqwa terkadang dengan sedikit rezeki ia menjadi cukup buat seluruh ahli keluarga keluarga kerana mereka tahu dasar perkahwinan ialah taqwa. Lihat sahaja atuk, ayah kita dahulu, walaupun kerjanya tidak bergaji besar namun cukup membesarkan kita sekeluarga. Ketahuilah, masalah-masalah dalam berumahtangga itu dihiasi oleh syaitan yang mahukan kita berpisah cerai sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud “...di antara peranan sihir (tugas iblis) agar mereka dapat menceraikan antara suami dengan isterinya”. Oleh kerana itu, jika hendak bergaduh pun gaduh dengan aman dan hikmah, gaduh dengan kasih sayang kerana iblis cukup benci jika suami isteri berkasih sayang kerana Allah.

 
Bursa Akhirat

Sabda nabi s.a.w diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa “kahwinilah wanita yang subur dan penyayang, sesungguhnya aku berbangga dengan kamu sebagai umat yang ramai pada hari kiamat”. Tugas sebagai ibubapa ini tidak akan terhenti selagi hayat dikandung badan, bahkan sekiranya anak tersebut telah dewasa pun ibubapa sepatutnya memberikan nasihat apabila diminta, ini membuktikan anak bukan sekadar warisan bahkan adalah pelaburan yang cukup bernilai. Jika bertemu dua sahabat lama antara topik perbualannya ialah berapa ramai anak dan anak-anak sedang buat apa, tidak pernah ditanya berapa banyak duit dalam bank dan ini menunjukkan anak-anak bukan sekadar aset tetapi juga liabiliti jika tersalah didik. Isteri yang solehah adalah ibarat syurga yang disegera, anak-anak yang soleh solehah adalah syurga rumahtangga, bagi mendambakan keluarga yang bahagia tadi jangan sekali-kali kita terleka dalam aspek pendidikan agama dan sahsiah, baik ibubapa mahupun anak-anak kita. Kita mesti terus belajar terutama ilmu keibubapaan bagi memastikan anak kita bukan sekadar soleh tetapi juga mosleh, iaitu dia baik dan juga mampu mengajak orang jadi baik juga.
 

Jannah dunia yang kita cari bukanlah kekayaan dan kemewahan harta benda, jannah dunia yang disegera ialah keluarga bahagia dan anak-anak yang membahagiakan kerana pastinya bahagia tidak dapat dijual beli tetapi dapat dirasai oleh mereka yang bertaqwa.https://www.facebook.com/al.imamrazi