Khamis, 31 Oktober 2013

Persoalan berkaitan Penceraian Secara Ta'liq & contoh kes

OpisComel, 1hbNov2013 - Tiba-tiba ada lampu bernyala pada akaun Facebook yang mention nama dan mahukan jawapan kepada persoalan ini...
 
1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.

 2.Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini. - MOHON PENERANGAN LANJUT utk isu (2) bro Razi Imam: nak tanya pendapat bro psl pe beza isu (1) dn (2) kt atas ni boleh?
 
 
Saya merujuk kepada kes yang telah diputuskan oleh Hakim Bicara:
 
Di dalam kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat dalam Seksyen 2 enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada. Berdasarkan peruntukan Seksyen 43 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 Pindaan 1992 yang menyatakan bahawa:

Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat di anggarkan dengan wang.
Mahkamah merujuk pula Seksyen 42 (2) (b) telah memperuntukkan:-
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
(b) dalam bidangkuasa Mal mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berkaitan dengan :
i- pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh), atau perpisahan (faraq);
ii- ……………………………………….


Berdasarkan Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) menyebut:-

50 (1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuashati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut hukum syara’, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk di daftarakan
.

Berdasarkan kesemua peruntukan-peruntukan di atas, secara jelas mahkamah ini diberikan kuasa untuk mendengar, membicara dan memutuskan kes ini apatah lagi ianya disokong oleh Peguam Syarie Pihak-Pihak yang tidak membantah permohonan ini didengar di hadapan Mahkamah ini. Dengan itu, Mahkamah berpendapat Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini.

Fakta Yang Menjadi Isu
Untuk menyelesaikan isu ini mahkamah merujuk kepada beberapa ayat- Al-Quran dan pendapat-pendapat ulama mu’tabar antaranya seperti Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 1 yang berbunyi:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُمْ بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ (1)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.........

Dato’ Shekh Azmi Ahmad dalam bukunya Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia Adalah Mengikut Hukum Syarak muka surat 78 dan 79 ada menyebut: “Dari Sunnah pula talak Ta’liq ini berpandukan Hadis Rasulullah S.A.W. iaitu:-

Maksudnya:
Orang Islam terikat kepada syarat-syarat mereka yang mana berlaku banyak perkara itu (membuat syarat) di zaman Nabi s.a.w dan zaman sahabatnya termasuklah berkenaan dengan talak ta’liq ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah Bin Umar berkata:” telah membuat syarat ta’liq oleh seorang lelaki akan isterinya jika sekiranya ia keluar. Berkata Ibn Umar:” sekiranya perempuan itu keluar naka jatuhlah talak dan jika tidak keluar maka tidak ada apa –apa”.
Diriwayatkan oleh Uqbah Bin Amin bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda maksudnya:--
Syarat yang lebih utama dan wajar ditunaikan ialah yang menjadikan persetubuhan halal.
(Sahih Muslim Kitab An- Nikah) dan (Sunan Abu Dawud, Kitab An-Nikah)

Rasulullah telah berkata maksudnya:
Seorang mukmin terikat dengan perjanjiannya kecuali suatu perjanjian yang membuatkan sesuatu yang halal menjadi haram dan apa yang haram menjadi halal. (Sahih Al- Bukhari, Kitan Al-Ijarah)

Dalam Kitab Al –Akhyar diriwayatkan hadis Rasulullah yang berbunyi
Maksudnya: Seorang mukmin terikat dengan syarat-syarat dan perjanjian-perjanjiannya.
Dalam Kitab Al-Sharkawi Ala Tahrir ada disebut maksudnya:
Sesiapa yang melafazkan ta’liq dengan peruntukan talaq atas satu syarat dan syarat itu terjadi talaq akan berlaku mengikut lafaznya itu.
Dalam Kitab I’anat At-Talibin ada juga disebut maksudnya:
Adalah dibolehkan mencerai dengan ta’liq seperti juga janji merdekakan hamba atas syarat dan tidak dibenarkan menarik balik sebelum kejadian perkara itu dan perceraian itu akan terjadi apabila apa yang disyaratkan itu terjadi.
Dalam Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh Juzu’ 9 muka surat 6972 karangan Dr. Wahbah Zuhaili ada menyebut:

Maksudnya: Para ulama’ imam mazhab yang empat sependapat bahawa jatuh talaq yang bergantung (berta’liq) jika wujud perkara yang menjadi tempat pergantungannya. Samada perkara itu merupakan perbuatan salah seorang daripada suami atau isteri, ataupun suatu perkara yang luar dari perbuatan manusia (samawi), dan samada ta’liq itu sebagai sumpah iaitu menggalakkan agar melakukan sesuatu atau meninggalkannya atau untuk menguatkan khabar, ataupun sebagai syarat yang dimaksudkan berlaku jawab syarat.
 

Dalam kes ini ada beberapa fakta utama yang perlu mahkamah ini putuskan. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut dinyatakan.
 
Isu Pertama, Adakah Defendan telah melafazkan ta’liq selepas akad nikah berlangsung pada 07hb November 1999 ?

Mahkamah bersetuju dengan hujah Plaintif dan berpuashati bahawa Defendan ada melafazkan takliq nikah pada tarikh tersebut berdasarkan :-
i. Surat perakuan nikah 087279/199/1387;
ii. Pengakuan Defendan dalam penyata pembelaan terpinda perenggan 1 muka surat 1 tanpa tarikh dan diterima oleh Mahkamah pada 07.01.2003.
iii. Pengakuan Defendan semasa memberi Keterangan pada 3hb Jun 2003

Mahkamah juga mengaitkan persoalan mengenai iqrar bagi mensabitkan pengakuan tersebut. Bila menyebut tentang lelaki beriqrar, di dalam Kitab I’anat At-Talibin juzu’ 3 muka surat 187 ada menyebut:
اعترافا ويسمى. عليه بحق الشخص إخبار وشرعا الإقرار لغة الإثبات
Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurutsyarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Iqrar disebut juga sebagai I’tiraf.
Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 2 muka surat 238 ada menyebut:
(
وأركانه أربعة : مقر ومقر له وصيغة ومقر به )
Maksudnya: Rukun iqrar itu ada empat iaitu 1) muqirrun (orang yang beriqrar) 2) muqarrun lahu (orang yang memberi iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar, 3) sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan 4) muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).”

Dalam kitab I’anat At-Talibin juzu’ 4 muka surat 27 ada menyebut:
)
إنما يثبت الطلاق كالإقرار به بشهادة رجلين حريين عدلين (
Maksudnya: Perkara talaq itu disabitkan dengan persaksian dua orang lelaki yang adil lagi merdeka, sebagaimana pula ianya di sabitkan dengan iqrar adanya talaq.
Ianya juga selari dengan kaedah yang berbunyi :
بإقراره مؤخذ المرء
Maksudnya: Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya .
Dalam Seksyen 17 (1) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyatakan:
“Iqrar adalah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau atau lisan atau dengan isyarat menyatakan bahawa ia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.”
Manakala Seksyen 17 (2) dalam Enakmen yang sama menyatakan:
“Sesuatu iqrar hendaklah di buat –
a) dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
b) di luar Mahkamah di hadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.”

Menurut Seksyen 55 (1) Enakmen yang sama memperuntukkan bahawa –
1) Pengakuan mengenai tulisan, tandatangan atau meterai hendaklah diterima sebagai pengakuan orang yang menulis atau yang melaksanakan dokumen itu;
2) Sesuatu pengakuan melalui dokumen yang ditulis atau disebabkan ditulis oleh seseorang di bawah tandatangan atau meterainya dan diserahkan kepada orang lain boleh diterima sebagai iqrar dengan syarat.
Dengan lain perkataan, Iqrar Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan hokum syarak dan peruntukan Seksyen 17(1) dan (2) Enakmen Keterangan Syariah 1996. Pada pendapat mahkamah, yang dimaksudkan dengan “ta’liq” itu ialah jelas ada kalimah syarat dan akan berlaku cerai atau terjatuh talak dari suami kepada isterinya. Dalam kes ini Defendan selepas akad nikah telah melafazkan ta’liq yang berbunyi:-

“ Saya mengaku apabila saya meninggalkan isteri saya

selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hali ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalaq ia dengan cara talaq khul ”.
berdasarkan lafaz ta’liq di atas terdapat enam fakta yang terkandung di dalamnya iaitu:

Pertama - Tinggal akan isteri
Kedua - Lama tempohnya 4 bulan
Ketiga - Dengan sengaja atau paksaan dan suami atau wakilnya tidak memberi nafkah
Keempat- Mengadu Isteri kepada mana-mana Hakim Syarie
Kelima - Sabitan di sisi Hakim Syarie; dan isteri beri RM1.00 kpd Mahkamah Syariah bagi
pihak suami RM 1.00
Keenam - Keputusan Tertalaklah isteri dengan satu talak khul’

Persoalan Kedua sebelum mahkamah memutuskan kes ini, Adakah Defendan telah melanggar lafaz takliq tersebut?

Takliq talaq diperingkatkan sebagai:

Maksudnya:“Sesiapa yang sah daripadanya melakukan talaq jika sah ia melakukan takliq talaq atas sifat atau syarat maka apabila ia meninggalkan talaq atau syarat maka sabit jatuh satu talaq ketika wujud syarat itu “.

Dalam kes ini Defendan ada melafazkan takliq atas 2 syarat pilihan iaitu:-

Syarat pertama:
Defendan meninggalkan Plaintif selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh masa yang tersebut pada hal Plaintif taatkan Defendan atau;

Syarat kedua:
Defendan melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badan Plaintif.

Syarat ketiga:
Plaintif mengadu kepada Mahkamah Syariah.

Syarat keempat:
Sabit aduan Plaintif disabit dan di sisi Mahkamah Syariah.

Syarat kelima:
Plaintif memberi kepada Mahkamah yang menerima bagi pihak Defendan RM1.00

Dan kini proses takliq ini telah sampai kepada peringkat sama ada Mahkamah sabitkan aduan Plaintif atau tidak. Dalam penilaian Mahkamah, Plaintif mendakwa bahawa Defendan telah melanggar syarat lafaz takliq yang bahagian yang pertama dan bukannya lafaz ta’liq di bahagian yang kedua. Dalam usaha Mahkamah mensabitkan aduan Plaintif ada beberapa perkara atau isu kecil lain yang perlu diputuskan terlebih dahulu sebelum Mahkamah sabitkan aduan Plaintif atau tidak iaitu:

1- Di mana rumah kelamin Plaintif dan Defendan selepas nikah?
2- Adakah Defendan meninggalkan Plaintif sama ada secara sengaja atau paksaan?
3- Adakah Defendan telah meninggalkan Plaintif selama 4 bulan hijrah atau lebih?
4- Adakah Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah dalam tempoh masa tersebut?

Bagi persoalan pertama, Mahkamah berpuashati dan bersetuju dengan hujah peguam Plaintif bahawa rumah kelamin Plaintif dan Defendan adalah di rumah ibu Plaintif iaitu di alamat Lot 4829, Kg. Telok Nipah, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

Ini berdasarkan keterangan Defendan dan peguam Defendan sendiri dan juga saksi-saksi Plaintif iaitu SP1, SP2, dan SP3 bahawa selepas berkahwin Plaintif dan Defendan tinggal di rumah tersebut sehingga Defendan didakwa telah keluar rumah pada bulan 5/2002.

Perkara atau isu ini juga tidak pernah langsung dipertikaikan oleh Defendan pada mana-mana peringkat perbicaraan atau sebelum perbicaraan. Oleh itu, Mahkamah menganggap bahawa rumah ibu Plaintif merupakan rumah kelamin kepada Plaintif dan Defendan.

Persoalan kedua, adakah Defendan meninggalkan Plaintif secara paksaan atau sengaja?

Mahkamah berpuashati dengan hujah Plaintif dan seterusnya menolak anggapan Defendan bahawa Defendan memang meninggalkan Plaintif tanpa mengambil kira sama ada ia secara paksaan oleh ibu atau keluarga Plaintif atau tidak.

Pada pendapat Mahkamah, sama ada sengaja atau dipaksa tidak menjadi soalan kerana di dalam lafaz takliq Defendan pada 07.11.1999 telah menyebut bahawa tidak kira secara paksa atau sengaja. Ini berdasarkan keterangan Plaintif dan saksi-saksinya iaitu SP1, SP2, SP3 bahkan juga disokong oleh keterangan SD2 mahupun Defendan sendiri walaupun Defendan mengatakan itu satu paksaan dan bukan atas kerelaan Defendan sendiri.

Paksaan atau sengaja meninggalkan Plaintif adalah tidak penting. Fakta yang penting yang perlu dibuktikan adalah Defendan meninggalkan Plaintif sama ada dengan sengaja atau paksaan. Dalam kes ini, jelas Defendan telah meninggalkan Plaintif walaupun sebenarnya Defendan boleh dikatakan tidak dibenarkan tinggal di situ oleh ibu Plaintif. Ia di jelaskan lagi berdasarkan lafaz ta’liq Defendan menunjukkan bahawa syarat utama adalah Defendan meninggalkan Plaintif samada ianya dipaksa atau secara sengaja iaitu:-

“ Saya mengaku apabila saya meninggalkan isteri saya

selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan,

Persoalan ketiga, sama ada Defendan meninggalkan Plaintif di dalam tempoh yang disyaratkan dalam takliq iaitu selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih.

Untuk menyelesaikan persoalan ini, Plaintif mendakwa Defendan telah meninggalkan Plaintif pada 01.05.2002. Manakala Defendan mendakwa Plaintif waktu itu Defendan masih berada bersama dengan Plaintif di kampung Defendan di Perak. Pada 02.05.2002 Plaintif telah balik ke rumah Plaintif manakala Defendan pada 11.05.2002 bersama keluarga Defendan untuk menghantar anak-anak Plaintif semula. Berdasarkan pengakuan Defendan, kali terakhir Defendan bermalam di rumah kelamin adalah pada 03.05.2002 dan kemudian keluar dari rumah pada awal pagi berikutnya. Berdasarkan pengakuan Defendan, Mahkamah berpendapat bahawa tarikh Defendan meninggalkan Plaintif adalah pada 03.05.2002 dan sejak itu sehingga kes ini difailkan seterusnya dibicarakan Plaintif dan Defendan duduk secara berasingan.

Berdasarkan keterangan saksi Plaintif dan Defendan juga pengakuan Defendan, sejak 03.05.2002 Defendan tidak pernah bermalam atau tinggal lagi bersama. Plaintif di rumah kelamin tersebut. Jika ada Defendan hanya datang untuk melawat dan mengambil anak-anaknya sahaja dan tempoh paling lama Defendan berada di situ lebih kurang 2 jam sahaja iaitu pada 11.05.2002. Oleh itu, Mahkamah beranggapan bahawa sememangnya Defendan tidak bermalam atau tinggal bersama dan meninggalkan Plaintif mulai 03.05.2002 sehingga kini. Begitu juga keterangan saksi-saksi Plaintif yang menjelaskan bahawa mereka hanya nampak Defendan berada dirumah ibu Plaintif sekejap-sekejapm sahaja dengan tujuan untuk mengambil dan melihat anak sahaja.

Walaubagaimanapun, timbul satu isu lain iaitu pada pandangan Mahkamah perlu putuskan berkaitan tempoh Defendan meninggalkan Plaintif dan tidak memberi nafkah kepada Plaintif adalah tempoh yang boleh diambil kira dalam kes ini untuk mensabitkan takliq itu bermula dari tarikh Plaintif memfailkan permohonan sehingga kes diputuskan atau setakat tarikh Defendan keluar dari rumah sehingga Plaintif memfailkan permohonan sahaja. Untuk selesai isu ini, Mahkamah ingin mengimbas kembali latar belakang kes ini. Asalnya kes permohonan di bawah seksyen 47 EUUKIS 1984 yang difailkan oleh Plaintif pada 30.05.2002. Defendan pada 26.08.2002 telah memfailkan Penyata Pembelaan dan tidak bersetuju dengan permohonan Plaintif. Plaintif telah meminda permohonan kepada Penceraian secara Ta’liq di bawah Seksyen 50 enakmen yang sama dengan memfailkan penyata tuntutan pindaan pada 23.09.2002.

Seterusnya Defendan memfailkan Penyata Pembelaan Terpinda pada 07.01.2003 dan Plaintif menfailkan pula Jawapan Kepada Penyata Pembelaan Terpinda pada 01.04.2003 dan seterusnya pada hari itu ditetapkan untuk keputusan seterusnya penghujahan selesai pada 23.10.2003. Semasa Plaintif memfailkan permohonan pencerainan di bawah seksyen 47 EUUKIS 1984 iaitu pada 30.05.2002, hamper sebulan selepas Defendan meninggalkan Plaintif iaitu sejak 03.05.2002. Oleh itu, pada pendapat Mahkamah, Tempoh Defendan keluar meninggalkan Plaintif pada 03.05.2002 adalah tempoh yang sesuai untuk Mahkamah jadikan tarikh mula dakwaan bahawa Defendan meninggalkan Plaintif. Manakala tarikh Plaintif memfailkan aduan iaitu Pindaan Penyata Tuntutan kepada cerai ta’liq adalah tarikh akhir dakwaan Defendan meninggalkan Plaintif iaitu 23.09.2002 iaitu selama lebih kurang 4 bulan 20 hari Defendan telah meninggalkan Plaintif di rumah kelamin mereka iaitu rumah ibu Plaintif.

Mahkamah hanya mengambil kira setakat 23.09.2002 kerana pada tarikh itu Mahkamah telah menerima aduan Plaintif bahawa Defendan telah melanggarkan lafaz takliq nikahnya. Oleh itu, jika Mahkamah mengambil kira fakta ke hadapan iaitu selepas aduan dibuat sebagai membuktikan dakwaan Plaintif menyebabkan ketidakadilan berlaku kepada Defendan. Sebarang aduan dan dakwaan yang dibuat, Mahkamah ini terutama dalam kes penceraian ta’liq perlu menyelesaikan fakta kes atau lainnya atau masalah yang berlaku sebelum aduan dibuat dan dalam kes Plaintif 23.09.2002 kepada tarikh Defendan meninggalkan Plaintif iaitu 03.05.2002 atau sebaliknya. Pada Mahkamah, fakta sebenar yang perlu Mahkamah putuskan Bukanlah dengan mengambil kira fakta yang berlaku sehingga kes selesai diputuskan kerana ianya merupakan dakwaan baru. Dalam persoalan tempoh Defendan meninggalkan Plaintif Mahkamah berpuashati bahawa tempoh Defendan meninggalkan Plaintif selama 4 bulan 20 hari dan melanggar syarat ta’liq yang Defendan lafazkan.

Persoalan terakhir yang perlu diputuskan oleh Mahkamah berkaitan isu sama ada Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh masa yang tersebut iaitu tempoh masa Plaintif meninggalkan suami.

Dalam kes ini Plaintif mendakwa setelah ditinggalkan Defendan, Defendan gagal memberi nafkah kepada Plaintif. iaitu sejak 03.05.2002 sehingga kini. Namun dakwaan itu tidak disokong awal keterangan saksi-saksi Plaintif dengan jelas. Manakala Defendan perlu membuktikan dakwaan Defendan tersebut semasa meninggalkan Plaintif Defendan ada memberikan nafkah. Sebelum itu Mahkamah perlu ulas sama ada nafkah yang dimaksudkan dalam lafaz takliq adalah meliputi nafkah zahir dan batin atau kedua-duanya sekali. Pada pandangan Mahkamah nafkah yang dimaksudkan dalam lafaz takliq itu adalah nafkah zahir sahaja dan tidak meliputi nafkah batin kerana jika termasuk nafkah batin adakah boleh Defendan mewakilkan kepada orang lain menunaikan nafkah batin bagi pihak Defendan. Lafaz ta’liq itu sendiri dengan jelas manggambarkan bahawa nafkah yang dimaksudkan adalah menjurus kepada nafkah zahir atau material sahaja.

Berkaitan isu sama ada ia meliputi nafkah tempat tinggal atau tidak, Mahkamah berpendapat dalam kes ini rumah kelamin Plaintif dan Defendan adalah di rumah ibu Plaintif. Oleh itu sama ada Defendan memberi amaun khas untuk duduk dan tinggal di situ kepada ibu Plaintif adalah tidak perlu dibuktikan dan Tidak timbul sebagai satu persoalan besar kerana kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa itu rumah kelamin mereka. Berdasarkan pengakuan Plaintif sendiri bahawa sepanjang tinggal di situ sememangnya Plaintif tidak pernah bayar apa-apa sewa atau sebahagian kepada ibu Plaintif mahupun Defendan. Kembali kepada isu nafkah zahir Plaintif, Defendan mendakwa ada memberi nafkah kepada Plaintif seperti berikut:
I. Pada bulan 5/2002 wang sebanyak RM200 dan seutas rantai.
II. Bulan 6/2002 wang sebanyak RM100 melalui kawan Defendan iaitu Ismail.
III. Bulan 7/2002 wang sebanyak RM500 melalui Affin Bank.
IV. Bulan 8/2002 wang sebanyak 500 melalui Multi Purpose.
V. Bulan 9/2002 wang sebnayak RM300 melalui BSN.
VI. Bulan 10/2002 wang sebanyak RM200 diberi kepada ibu Plaintif.

Walaubagaimanapun pembuktian berkaitan pemberian nafkah ini nampak seolah-olah meragukan kerana kesilapan Defendan secara teknikal gagal mengemukakan slip bank yang asal kepada Mahkamah ini semasa perbicaraan atau wakil Defendan yang memberi wang kepada Plaintif melalui ibu Plaintif kecuali SD2 yang mengaku mewakilkan Defendan memberi nafkah kepada Plaintif dan anak-anak melalui ibu Plaintif dalam bentuk wang RM100 dan keperluan bayi seperti susu dan pampers. Walaubagaimanapun, Agak malang apabila SD2 sendiri tidak mengingati tarikh semasa SD2 menghantar wang dan keperluan tersebut kepada Plaintif dalam keadaan ini adalah sukar bagi Mahkamah untuk menerima keterangan tanpa bukti yang jelas.Namun setelah Mahkamah meneliti keterangan utama Plaintif, Plaintif ada mengaku bahawa sebelum Defendan keluar rumah Defendan ada memberi RM500 tetapi guna untuk anak-anak Plaintif juga mengaku bahawa Plaintif tahu Defendan ada memasukkan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun Plaintif pada 12.07.2002 dan bulan 8/2002. Namun, Plaintif mendakwa duit yang diberikan oleh Defendan tersebut telah digunakan untuk anak-anak. Namun dakwaan Plaintif menggunakan wang tersebut untuk anak-anaknya serama 2 orang tersebut tidak dibuktikan dengan apa bukti pembelian barang keperluan anak atau sebagainya.

Pada pandangan Mahkamah memang adalah menjadi satu beban kepada suami untuk membuktikan suami memberi nafkah apabila ada dakwaan daripada isteri, suami tidak memberi nafkah. Dalam hal ini Plaintif berjaya membuktikan bahawa Defendan ada memberi nafkah kepada Plaintif melalui dengan memasukkan ke dalam akaun Plaintif pada 12.07.2002 dan bulan 8/2002 dengan pengakuan Plaintif sendiri. Oleh itu, jika Plaintif mengatakan bahawa duit itu bukan untuknya dan untuk anaknya atau Plaintif tidak gunakan untuk nafkahnya. Plaintif perlu membuktikan kemana wang itu dibelanjakan seperti mana Defendan perlu membuktikan bahawa Defendan telah memberi nafkah.

Bahkan bukan itu sahaja keterangan saksi-saksi Plaintif juga tidak menyebut berkaitan tentang nafkah Plaintif dan anak-anak yang diberikan oleh Defendan. Kebanyakkannya Saksi-saksi Plaintif tersebut tidak mengetahui berkaitan isu itu sejak 03.05.2002 sehingga 23.09.2002. Defendan hanya memberi nafkah selama Defendan keluar rumah pada 12.07.2002 dan pada bulan 8/2002. Dengan itu tempoh Defendan meninggalkan Plaintif selama 4 bulan 20 hari dan sepatutnya tempoh Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif perlu diambil kira angka yang sama bagi membolehkan Mahkamah mensabitkan Defendan melanggar takliq pada 07.01.1999 namun Plaintif sendiri mengaku bahawa Plaintif mengetahui bahawa Defendan ada memasukkan wang ke dalam akaun Plaintif pada 12.07.1999 dan bulan 8/2002 dan Plaintif sendiri gagal membuktikan dakwaan duit itu digunakan untuk anak-anak.
 
Selaras dengan kaedah fiqh’
البينة على المدعى واليمين على من انكر "
“Keterangan bagi pihak yang mendakwa dan Sumpah bagi pihak yang engkar”

Dengan kegagalan Plaintif membuktikan dakwaan Plaintif itu Mahkamah beranggapan bahawa Defendan berjaya membuktikan Defendan memberi nafkah untuk bulan 7/2002 dan bulan 8/2002. Walaubagaimanapun Defendan gagal membuktikan bahawa Defendan memberi nafkah bagi bulan 5, 6 dan 9/2002. Namun begitu berdasarkan syarat lafaz takliq Defendan berbunyi :-

“Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh masa yang tersebut “.

Mahkamah berpendapat Plaintif gagal membuktikan bahawa Defendan melanggarkan syarat takliq tidak memberi nafkah 4 bulan berturut-turut seperti disyaratkan kerana Plaintif hanya membuktikan Defendan gagal memberi selama 3 bulan dan tidak berturut-turut. Pada PPendapat Mahkamah, Mahkamah hanya menghukum berdasarkan apa yang dizahirkan sahaja sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:-
امرت أن أحكم بالظواهر والله يتولى بالسرائر
“Aku di suruh menghukum dari segi zahirnya, Allah sahaja mengetahui batinnya.”
 
 
Keputusan
Berdasarkan hujah-hujjah seperti di atas dengan ini Mahkamah memutuskan seperti berikut:-

1. Mahkamah mensabitkan Defendan tidak melanggar lafaz takliq pada 07.11.1999.

2. Oleh itu Mahkamah dengan ini menolak permohonan Plaintif di bawah Seksyen 50 Enakmen Undang – Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 1984 Pindaan 1988.

3. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari daripada keputusan ini dibacakan.

4. Kos hendak ditanggung oleh pihak-pihak.