Sg.Ramal, 29hb.Julai 2012 - di saat selepas 'bersungkai' dan sedang mentelaah buku untuk dihadamkan dalam peperiksaan pada jam 2petang nanti, layar pemikiranku menginginkan menulis sesuatu pada blog ini agar ada pengisiannya bagi mereka yang mahu mencarinya. Sebenarnya, kotak pemikiran dan pundi-pundi perutku masih tepu dengan makanan sahur tadi, maklumlah baharu menjejakkan di hari yang ke-9 ramadhon.
Ini adalah penulisan yang diperoleh daripada satu laman blog peribadinya dan sedikit komenku kerana aku berada sama pada 'kasut yang dipakainya', cuma aku tidak mengenali beliau secara dekat tetapi dapat ku rasakan keperitan yang ditanggung dan dialami olehnya.
Al-kisah:
Dato Zaidi Zain adalah majikanku dan banyak yang ku pelajari dariapadanya sebagai salah seorang MASTER dalam bidang guaman. Dan yang dibawah ini, berbaju putih adalah rakan sebilik di pejabat, dan juga guruku dalam bidang ini.
Peguam Syarie merupakan satu profesion yang agak menarik untuk dibincangkan. Satunya kerana profesion ini agak glemer kerana kes-kes artis atau VIP/VVIP yang turun naik mahkamah sebab nak merebut harta pusaka atau hak penjagaan anak & kes-kes yang sama waktu dengannya macam fasakh, nusyuz, mut`ah & lain-lain lagi. Yang glemernya kat situ lah, misalnya kalau harta sepencarian tu RM1 juta, peguam syarie akan 'ketuk' sekitar 1%-4% harta yang berjaya diperoleh. Jadi buta-buta je bolehlah peguam syarie dapat at least 10k untuk satu kes.
Baik, kita abaikan cerita-cerita glemer mengenai peguam syarie. Yang sakit pun banyak juga, tapi saya tak berminat nak cerita di sini. Sebenarnya, nak jadi peguam syarie di Malaysia ni merupakan satu proses yang agak rumit sebab kita ada 14 negeri. Disebabkan undang-undang Islam jatuh di bawah kuasa negeri, maka kita ada 14 jenis undang-undang berlainan yang menaungi para peguam syarie. Oleh itu, boleh dikatakan tidak ada keseragaman di dalam proses menerima seseorang itu sebagai peguam syarie sebab seorang boleh jadi peguam syarie di Selangor tetapi dia masih perlu mendapat tauliah daripada negeri-negeri lain jika dia mahu mengendalikan kes di hadapan hakim Mahkamah Syariah di Terengganu misalnya. Jadi bayangkanlah, seorang peguam syarie perlu mendapatkan 14 tauliah yang berbeza sedangkan seorang peguam sivil lazimnya perlukan 1 tauliah sahaja (kalau di Semenanjung).
Secara asasnya, untuk menjadi peguam syarie, seseorang itu perlu berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah. Tapi tak semestinya takde degree Syariah, tak boleh jadi peguam syarie & tak semestinya ada degree Syariah, dah boleh jadi peguam syarie. Sebab apa? Sebab ketidakseragaman undang-undang inilah. Misalnya di Wilayah Persekutuan, kalau anda takde degree Syariah pun takpe, tapi anda perlukan diploma pasca-ijazah Syariah (DSLP atau DSLA atau DAIJ atau yang sama waktu dengannya). Ada sesetengah negeri, ada degree Syariah pun tak cukup, mesti kena ada diploma pasca-ijazah Syariah tu.
Nak mendapatkan diploma tu pun, sekurang-kurangnya di UIAM, bukanlah sesuatu yang 'murah', kos diploma tu dah sama taraf dengan Ijazah Sarjana yang mencecah belasan ribu. Kalau di UiTM atau UKM mungkin murah sikit.
Sebagaimana yang disebut di atas, nak mendapatkan tauliah 14 negeri bukanlah mudah sebab proses untuk setiap negeri tu sendiri dah cukup melecehkan. Dan kalau diperhalusi proses-proses yang terbabit pun, berbeza antara satu negeri ke satu negeri. Ada negeri yang hanya perlu temuduga. Ada negeri yang perlu ambil peperiksaan dan temuduga. Tapi asasnya temuduga tu mesti ada. Tak dapat difahami kenapa mesti kena ada temuduga walhal peguam sivil nak jadi peguam tak perlu temuduga pun? Cukup sekadar 9 bulan chambering & syarat-syarat normal yang dikenakan oleh Majlis Peguam, tapi nak jadi peguam syarie tak perlu chambering pulak?
Kalau anda ada degree Syariah, mestikah anda jadi peguam syarie? Jawapannya, tidak semestinya. Tapi dengan adanya degree Syariah, anda berpeluang untuk menjadi peguam syarie walaupun hakikatnya anda tak tahu 'setarang' mengenai prosedur di Mahkamah Syariah. Dek kerana itulah, ramai pemilik degree Syariah yang merasakan tidak ada faedah memohon sebagai peguam syarie kalau tidak mahu beramal sebagai peguam syarie. Saya sendiri secara peribadi, tidak ada masalah dengan pendapat sebegitu dan saya separuh bersetuju juga dengan pendapat itu. Tapi dek kerana sayangkan degree Syariah yang saya ada, saya rasa rugilah kalau degree Syariah ada tapi tauliah peguam syarie takde, walaupun daripada 1 negeri sekalipun. Yelah macam ada degree LLB tapi tak ditauliahkan sebagai peguambela & peguamcara, ada sedikit kerugianlah kat situ, walaupun mungkin ada yang tak bersetuju.
Pengalaman peribadi saya, saya cuma pernah menghadiri temuduga peguam syarie untuk 2 negeri - Wilayah Persekutuan & Kelantan. Itu pun bagi saya, cukuplah untuk saya yang tidak beramal sebagai peguam syarie buat masa ni.
Kenapa saya pilih Wilayah, kerana itulah wilayah yang paling dekat dengan rumah saya & saya dikhabarkan prosesnya cukup mudah. Sebenarnya prosesnya tidaklah mudah sangat sebab kita perlu menunggu & menunggu. Di Wilayah, calon-calon dikehendaki menghadiri kursus separuh hari mengenai prosedur di Mahkamah Syariah & kemudian ada peperiksaan bertulis di sebelah petangnya. Semua ini menuntut bayaran sejumlah RM150, tidak termasuk yuran pemprosesan permohonan peguam syarie berjumlah RM10. Disebabkan secara logiknya semua yang memohon tu ada asas undang-undang Syariah, maka tak peliklah kalau semua calon yang ambil peperiksaan bertulis tu, lulus kesemuanya. Itulah yang berlaku pada batch saya. Tetapi ianya tidak terhenti setakat itu sahaja. Ada temuduga pulak menyusul sesudah peperiksaan bertulis itu. Di sini saya suka untuk menegur pentadbiran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang kurang responsif memaklumkan mengenai keputusan peperiksaan bertulis itu kerana kami semua tahu kesemua calon lulus melalui e-mel setelah seorang calon bertanya mengenai result melalui e-mel juga.
Temuduga di Wilayah juga, hmmm, saya boleh katakan ikut nasiblah. Anda mungkin berdepan dengan panel yang baik & mungkin juga anda bertemu dengan panel yang provokatif. Di dalam kes saya, saya bertemu dengan panel yang provokatif. Saya takde masalah berdepan dengan panel yang provokatif sebab saya pernah hadir temuduga yang dipengerusikan sendiri oleh Peguam Negara yang begitu provokatif. Tapi saya ada masalah dengan panel yang konon nak provokatif tapi apabila kita balas provokasinya dia pulak yang terprovok! Inilah yang berlaku dalam kes saya.
Saya kira panel temuduga peguam syarie sewajarnya dibataskan keahliannya kepada hakim Mahkamah Syariah atau pun pendaftar Mahkamah Syariah sahaja, tanpa melibatkan pendakwa syarie. Walaupun realitinya pendakwa syarie, hakim & pendaftar berasal dari skim perkhidmatan yang sama & mereka boleh memegang mana-mana 3 jawatan tersebut, tetapi adalah kurang cerdik kalau pendakwa syarie turut menjadi panel temuduga yang menemuduga bakal peguam syarie. Bukankah pelik, seorang yang berkepentingan seperti pendakwa syarie akan menemuduga seorang yang bakal menjadi 'lawan'nya di mahkamah nanti? Aneh, tetapi inilah yang berlaku sewaktu temuduga saya di Wilayah. Saya ditemuduga oleh pendakwa syarie yang kehadirannya bagi saya sama sekali tidak relevan. Ada negeri lain yang melantik peguam syarie senior sebagai panel temuduga, sesuatu yang saya rasakan kurang beretika kerana peguam syarie senior itu pun dari kalangan 'spesis' yang sama dengan orang yang ditemuduga.
Selain itu, saya turut tertanya-tanya mengapa perlu ada wakil Jabatan Peguam Negara di dalam temuduga peguam syarie Wilayah? Saya tak nampak kaitannya secara langsung, adakah perlu wakil kerajaan di dalam temuduga peguam syarie Wilayah? Saya mempunyai masalah dengan wakil Jabatan Peguam Negara yang begitu beremosi & bersungguh-sungguh menjaja 'fikrah'nya kepada kami calon-calon peguam syarie. Apakah kami wajib menganut fikrahnya, justeru kalau kami bercanggah pendapat dengannya maka dia berhak membuat serangan peribadi kepada kami & pensyarah kami? Lucunya dia beriya-iya mahu kami bersetuju dengan pendapatnya untuk isu-isu perlembagaan (oh ya, kaitan langsungnya dengan profesion peguam syarie?). Hei, saudara ni siapa & saudara dah lupa ke saudara menemuduga siapa? Bakal peguam syarie, bukan bakal kerani! Peguam diajar agar bersetuju untuk tidak bersetuju, tapi kalau saudara mahu orang bersetuju dengan pandangan saudara, maka jangan panggil ini temuduga peguam syarie tapi panggil ini temuduga burung kakak tua. Lebih mengecewakan apabila saya sedari akaun Facebook penemuduga ni sarat berbau serangan peribadi (maki hamun juga terselit sesekali) terhadap mereka yang kononnya tidak selari dengan pandangannya. Takpelah, itu dia punya pasal & saya pun tak berharap apa-apa darinya. Saya pun tak berminat nak membincangkan lebih lanjut isu apa yang kami perdebatkan tapi cukup kalau saya beri analogi, si penemuduga ini ibaratnya seperti Hasan Ali!
Saya tak tahu apa hasil temuduga peguam syarie Wilayah sebab sejujurnya saya berasa kecewa dengan komposisi panel temuduga & cara saya & kawan-kawan ditemuduga. Saya pun malas nak call, mungkin lulus, tapi saya cenderung mengatakan gagal. Kalau nak berjidal soal perlembagaan, temuduga peguam syarie bukan tempatnya. Ye tak ye pun RM160 hangus juga.
Kenangan pahit itu membuat saya lebih berhati-hati apabila menghadiri temuduga peguam syarie Kelantan. Walaupun orang kata mudah, tapi yelah, yang Wilayah itu pun katanya mudah, tapi hasilnya tak seperti yang dijangka. Untuk Kelantan, yuran pemprosesan permohonan peguam syarie ialah RM20 & kalau diterima sebagai peguam syarie Kelantan, bayaran RM250 dikenakan (total RM270). Walaupun Kelantan lebih mahal tapi prosesnya setakat ini memang mudah & saya katakan memang yang termudah di Malaysia barangkali. Ini kerana gaya Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan (JKSK) memang mahu mempermudahkan temuduga. Tidak ditanya soal fikrah, soal hukum hakam, soal teknikal mahu pun perlembagaan, sekadar perbualan mesra. Nak kata temuduga senang sebab tu saya puji pun, tak juga. Cuma hasrat JKSK 'meraikan' orang-orang yang ada degree Syariah tu, saya puji. Yelah, kalau dah ada degree Syariah tu, mestilah dia tau something pasal Syariah & kalau diminta untuk selesaikan satu-satu masalah Syariah, taulah dia kat mana nak cari. Bukannya tanya there & then, wali ada berapa jenis, tertib wali macam mana, bukan semua orang ingat benda tu pada masa tu. Mufti pun mana ada orang tanya, masa tu jugak dia jawab. Mesti dia balik muzakarah dulu, bincang dulu, buat research dulu. Panel temuduga di Kelantan juga saya puji kerana ianya melibatkan hakim & pendaftar sahaja. Penasihat undang-undang negeri Kelantan pun ada (wakil Jabatan Peguam Negara barangkali?) & saya secara peribadi merasakan beliau tak perlu ada, tapi saya tengok dia pun tidaklah memandai-mandai walaupun bergelar Dato', taklah macam wakil Jabatan Peguam Negara yang kat Wilayah tu. Maknanya tak payahlah nak lawan tauke. Ketua Hakim Syarie OK, dia pun OK. Di Wilayah tu pun ada set lain yang panel temuduganya diketuai oleh hakim Mahkamah Syariah, lancar je temuduganya, cuma saya & rakan-rakan lain je yang tersangkut di depan panel Jabatan Peguam Negara, nasib badanlah kan.
Akhirnya saya ditauliahkan sebagai peguam syarie Kelantan. Saya tak tahu wajarkah saya berbangga bergelar peguam syarie Kelantan walaupun saya tak pernah jadi peguam syarie, tapi sekurang-kurangnya Kelantan mengiktiraf degree Syariah saya. Dan kita tak tau apa akan jadi pada masa depan, kalau-kalau sungguh saya akan jadi peguam syarie, siapa tahu?
Kemudian apa selepas Wilayah & Kelantan?
Hai, entahlah. Secara jujurnya saya sudah lelah mengejar tauliah peguam syarie. Cuti-cuti saya terpaksa dikorbankan untuk temuduga & wang pun dibelanjakan untuk sesuatu yang belum tentu berguna buat masa ini. Nak mencari tauliah yang mudah pun, saya rasa tidak ada. Di Selangor, anda perlu chambering di firma guaman syarie, dapatkan surat sokongan peguam syarie di tempat anda chambering & perlu hadiri temuduga, itu pun prosesnya lorat & memakan masa bertahun-tahun. Di sesetengah negeri lain siap kena baca kitab Arab & i'rab itu ini. Ada pula negeri yang jenis panggil temuduga 3 tahun sekali. Di Terengganu misalnya, kena bayar RM350, hadiri kursus 2 hari & kena temuduga dengan Ketua Hakim Syarie yang soalannya dengar khabar boleh tahan juga. Di Negeri Sembilan, prosesnya sama seperti Wilayah tapi kena bayar RM500. Duit belaka, kan?
Selagi tidak ada keseragaman, selagi itulah proses pelantikan peguam syarie akan jadi sebegini, yurannya lain & prosedur juga lain. Mungkin ada yang merasakan, perlukah diseragamkan? Kalau anda mewakili negeri, anda akan merasakan keseragaman akan merampas bidang kuasa istana & negeri. Benarkah begitu?
Komenku:
Aku juga mengalami dilema yang sama, kalau delima boleh juga dimakan dan dibuat ubat. Namun pada hakikatnya perasaan itu telah ku jinakkan ia dengan SYUKUR segala nikmat pemberian Allah kepadaku jika hendak dibandingkan dengan orang lain, SABAR atas segala ujian-ujian tersebut dan belajar daripada pengalaman ini, kalau kita tidak suka diperlakukan begini, maka jangan pula kita melakukan kepada orang lain, BIJAK dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran dan bijak mengintai peluang dan merebutnya agar tidak terlepas disebabkan KEBODOHAN diri sendiri dan akhir sekali TIDAK BERPUTUS ASA aka ISTIQAMAH dalam perjuangan, kerana jika inilah pilihan jalan kita, mengapa dirungut sehingga ke hujung dunia, wajar juga kita pertimbangkan semula kerana Allah berfirman, NASIB manusia DITENTUKAN oleh tindakannya SENDIRI.